Wednesday 13 May 2015

Koleksi Analisis Gurindam 12 oleh: Cikgu Sunieka

1.0 Pengenalan
Gurindam Dua Belas merupakan puisi, hasil karya Raja Ali Haji iaitu seorang sasterawan dan Pahlawan Nasional dari Pulau Penyengat, Provinsi Kepulauan Riau. Gurindam ini ditulis dan diselesaikan di Pulau Penyengat pada tarikh 23 Rejab 1264 Hijriyah atau 1847 Masihi semasa  usianya 38 tahun. Karya ini terdiri daripada 12 Fasal dan dikategorikan sebagai Syi'r al-Irsyadi atau puisi didaktik kerana ia mengandungi nasihat dan petunjuk bagi menuju kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT. Selain itu terdapat juga pelajaran dasar Ilmu Tasawuf tentang mengenal "yang empat" iaitu syari'at, tarekat, hakikat dan makrifat.
Dalam gurindam 12, banyak ditekankan tentang ciri-ciri karya agung yang menjadi wadah terciptanya gurindam ini. Antara cirri yang ada ialah mesej atau pemikiran dan falsafah yang dibawa, nilai budaya, pandangan hidup, nilai ilmu, seni kepengarangan, seni bahasa dan estetika. Walaupun begitu, untuk kupasan pada kali ini lebih menekankan tentang aspek pemikiran dan falsafah serta kepengarangan dan estetika yang terdapat dalam gurindam 12 ini.


2.0 Latar belakang penulis

Nama sebenar Raja Ali Haji ialah Raja Ali al-Hajj ibni Raja Ahmad al-Hajj ibni Raja Haji Fisabilillah bin Opu Daeng Celak alias Engku Haji Ali ibni Engku Haji Ahmad Riau. Beliau dilahirkan pada tahun 1808 M di pusat Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat (kini masuk dalam wilayah Kepulauan Riau, Indonesia).
Raja Ali Haji memperoleh pendidikan dasarnya daripada ayahnya sendiri. Di samping itu, beliau juga mendapat  pendidikan daripada lingkungan istana Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat. Di lingkungan kesultanan ini, secara langsung ia mendapatkan pendidikan dari tokoh-tokoh terkemuka yang pernah datang. Antara ulama-ulama yang dimaksudkan adalah Habib Syeikh as-Saqaf, Syeikh Ahmad Jabarti, Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minkabawi, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Manduri, dan banyak lagi.
Raja Ali Haji banyak mencurahkan perhatiannya pada penulisan karya-karya sastera pada usia 40 tahun. Beliau dicatat sebagai penulis paling produktif pada masanya. Kesultanan Riau-Lingga, Johor, dan Pahang ketika itu menjadi terkenal berkat karya-karya RAH yang banyak dibicarakan pakar bahasa dan sastra di Nusantara dan juga di luar negeri. Pada tahun 1846, beliau menyelesaikan penulisan karya Gurindam Dua Belas. Karyanya yang berjudul Bustanul Katibin pula selesai dicetak di Betawi pada tahun 1850. Pada tanggal 15 April 1857, karya ini dicetak-batu di Pulau Penyengat.  Selain itu, beliau juga menyiapkan naskah berjudul Muqaddimah fi Intizam al-Wazaif al-Mulk Khususan ila Maulana wa Shahibina Yang Dipertuan Muda Raja Ali al-Mudabbir lil Biladi al-Riauwiyah wa Sairi Dairatihi, iaitu sebuah risalah nipis yang mengandungi tiga buah wazifah yang dijadikan sebagai pegangan oleh pemegang kendali hukum sebelum menjatuhkan hukuman. Seterusnya, beliau turut menulis pelbagai jenis buku dan tulisan lagi selama hayatnya.

3.0 Ciri-Ciri Khusus Karya Agung Melayu Dalam Gurindam 12

3.1 Falsafah dan Pemikiran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) falsafah dapat ditakrifkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tinggi yang menjadi dasar kepada ilmu- ilmu lain. Maksud falsafah dari sudut praktis pula ialah “alam berfikif atau fikiran secara mendalam tentang hakikat segala sesuatu”. Pemikiran pula dapat ditakrifkan sebagai idea atau topic yang dibicarakan oleh penulis dalam sesebuah karyanya. Dalam gurindam 12, terdapat beberapa falsafah dan pemikiran yang digarap dengan berkesan oleh Raja Ali Haji.

3.1.1 Tanggungjawab kepada pencipta
Falsafah dan pemikiran utama yang cuba disampaikan oleh pengarang ialah tanggungjawab seseorang umat islam atau umat manusia kepada penciptanya. Sebagai seorang umat islam, seseorang itu perlulah menjalankan kewajipan yang telah diperintahkan sebagai seorang muslim bagi menunjukkan serta membuktikan kepatuhan mereka terhadap suruhan oleh Allah. Tanggungjawab yang dimaksudkan dalam karya ini ialah melaksanakan perkara yang terkandung dalam rukun islam dan rukun iman. Sebagai contoh, pengarang menggunakan bait-bait ayat ini untuk menggambarkan ketiksempurnaan hidup jika menlanggar perintah dan suruhan Allah.
Barang siapa meniggalkan sembahyang
Seperti rumah tiada bertiang.

Rangkap pantun di atas ini membawa maksud bahawa sesiapa yang meninggalkan solat bermakna segala amalan lain yang dikerjakannya menjadi tidak bernilai kerana solat merupakan tiang agama.

3.1.2 Menghormati ibu bapa
Dalam gurindam ini, pengarang meletakkan falsafah dan pemikiran tentang pentingnya menghormati kedua ibu bapa kita. Contoh yang dapat dilihat tentang perkara ini ialah melalui rangkap pantun ini.
Dengan bapa jangan durhaka,
Supaya ALLAH tidak murka .
Dengan ibu hendaklah hormat
Supaya badan dapat selamat.

Berdasarkan contoh rangkap pantun di atas, jelas terbukti bahawa Islam mengangkat kedududukan ibu bapa sebagai kedudukan yang tertinggi. Justeru, kehidupan keluarga sangat dititikberatkan dalam Islam dan juga masyarakat.

3.1.3 Menjaga Pancaindera
Gurindam 12 turut membawakan falsafah dan pemikiran tentang perlunya seseorang menjaga pancaindera yang telah dianugerahkan oleh pencipta. Sifat prihatin dalam menjaga pancaindera yang telah dianugerahkan oleh Allah ini menjadi falsafah yang tinggi yang dapat dilihat melalui contoh daripada rangkap ini.
Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan yang membawa rugi.

        Daripada rangkap yang disampaikan, pengarang mengkehendaki kita menjaga anggota pancaindera yang diberikan daripada perkara-perkara yang negatif kerana ia merupakan satu tanggungjawab kepada umat Islam kerana ia merupakan amanah yang tidak ternilai. Dengan penjagaan yang betul dan sempurna, anggota pancaindera akan terhindar daripada perkara-perkara negatif seperti mengumpat, menabur fitnah, berzina dan sebagainya. Selain itu, penjagaan pancaindera ini membuktikan tahap ketakwaan dan keimanan seseorang kepada Allah. Justeru, pengjagaan pancaindera ini dengan cara yang betul akan membawa kebaikan seperti mendapat keberkatan daripada Allah serta dipandang mulia oleh masyarakat disamping terhindar daripada dosa.

3.1.4 Nilai budi dan akhlak mulia
Gurindam 12 juga turut mengutarakan falsafah dan pemikiran tentang nilai budi dan akhlak mulia dalam kehidupan. Nilai budi yang ditakrifkan dalam masyarakat Melayu ialah nilai budi berbahasa, nilai budi dalam tindakan dan tingkah laku dalam hidup bermasyarakat. Nilai-nilai murni seperti ini sudah sebati dengan hidup masyarakat melayu kerana nilai- nilai ini akan diterapkan dalam diri setiap individu sejak mereka kecil lagi. Masyarakat boleh mengenali sikap atau tingkah laku dan juga latar belakang sesebuah keluarga melalui nilai budi yang ditonjolkan oleh seseorang individu itu. Hal ini demikian kerana ketinggian nilai budi dalam diri setiap individu akan mencerminkan tahap didikan agama yang diberikan disamping ilmu yang ada pada mereka dan status kehidupan mereka dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, seseorang individu itu perlu sentiasa menonjolkan nilai budiyang tinggi untuk mengelakkan aib kepada diri sendiri, ahli keluarga dan seterusnya masyarakat. Contoh kepentingan nilai budi dalam kehidupan ialah
Jika hendak mengenal orang yang mulia,
Lihatlah kepada kelakuannya.
Daripada contoh rangkap ini jelas menunjukkan bahawa nilai budi seseorang akan mempengaruhi corak kehidupan dan harga diri mereka pada pandangan masyarakat dan turut nenggambarkan keperibadian seseorang individu tersebut.
3.1.5 Tanggungjawab sesama insan
Tanggungajawab sesama insan turut menjadi falsafah dan pemikiran dalam gurindam 12. Melalui garapan pengarang ini menunjukkan setiap individu bukan sahaja mempunyai tanggunjawab kepada ILAHI tapi turut mempunyai tanggunjawab kepada sesama insan. Tanggunjawab yang dimaksudakan adalah seperti tanggunjawab kepada ibu bapa, isteri atau suami, terhadap anak- anak dan juga masyarakat. Melaksanakan tanggunjawab terhadap sesama insan terutamanya terhadap kedua ibu bapa merupakan satu landasan untuk mendapat keberkatan hidup didunia dan di akhirat kelak. Hal ini demikian kerana setiap manusia tidak akan wujud tanpa insan yang bergelar ibu dan bapa. Tanggungajawab kita sesame insan ini ditunjukkan pada rangkap tersebut
Dengan bapak jangan durhaka
supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat
supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai
supaya dapat naik ke tengah balai.
Dengan istri dan gundik janganlah alpa
supaya kemaluan jangan menerpa.
Dengan kawan hendaklah adil
supaya tangannya jadi kapil.


3.2 Kepengarangan dan Estetika
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kepengarangan bermaksud perihal yg berkaitan dgn pengarang. Estetika pula bermaksud cabang falsafah yg mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa, dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, kepengarangan dan estetika dapat disimpulkan sebagai falsafah serta keindahan yang digarapkan oleh seseorang pengarang dalam tulisannya. Dalam Gurindam 12, Raja Ali Haji menggunakan kepakarannya dalam seni kepengarangan dan estetika yang tinggi dalam menghasilkan sebuah syair yang bertaraf karya agung.
3.2.1 Menggunakan Bahasa yang Ringkas dan Padat
Dalam penulisan gurindam 12, penulisnya Raja Ali Haji mengaplikasikan seni kepengarangan dengan menggunakan bahasa yang ringkas tetapi padat. Walaupun pengarang menggunakan perkataan-perkataan yang biasa digunakan oleh penulis-penulis lain, namun perkataan-perkataan itu dapat melengkapkan apa yang mahu disampaikannya. Justeru, kita seolah-olah diberi gambaran yang jelas tentang peristiwa dan bait-bait ayat dalam gurindam ini.
3.2.2 Memberi teguran dan nasihat
Dalam proses mengarang gurindam 12, pengarangnya menerapkan seni mengarang dan estetika penulisan syair Melayu yang menjalankan fungsi dedaktik dan menyampaikan pesan ke arah kebaikan. Pengarang mengarang gurindam ini menggunakan proses kreatif yang berpaksikan amalan dalam kehidupan Islam yang menggariskan bahawa setiap perbuatan harus dilakukan dengan tertib, mengikut aturan dan hukum-hukum yang sudah ditetapkan. Sebagai contoh, pengarang menerapkan amalan menghormati ibu bapa, menjaga solat, menjaga pancaindera agar tidak menggunakannya kea rah keburukan dan sebagainya.
Dengan adanya teknik atau keteraturan itu maka terhasilnya keindahan seni, atau estetika, dalam penciptaan gurindam ini. Hal ini adalah bertepatan dengan tuntutan Islam sebagai agama yang mengutamakan keteraturan dan keindahan. Kejadiannya atau penciptaannya itu mempunyai sebab, hikmah, fungsi tujuan, serta ukuran dan imbangannya. 
Selain itu, dalam kepengarangan Raja Ali Haji berisi  seruan  untuk anggota masyarakat supaya mengerjakan kebaikan, memberi motivasi kepada masyarakat untuk  mempertingkatkan kedudukan dan kemuliaan diri sendiri dan saudara-saudara sebangsa dan seagama.


4.0 Kesimpulan
Berdasarkan isi, pemikiran dan falsafah serta kepengarangan dan estetika yang dikaji yang terkandung dalam penulisan gurindam dapatlah dianggap sebagai puisi yang digunakan untuk tujuan pendidikan dan hiburan. Selain itu, gurindam juga berfungsi sebagai dokumentasi gambaran masyarakat yang dapat memancarkan kreativiti dan estetika serta daya intelektual masyarakat Melayu lama dalam menangani hal kehidupan mereka. Gurindam juga dapat dijadikan media komunikasi antara ahli masyarakat, terutama dalam majlis-majlis yang formal.

            Selain itu, dapat disimpulkan bahawa penghayatan pembaca dalam sesuatu karya seperti gurindam ini akan dapat meningkatkan motivasi diri serta dapat memperbaik nilai murni yang ada dalam diri seseorang. Penghayatan melalui falsafah dan pemikiran ynag disampaikan menjadi tonggak hidupnya sesebuah gurindam yang dibina.

No comments:

Post a Comment