1.0
Pengenalan
Perkataan gurindam berasal
daripada bahasa Tamil kirindam yang membawa maksud umpama. Asal usul kewujudan gurindam di
tanah Melayu adalah disebabkan oleh proses perdagangan orang tamil yang datang
berdagang ke Indonesia suatu ketika dahulu. Ekoran daripada itu, gurindam
dikategorikan sebagai puisi lama Indonesia yang terkenal dalam kalangan
masyarakat Melayu. Kini, gurindam dikenali sebagai satu bentuk puisi Melayu
tradisional yang terdiri daripada dua baris kalimat dengan irama akhir yang sama
serta mempunyai kesatuan yang utuh.
Raja Ali Haji et.al
(2007: 7) menyatakan bahawa gurindam adalah perkataan yang berima pada akhir
pasangannya, tetapi sempurna perkataannya dengan satu pasangannya. Rima pertama
dalam gurindam akan dianggap sebagai syarat, manakala rima yang kedua pula
dianggap sebagai jawapan bagi memenuhi syarat tersebut. Kebiasaannya, jumlah
suku kata bagi tiap-tiap baris serta iramanya tidak ditentukan. Tujuan utama
gurindam adalah untuk menyampaikan nasihat atau kebenaran dengan cara ringkas,
mudah dan padat. Irama bagi gurindam adalah sama dengan irama pantun dan juga
syair. Gurindam merupakan puisi yang dibaca untuk direnungkan dan
diresapi makna yang terkandung di dalamnya oleh pembaca.
Antara gurindam yang terkenal ialah Gurindam 12 yang dikarang oleh Raja Ali
Haji pada tahun 1809 hingga tahun 1872 di Pulau Penyengat. Raja Ali Haji
menulis gurindam ini berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang dimilikinya
sendiri. Gurindam ini dinamakan sebagai Gurindam
12 kerana terdiri daripada 12 fasal. Antara perkara yang diperkatakan dalam
kesemua fasal tersebut adalah tentang tentang ibadah, kewajipan raja, kewajipan
anak, kewajipan orang tua, budi pekerti, hidup bermasyarakat dan beberapa
perkara lain lagi. Jika diteliti secara lebih mendalam, gurindam hasil ciptaan
Raja Ali Haji ini mempunyai kekuatan dari segi falsafah dan pemikiran serta
kepengarangan dan estetikanya yang tersendiri.
2.0
Falsafah dan Pemikiran
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:406) falsafah
ditakrifkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu
yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Mohd. Rashid Md Idris et. al (2014:16) pula mendefinisikan
falsafah sebagai cinta kepada ilmu kebenaran. Dalam erti kata lain, falsafah
adalah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran tentang sesuatu masalah
dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Oleh itu, secara
umumnya konsep falsafah boleh dianggap sebagai kesenian berfikir secara
mendalam yang dianggap bernas dan waras tentang sesuatu subjek. Dalam konteks
karya agung Melayu, falsafah dapat dibahagikan kepada 8 bidang yang utama iaitu
bidang etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan
bidang logik.
Dalam Gurindam 12, falsafah utama yang menjadi pegangan pengkarya dalam
penghasilannya adalah tentang keislaman atau keagamaan. Falsafah keagamaan
sangat ditekankan oleh beliau dalam dirinya sendiri serta rakyatnya. Baginya,
agama merupakan pegangan yang sangat penting bagi seseorang individu. Sekiranya
individu tersebut tidak mempunyai agama, pasti kehidupannya akan menjadi tidak
sempurna tanpa hala tuju yang tepat. Falsafah utama dalam gurindam ini dapat
dibuktikan melalui baris pertama dan kedua dalam fasal pertama iaitu :
… Barangsiapa tiada
memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh
dibilangkan nama. …
Berdasarkan contoh di atas, pengarang jelas berpegang kepada
falsafah keislaman atau keagamaan kerana baginya setiap manusia perlu memiliki agama
masing-masing. Hal ini demikian kerana agama adalah pegangan penting yang
menjadi panduan dalam menjalani kehidupan. Dengan adanya agama, kehidupan
manusia akan lebih terarah dan begitu juga jika sebaliknya.
Seterusnya, falsafah kedua yang terkandung dalam Gurindam 12 ini ialah dari segi etika.
Umumnya, etika sering dikaitkan dengan pemikiran tentang moral, pendidikan,
pengajaran dan juga tingkah laku. Menurut K. Bertens dalam Antonius
Atosokhi Gea (2005), etika ditakrifkan sebagai nilai-nilai atau norma-norma
moral yang menjadi pegangan bagi seseorang individu atau suatu kelompok
masyarakat ketika bertingkah laku. Melalui penelitian terhadap gurindam
ini, falsafah etika dapat dilihat melalui contoh di bawah ini :
… Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
Itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
Sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
Menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
Membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
Lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
Lekaslah orang sekalian gusar. …
Jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
Itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
Sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
Menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
Membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
Lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
Lekaslah orang sekalian gusar. …
Secara
keseluruhannya, contoh di atas membawa mesej kepada golongan ibu bapa yang
diingatkan agar mendidik anak-anak dengan etika yang baik. Bukan itu sahaja,
malahan ibu bapa juga diingatkan agar menerapkan budi pekerti yang mulia dalam
diri anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bagi mengelakkan anak-anak daripada
bersikap negatif. Ibu bapa perlu menerapkan etika yang baik misalnya seperti
tidak menghina individu lain, manfaatkan masa dengan sebaik mungkin, menjaga
tutur kata dengan menggunakan bahasa-bahasa yang sopan ketika bertutur dan
lain-lain lagi. Oleh itu, fasal ketujuh dalam gurindam ini jelas menunjukkan
falsafah yang berkaitan dengan etika yang dijadikan sebagai peringatan kepada
golongan ibu bapa dalam mendidik anak-anak.
Di samping itu, bidang sosial juga
merupakan salah satu falsafah yang terkandung dalam karya Raja Ali Haji ini.
Melalui bidang ini, pengarang telah mengetengahkan gambaran realiti kehidupan
manusia berdasarkan konteks tertentu sebagai falsafahnya. Sebagai contoh,
pengarang lebih menekankan hubungan antara individu dalam pergaulan sosial.
Contohnya adalah seperti di bawah ini :
Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh dimenyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan ‘abdi,
Yang ada baik sedikit budi,
Yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh dimenyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan ‘abdi,
Yang ada baik sedikit budi,
Contoh di atas merupakan petikan
yang diambil daripada fasal keenam dalam Gurindam 12 karya Raja Ali Haji. Fasal
keenam ini berpegang kuat pada falsafah dalam pergaulan sosial. Dalam hubungan
persahabatan, manusia diingatkan agar mencari rakan yang boleh mendorong kepada
kebaikan serta rakan yang mempunyai semangat setiakawan. Hal ini kerana
semangat setiakawan akan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan agar sentiasa
ada bersama ketika susah ataupun senang. Situasi ini bukan sahaja ditekankan
dalam hubungan sosial antara rakan-rakan sahaja, malah hubungan dengan guru
juga turut ditekankan oleh pengarang. Dalam usaha menuntut ilmu, seseorang
individu itu digalakkan untuk menuntut ilmu dengan guru yang mempunyai ilmu
pengetahuan yang tinggi.
Seterusnya, dalam Gurindam 12 ini
juga mempunyai kekuatan dari segi pemikirannya yang tersendiri. Mohd. Rashid Md Idris et. al (2014:69)
menyatakan bahawa pemikiran kebiasaannya akan bermula dengan idea, kemudiannya
dimatangkan pengarang menjadi subjek dan akhirnya menjadi buah-buah fikiran
yang bernas dan signifikan. Secara umumnya pula, pemikiran ditakrifkan sebagai
subjek yang dibawa oleh pengarang dalam proses penghasilan sesebuah karya.
Kebiasaannya, pengarang akan menyampaikan pemikirannya melalui idea dan pengalaman
yang dimantapkan melalui melalui imaginasi dan kreativitinya. Bukan itu sahaja,
bahkan sesetengah individu menganggap pemikiran adalah mesej atau tujuan serta
idealisma yang dibawa oleh pengarang. Ekoran daripada itu, dalam gurindam ini
kekuatan pengarang terletak pada pemikiran yang dibawanya iaitu nasihat-nasihat tentang kehidupan yang
perlu dilalui oleh seseorang individu. Antara nasihat tentang kehidupan yang
terdapat dalam gurindam ini adalah seperti berikut :
Dengan bapa jangan durhaka,
Supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,
Supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai,
Supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan kawan hendaklah adil,
Supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,
Supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai,
Supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan kawan hendaklah adil,
Supaya tangannya jadi kapil.
Contoh di atas menjelaskan tentang
pemikiran pengarang yang menasihati masyarakat dengan menyatakan bahawa setiap
individu perlu menunaikan tanggungjawab sesama insan. Tanggungjawab yang
dimaksudkan di sini ialah tanggungjawab terhadap ibu bapa, isteri atau suami,
anak-anak serta masyarakat. Melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa
merupakan salah satu platform untuk mendapat keberkatan hidup di dunia dan juga
di akhirat. Dalam konteks Islam, ibu
bapa mendapat kedudukan yang paling tinggi serta mulia di sisi Allah S.W.T.
Tanpa ibu bapa, seseorang individu itu tidak akan wujud di dunia ini.
Selain itu, pemikiran yang terkandung
dalam Gurindam 12 ini juga turut
memberi nasihat sebagai panduan dalam menjalani kehidupan iaitu menjaga
pancaindera yang dianugerahkan oleh Allah sebaik mungkin. Menjaga pancaindera
yang dianugerahkan daripada perkara-pekara negatif merupakan satu kewajipan
yang dipertanggungjawabkan terhadap manusia kerana pancaindera merupakan amanah
yang tidak ternilai kepada setiap individu. Menjaga pancaindera daripada perkara
mungkar atau negatif seperti berzina, mengumpat atau menabur fitnah akan membuktikan
tahap keimanan dan ketakwaan seseorang individu itu kepada pencipta. Penggunaan
pancaindera pada landasan yang betul akan memberi pulangan kebaikan kepada
individu itu misalnya seperti memperoleh keberkatan, dipandang mulia oleh masyarakat
serta terhindar daripada dosa-dosa kecil atau besar. Perkara ini dapat dilihat
dengan jelas melalui contoh di bawah ini :
Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadaiah damping.
Apabila terpelihara lidah,
Niscaya dapat daripadanya paedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fi’il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjaian yang membawa rugi.
Sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadaiah damping.
Apabila terpelihara lidah,
Niscaya dapat daripadanya paedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fi’il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjaian yang membawa rugi.
Contoh rangkap gurindam di atas membuktikan nasihat
kepada setiap individu supaya bertanggungjawab terhadap pancaindera yang
dianugerahkan serta mengetahui dengan lebih jelas tingkah laku yang dilakukan
sama ada memberi kebaikan atau keburukan terhadap diri sendiri ataupun
masyarakat sekeliling.
3.0
Kepengarangan dan Estetika
Selain
daripada mempunyai kekuatan dari segi falsafah dan pemikiran, sesebuah karya
sastera itu juga haruslah mempunyai kekuatan dari segi kepengarangan dan
estetikanya yang tersendiri. Kebiasaannya, kekuatan dari segi kepengarangan dan
estetika terdiri daripada dua tahap iaitu tahap rendah mahupun tahap tinggi. Merujuk
kepada kekuatan kepengarangan dalam sesebuah karya, umumnya kepengarangan
dianalisis daripada aspek keperibadian yang dipamerkan pengarang. Dalam konteks
ini, keperibadian dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi seseorang pengarang.
Dalam erti kata yang lain, prinsip keperibadian dianggap sebagai klimaks dalam
perjuangan seseorang pengarang dalam menghasilkan karya. Pengarang akan
berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadiannya
yang tersendiri.
Seperti karya-karya sastera yang
lain, Gurindam 12 yang dihasilkan
oleh Raja Ali Haji ini juga mempunyai kekuatan dari aspek kepengarangannya yang
tersendiri. Raja
Ali Haji merupakan seorang tokoh karya agung yang telah banyak menerbitkan
karya berbentuk buku tatabahasa, kamus, syair serta gurindam. Beliau
dianggap sebagai seorang pujangga Melayu yang sangat terkemuka dalam sejarah
kesusasteraan Melayu tanah air. Setelah dinobatkan sebagai pujangga yang
terkenal dalam dunia kesusasteraan Melayu, beliau memiliki impian untuk
memperbaiki bangsa dan berharap agar bangsa Melayu maju di dunia dan akhirat, hidup
dalam kemuafakatan serta berlandaskan hukum syariat. Impian beliau ini banyak
diluahkan melalui karyanya yang mana dapat dilihat bahawa kebanyakan karya
beliau adalah berkisarkan tentang keagamaan. Unsur keagamaan ini jelas dapat
dilihat melalui karya-karya beliau dan salah atu daripadanya ialah Gurindam 12.
Seperti yang diterangkan pada
bahagian sebelum ini, pemikiran utama yang ingin disampaikan oleh pengarang
melalui Gurindam 12 ini adalah
berkisarkan tentang nasihat. Walaupun nasihat menjadi perkara utama, tetapi
pengarang masih menjadikan unsur keagamaan sebagai asas dalam nasihat tersebut.
Hal ini bermakna nasihat-nasihat yang disampaikan melalui gurindam tersebut
adalah nasihat-nasihat yang berlandaskan keagamaan. Misalnya, keseluruhan fasal
yang terkandung dalam gurindam ini menasihati masyarakat agar taat dengan
perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Perkara ini dapat dibuktikan
melalui contoh di bawah ini :
Barang siapa tiada memegang
agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang yang ma’rifat
Barang siapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
Tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
Tahulah ia dunia mudarat.
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang yang ma’rifat
Barang siapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
Tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
Tahulah ia dunia mudarat.
Petikan di atas merupakan petikan daripada fasal pertama yang
terdapat dalam Gurindam 12. Dalam fasal ini, Raja
Ali Haji menerangkan bahawa individu yang sangat taat dan patuh kepada agama
dianggap berjaya dalam kehidupan di dunia berbanding manusia yang tidak taat
dan tidak patuh pada agama. Di samping itu, unsur keagamaan yang dianggap
sebagai salah satu daripada keperibadian kepengarangan Raja Ali Haji dalam
gurindam ini turut dipaparkan melalui salah satu bahagian daripada fasal kedua
seperti di bawah ini :
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti rumah tiada bertiang.
Petikan bahagian fasal kedua di atas membicarakan
berkenaan rukun Islam yang pertama iaitu tentang solat. Seperti sedia maklum,
solat merupakan tiang kepada individu yang memeluk agama Islam. Oleh hal
yang demikian, dalam gurindam ini beliau menyatakan bahawa individu yang
meninggalkan solat sama seperti rumah yang tidak bertiang. Kiasan yang
digunakan oleh Raja Ali Haji ini jelas menunjukkan beliau sentiasa menjadikan
unsur keagamaan sebagai salah satu daripada sifat keperibadian kepengarangannya
walaupun dalam bentuk nasihat.
Seterusnya selain daripada kekuatan dari segi
kepengarangan, kekuatan dari segi nilai estetika juga seharusnya mendapat perhatian dalam
kalangan pembaca. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:401) mendefinisikan estetika
sebagai cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan,
cita rasa dan lain-lain. Justeru, konsep estetika dalam gurindam ini dipaparkan
melalui sentuhan rasa dan daya fikir dalam kalangan pembaca dengan melihat
kecerdasan dan jalinan keindahan bahasa seseorang pengarang. Luahan hati
pengarang melalui kata-kata dan bayangan budaya kehidupan masyarakat adalah
amat penting dalam menghasilkan sesuatu karya. Nilai seni ini akan dapat
dirasakan oleh pembaca yang tangkas menangkap melalui mata akal dan mata hati
terhadap hasil karya. Dalam konteks estetika kesusasteraan Melayu, istilah keindahan dianggap sebagai salah satu
istilah pokok.
Perkataan estetika dalam bahasa Yunani disebut
sebagai aesthesis yang membawa maksud
hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi membawa
maksud kepekaan manusia terhadap
sesuatu gaya penulisan. Nor
Azman Ab. Aziz (2013:2) pula berpendapat bahawa estetika sebenarnya merupakan
bidang ilmu yang membahaskan keindahan, bagaimana sesuatu seni itu terhasil dan
bagaimana seseorang dapat merasainya atau menghayatinya. Selain itu, estetika
juga boleh diertikan sebagai persepsi pancaindera (sense of perception)
apabila digunakan untuk kajian falsafah. Apabila dilihat dari sudut
konsep yang berkaitan dengan karya, unsur estetika ini dikatakan berkait rapat
dengan karya yang dihasilkan iaitu penghasilan bahasa yang estetik iaitu indah
dan berseni.
Contohnya, dalam Gurindam
12 ini Raja Ali Haji mempamerkan unsur estetika dengan cara menggunakan
perkataan yang bersajak pada akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataannya
dalam satu pasangan sahaja. Contohnya adalah seperti yang dinyatakan di bawah
ini :
Jika hendak mengenai orang berbangsa,
Lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang
berbahagia,
Sangat memeliharakan yang sia-sia.
Contoh di atas menunjukkan salah
satu daripada unsur estetika yang sangat menarik digunakan oleh pengkarya. Hal
ini demikian kerana bermula dari fasal pertama hingga fasal kedua belas,
pengkarya berjaya menggunakan perkataan yang bersajak pada akhir pasangannya,
tetapi sempurna perkataannya dalam satu pasangan sahaja. Contohnya perkataan
akhir baris pertama berpasangan dengan baris kedua. Manakala, baris ketiga pula
berpasangan dengan baris keempat.
Keindahan atau estetika
seterusnya yang terkandung dalam gurindam ini adalah pada pemilihan kata dalam
nasihat yang ingin disampaikan. Dalam situasi ini, pemilihan kata yang
digunakan oleh Raja Ali Haji amat ringkas sekali. Tetapi, mesej yang ingin
disampaikan dapat difahami dengan sempurna dalam kalangan pembaca. Misalnya,
Raja Ali Haji telah menggunakan kata yang ringkas dalam unsur perbandingan seperti
contoh di bawah ini :
Barang siapa meninggalkan
sembahyang,
Seperti rumah tiada
bertiang.
Berdasarkan petikan di atas, baris
kedua menunjukkan perbandingan secara terus iaitu pengkarya membandingkan
keadaan bagi individu yang tidak menunaikan solat sama seperti keadaan rumah
yang dibina tanpa tiang. Hal ini kerana solat adalah tuntutan paling utama
dalam kehidupan seorang muslim. Sekiranya individu tersebut tidak menunaikan
solat, kehidupannya dianggap tidak sempurna dan tidak berkat. Keadaan ini
disamakan seperti proses membina rumah. Sekiranya rumah yang ingin dibina itu
tidak mempunyai tiang, rumah tersebut juga akan dianggap tidak sempurna pembinaannya.
Contoh ini jelas menunjukkan nilai keindahan dalam pemilihan kata yang terdapat
dalam Gurindam 12 ini.
4.0
Kesimpulan
Kesimpulannya melalui Gurindam 12 ini, Raja Ali Haji memaparkan satu gambaran yang jelas
terhadap tradisi dan amalan kehidupan masyarakat Melayu. Sebagai satu
inisiatif, beliau telah mengubah pegangan dan nasihat terhadap masyarakat
Melayu ke dalam bentuk gurindam. Gurindam seperti ini
merupakan warisan budaya masyarakat melayu yang luar biasa yang wajib
dilestarikan penggunaannya. Sehubungan
itu, gurindam seperti ini perlu diperluaskan pembacaannya dalam kalangan
generasi muda. Hal ini kerana isi kandungannya mengandungi unsur nasihat yang
boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian. Bukan itu sahaja, malahan
berdasarkan penelitian terhadap Gurindam
12 karya Raja Ali Haji ini juga kebijaksanaan berbahasa dalam menyampaikan
nasihat jelas terpapar. Semua pesanan dan nasihat yang ingin disampaikan
digubah dalam bentuk dalam kata-kata puitis yang indah dan penuh estetika. Oleh
itu, tidak hairanlah Gurindam 12 ini
dianggap sebagai salah satu karya yang agung dalam bidang kesusasteraan Melayu.
No comments:
Post a Comment