1.0 Pengenalan
Sasterawan Negara Shahnon Ahmad merupakan pelopor sastera yang
tidak asing lagi di Malaysia. Beliau telah menulis berbagai karya yang bermutu
dan banyak menceritakan mengenai isu yang berkait rapat dengan masyarakat di
Malaysia. Shahnon Ahmad berasal daripada keluarga yang miskin dan hidup dalam
suasana kampung yang miskin. Oleh sebab itu, kebanyakan karyanya terhasil
daripada isu kemiskinan dalam masyarakat desa khususnya. Antara novel beliau
yang diangkat menjadi karya agung ialah novel Ranjau Sepanjang Jalan. Novel ini
mempunyai 341 halaman bercetak terbitan Alaf 21 pada 2006. Novel Ranjau
Sepanjang Jalan terbitan Alaf 21 ini merupakan terbitan kedua setelah Utusan
Publication menerbitkan novel ini pada tahun 1997. Novel ini mempunyai 24 bab
yang menceritakan tentang kemiskinan dan perjuangan keluarga petani sawah di Kampung
BanggulDerdap, Sik Kedah.
Novel Ranjau
Sepanjang Jalan ini memaparkan kepayahan dan kemiskinan keluarga petani. Isi
kemiskinan ini sudah sebati dalam diri Shahnon Ahmad menyebabkan beliau mampu
menerangkan sesebuah kisah dalam Ranjau Sepanjang Jalan dengan teliti sekali.
Para pembaca yang membaca mampu merasai dan menghayati setiap perkara yang
berlaku dalam keluarga petani dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Novel ini juga
mengetengahkan dan mendalami erti kasih sayang, kekuatan, kegigihan, ketabahan
dan perjuangan di dalam sekelompok masyarakat tani di desa. Selain itu nilai
kemiskinan melalui konsep kesederhanaan, ketakwaan, kesabaran, keikhlasan, dan
kejujuran seseorang ketika mengalami kesukaran dalam menjalani kehidupan di
dunia.
Novel Ranjau
Sepanjang Jalan ini dihasilkan dengan plot yang sangat kreatif dan bermain
dengan emosi pembaca sehingga menyentak akal fikiran masyarakat sekarang
melalui kehidupan petani dahulu yang sanggup berjuang mencari sesuap nasi untuk
diri sendiri malah perjuangan seluruh lapisan masyarakat setempat pada masa itu
untuk mendapatkan sesuap nasi. Begitu kritis, sensitif dan pintarnya pemikiran
Shahnon Ahmad sehingga dapat menggambarkan kesusahan hidup golongan miskin
diseluruh negeri di Malaysia dengan begitu berkesan kepada pembaca.
2.0 Latar Belakang
Penulis
Dato' Haji Shahnon bin Ahmad dilahirkan pada 13 Januari 1933 di
Sik, Kedah adalah seorang penulis Malaysia, mendapat gelaran Sasterawan Negara,
serta bekas Ahli Parlimen Sik. Beliau dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara
pada tahun 1982. Beliau juga merupakan seorang Profesor Emeritus di Universiti
Sains Malaysia, Pulau Pinang. Beliau kini menetap di 61, Cangkat Minden, Jalan
1, 11700 Gelugor, Pulau Pinang.
Beliau
melanjutkan pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar hingga lulus
Sijil Persekolahan. Kemudian beliau menjadi guru di Grammar English School,
Kuala Terengganu pada tahun 1954, kemudian menjadi Pegawai Tentera di Port
Dickson, Negeri Sembilan pada 1955 sehingga 1956. Beliau kembali bertugas
sebagai guru dan mengajar bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Gunung dan Sekolah
Bukit Besar, Kedah dari tahun 1957 sehingga 1959. Pada tahun 1960, beliau
menjadi guru bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid hingga tahun 1963. Kemudian
beliau mengajar sastera di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim hingga tahun
1967. Pada tahun 1968, beliau berangkat ke Canberra, Australia dan bertugas
sebagai Pegawai Penyelidik di Australian National University dan memperoleh
Ijazah Sarjana Muda pada 1971. Beliau kemudian menjadi pensyarah di Maktab
Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Pada 1975, beliau memperoleh Ijazah
Sarjana Sastera USM dan dilantik menjadi Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
Universiti Sains Malaysia USM pada 1979.
Shahnon giat
menulis sejak pertengahan tahun 1950 dalam genre novel, cerpen, drama, kajian,
esei dan kritikan serta wawancara. Antara novel terkenal beliau ialah Rentong,
Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge, TIVI dan Shit. Antara anugerah yang pernah
dimenangi beliau ialah Hadiah Karya Sastera (1971-1973), "Pejuang
Sastera" oleh Perdana Menteri Tun Hussein Onn pada tahun 1976, Anugerah
Sastera Negara (1982), dan Anugerah ASEAN II Kebudayaan, Komunikasi dan
Persuratan Kesusasteraan (1990). Pada tahun 1980, beliau dianugerahi Pingat
Darjah Kebesaran Datuk Setia Diraja Kedah oleh Yang Maha Mulia Sultan Kedah
yang membawa gelaran Datuk. Gelaran Profesor Emeritus pula diterima daripada
Universiti Sains Malaysia pada 11 September 1993.Antara novel yang beliau ialah
Terdedah Melaka (1965), Menteri, Alor Setar, Protes (1967), Perdana (1969),
Srengenge, Sampah (1974), Kemelut (1977), Seluang Menodak Baung (1978).
Tunggul-tunggul Gerigis (1989), Ummi dan Abang Syeikhul (1992), Ibu Adalah
Pentafsir dan Sungai (1995), terjemahan Stumps (1997) dan Shit.
3.0 Sinopsis Ranjau
Sepanjang Jalan
Ranjau Sepanjang Jalan adalah satu karya dari Shahnon Ahmad yang
banyak menyentuh tentang kemiskinan dan perjuangan keluarga petani sawah di Kampung
BanggulDerdep, Sik Kedah. Berlatar
belakang kampung halaman penulis sendiri Shahnon Ahmad, beliau membawa pembaca
menghayati dan menginsafi keperitan hidup dalam kemiskinan golongan petani pada
masa dahulu agar generasi sekarang akan sedar dan insaf akan susah payahnya
untuk mendapatkan sesuap nasi. Melalui novel ini penulis berjaya mencipta satu
plot yang penuh kreatif dan permainan emosi yang berjaya menyentak akal fikiran
kelompok masyarakat sekarang yang mana petani dahulu sanggup berjuang untuk
mencari sesuap nasi untuk diri sendiri malahan seluruh lapisan masyarakat
setempat pada masa itu.
Kisah bermula
daripada kehidupan keluarga Lahuma dan isterinya Jeha bersama tujuh orang anak
gadis mereka iaitu, Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah, yang
berjuang menguruskan sawah mereka sebanyak 14 relung sebagai satu kepentingan
utama dalam kehidupan mereka. Walaupun untuk
satu musim hasil padi tidak boleh terkurang, padi menjadi
segala-galanya, hidup mati mereka semuanya bergantung kepada hasil padi.
Perjuangan Lahuma sebagai ketua keluarga cukup memberikan impak yang besar
terhadap keluarganya. Sehingga akhirnya Lahuma kecundang akibat kakinya
terpijak onak nibung yang meragut nyawanya sendiri. Kedaifan dan kesengsaraan
keluarga petani ini bertambah buruk lagi setelah pemergian Lahuma. Maka Jeha,
isteri Lahuma memikul tanggungjawab yang besar dan banyak menghadapi cabaran
dan rintangan dalam mengusahakan sawah peninggalan suaminya. Sebelum itu,
selalunya Lahuma mengerjakan sawah mereka dan dibantu oleh Jeha. Tetapi dengan
ketiadaan Lahuma, Jeha bersama anak-anak perempuannya pula memikul beban
mengerjakan sawah. Namun tenaga Lahuma tidak terganti walaupun dengan gabungan
tenaga Jeha dan anak-anak perempuannya.
MalangnnyaJeha
tidak dapat bertahan dengan segala kesusahan yang diharunginya sendirian tanpa
Lahuma. Banjir, serangan ketam-ketam dan burung-burung tiak menjadikan Jeha
tidak keruan dan akhirnya Jeha menjadi gila akibat dugaan mendatang tanpa henti
semasa mengusahakan sawahnya. Setelah Jeha menjadi gila dan di hantar ke
hospital Tanjung Rambutan, Perak, segala bebanan dan tanggungjawab keluarga
diambil alih oleh anak sulungnya iaitu Sanah. Sanah bersama adik-adiknya adalah penerus
perjuangan Lahuma dan Jeha sebagai keluarga tani untuk menguruskan sawah
mereka.
4.0 Pemikiran Isi Dan
Mesej
Isi dan mesej bermaksud pemikiran yang diketengahkan oleh penulis
dalam sesebuah karya. Isi dan mesej ini ialah salah satu ciri yang harus
dimiliki oleh karya yang boleh diangkat dan dinobat sebagai sebuah karya agung
ialah memiliki isi dan mesej yang baik dan bermanfaat. Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat (2010), ‘isi’ bermaksud sesuatu yang termuat dalam sesuatu benda,
atau kandungan. ‘Mesej’ pula bermaksud sesuatu gagasan atau pengajaran yang
hendak disampaikan dalam sesuatu karya sastera dan lain-lain. Oleh itu, isi dan
mesej ialah sesuatu perkara yang termuat dalam sesebuah karya sastera yang
menjadi pengajaran kepada pembaca. Terdapat banyak isi dan mesej yang sesuai dijadikan
pengajaran kepada pembaca yang membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan.
4.1 Kehidupan sebuah
keluarga yang bergantung kepada tanaman padi
Berdasarkan novel Ranjau Sepanjang Jalan, novel ini mengisahkan
kehidupan sebuah keluarga yang bergantung kepada hasil tanaman padi. Secara
keseluruhannya novel ini banyak menceritakan mengenai susah payah petani dari
menebas semak sehingga menuai padi menjadi beras. Walaupun banyak dugaan yang
menimpa, petani perlu bekerja keras dan memastikan padi dapat dituai pada masa
yang telah ditetapkan. Dalam novel ini mengisahkan keluarga petani iaitu Lahuma
dan isteri dan tujuh anaknya berhempas pulas memastikan padi mereka ditanam
pada waktu yang ditetapkan agar mereka tidak ketinggalan oleh petani padi yang
lain. Walaupun mereka tidak mempunyai jentera untuk membajak bendang mereka,
tetapi dengan tulang empat kerat Lahuma dan sekeluarga, padi mereka tetap
menghasilkan padi mengikut jadual. Pada setiap tahun Lahuma dan Jeha menanam
padi mereka dan menghadapi pelbagai dugaan seperti kemarau, banjir, serangan
haiwan seperti burung tiak, ketam, tikus dan ular berbisa. Petikan di berikut
menunjukkan betapa pentingnya sawah padi kepada keluarga mereka,
Jeha
teringat pesan Lahuma dulu, “Anak-anak kita perlu makan siang malam. Tak ada
nasi anak-anak kta akan mati. Makan kita bergantung pada sawah. Pakaian
bergantung pada sawah. Sakit atau sihat bergantung pada sawah. Mati hidup
bergantung pada sawah.
Sawah nadi besar kita sejak datuk nenek
dahulu lagi. Ia mesti dipupuk dan dijaga. Biar siapa datang menyerang, kita
wajib melawan. Biar siapa datang mengacau, kita wajib melawan. Biar datang
seribu musuh, kita mesti lawan. Itulah hidup kita.”
(Ranjau Sepanjang Jalan:213)
Selain itu,
akibat daripada tertusuk duri nibung, Lahuma terpaksa berehat dan meminta Jeha
isterinya untuk menyambung mengerjakan 14 relung mereka sehingga siap. Setelah
Lahuma meninggal dunia, Jeha telah mengambil alih menjadi ketua keluarga dan
menjaga relung yang ditinggalkan oleh Lahuma untuk dikerjakan oleh Jeha dan
anak-anaknya. Jeha dibantu oleh Tok Penghulu untuk membersihkan relung mereka
sebelum menanam anak padi. Hal ini adalah bantuan setelah ketiadaan Lahuma dan
sebagai membalas jasa Lahuma membantu Tok Penghulu menangkap Kerbau liarnya.
Namun, Jeha tidak mampu bertahan dengan segala dugaan yang menimpa mereka
sekeluarga setelah Lahuma meninggal dunia. Akhirnya Jeha menjadi gila dan tok
penghulu dan orang kampung telah menghantar Jeha ke Hospital Tanjung Rambutan
untuk rawatan. Petikan dibawah menceritakan mengenai Jeha yang terpaksa dibawa
ke Hopsital Tanjung Rambutan:
Dua
hari kemudian, tuk penghulu datang membawa beberapa orang lelaki yang tidak
dikenali. Jeha mesti dirawat juga. Orang kampung tidak ada masa untuk mengubati
Jehalagi.mereka sibuk dengan padi di sawah. Sibuk dengan banjir. Mahu tidak
mahu, Jeha mesti dibawa pergi jua ke suatu tempat untuk diubati.
…
Emak mereka telah manjadi gila. Ini sudah diketahui oleh adik-adik Sanah. Emeak
mereka akn dibawa pergi untuk diubati, dan ini pun diketahui oleh mereka juga.
Tetapi mereka kurang mengetahui bila emah akan pulang…
(Ranjau Sepanjang Jalan:279-281)
4.2 Cabaran ketua keluarga
mencari rezeki
Menjadi seorang ketua keluarga sangat sukar dan berat bebanan yang
perlu dipikul. Tugas seorang suami tidak hanya menjaga isteri dan anaknya
sahaja tetapi suami perlu memastikan segala keperluan harian dan keperluan
pendidikan anak-anak lengkap. Oleh itu untuk memastikan isteri dan anak-anak
berada dalam keadaan yang selesa, suami perlu bekerja keras untuk mencari
rezeki dan menampung keluarganya. Dalam novel ini, Lahuma sebagai ketua
keluarga perlu memikirkan cara untuk menyuap sesuap nasi kepada semua ahli
keluarganya dan memastikan mereka mendapat makanan yang cukup dan tidak
kebuluran. Oleh itu Lahuma bekerja siang malam tanpa lelah menanam padi dan
hasilnya boleh dijual kepada peraih dan untuk keperluan Lahuma sekeluarga.
Lahuma juga
sentiasa memikirkan masa depan mereka sekeluarga dan Lahuma juga ada berangan
untuk melihat cucu dan cicitnya menikmati beras yang telah dituai oleh hasil
titik peluh mereka sendiri. Lahuma juga sentiasa memikirkan kepentingan
keluarga mereka kerana dia adalah satu-satunya lelaki yang berada dalam
keluarganya dan sekiranya Lahuma mati siapa yang akan meneruskan perjuangannya
dan adakah cucu cicitnya akan merempat dijalanan dan meminta sedekah kelak.
Perkara ini ada diceritakan di dalam bab 1,
Tetapi apa akan berlaku jika dia mati nanti? Bendang 14 relung itu
akan dibahagi-bahagikan. Dua relung seorang. Dan apabila anak-anaknya itu
dikurniakan zuriat, mereka sendiri membahagi-bahagikan bendang itu pula lagi
sedikit cucu-cucunya akan dapat. Dan boleh jadi cicit-cicitnya nanti tidak akan
mendapat walau satu tapak bendang sekalipun.
…”Cicit-cicit kita akan meminta sedekah. Cicit-cicit kita akan
minta sedekah,” rungutnya seorang diri. Kemudian dia mendengus kasar.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 5)
Dugaan hebat
telah diterima oleh keluarga Lahuma pada tahun tersebut. Ketika Lahuma menebas
semak di bendang, Lahuma ditusuk duri nibung di bahagian tapak kakinya.
Disebabkan tusukan duri nibung, Lahuma terpaksa berehat dirumah dan urusan
bendang diberikan kepada Jeha dan anaknya Sanah dan Milah. Ketika di
bersendirian di rumah, Lahuma bermonolog sendiri dan memikirkan masa depan
keluarga mereka sekiranya dia masih tidak turun ke bendang. Pelbagai telahan
dibuat sehinggakan dia tekad untuk menoreh kakinya dengan pisau cukur demi
menjaga padinya dari bencana. Lahuma berkeras menorah kakinya tanpa rasa ragu
dan menghentak-hentak kakinya sehingga darah terpancut keluar. Disebabkan bisa
duri nibung dan bisa pisau cukur, badan Lahuma semakin membengkak sehingga
melarat kepada penyakit busung perut. Lahuma tidak boleh berjalan dan bercakap.
Cecair-cecair mengalir keluar dari semua rongga hidung, telinga dan, rekahan
perut Lahuma. Akhirnya Lahuma mati dan meninggalkan janda dan anak perempuan
tujuh orang. Petikan dibawah menceritakan keadaan Lahuma selepas ditusuk duri
selama sebulan:
Beberapa hari kemudian, ternyatalah bengkak itu tidak mahu surut
langsung, malah sudah melarat kepada penyakit busung. Perut Lahuma bertambah
besar seperti perut Jeha mengandung Sembilan bulan. Lama-kelamaan perut Lahuma
pecah-pecah kulitnya. Daripada retak-retak itu, mengalir sejenis air yang
paling hanyir. Lahuma tidur terlentang saja.
Puas bomoh datang memberi ubat sakit busung tetapi air bias yang
hanyir itu mengalir juga melalui retak-retak perut. Perut itu perlu dicuci dan
dibasuh hingga air hanyirnya meresap kain basahan.
(Ranjau Sepanjang Jalan:144)
4.3 Kesetiaan isteri demi
suami dan anak-anaknya
Seorang isteri merupakan peneman yang sangat setia kepada suaminya
ketika susah dan senang. Seorang isteri yang taat ialah isteri yang mendengar
arahan dan nasihat daripada suaminya. Dalam Ranjau Sepanjang Jalan, Jeha telah
diduga apabila suaminya Lahuma tidak mampu menajak akibat ditusuk duri nibung.
Lahuma telah meminta Jeha dan anaknya Sanah dan Milah untuk meneruskan kerja
tertangguh di bendang. Walaupun Jeha mengetahui bahawa dengan kudratnya dan
kedua anaknya tidak mampu menyaingi kekuatan Lahuma, namun Jeha tetap
meneruskan usaha suaminya dan memastikan padi mereka menjadi pada tahun ini.
Jeha dan dua
anaknya Sanah dan Milah bertungkus lumus membersihkan tanah untuk menanam padi.
Dia juga telah berjanji untuk memastikan padi pada tahun tersebut akan berhasil
dan mereka sekeluarga tidak akan kebuluran. Kesetiaan Jeha kepada suami dan
anak-anaknya perlu dicontohi oleh masyarakat kini kerana semangat Jeha yang
kental dan tidak putus asa terhadap tanaman mereka dan demi janji kepada arwah
suaminya yang akan menjaga padi dan anak-anaknya. Petikan dibawah menunjukkan
dialog ketika Lahuma tidak mampu ke sawah, Lahuma telah meminta Jeha untuk turun
membersihkan kawasan bendang.
“Esok
awak turun saja dengan budak-budak tu”, sambung Lahuma. Sesekali dia
menyeringai apabila Jeha menekan di bahagian yang sakit.
Jeha mendengar pesanan itu dengan perasaan sebak. Dia mengangguk.
Biarlah dia yang memikul beban Lahuma. Dia sanggup melakukannya.
…Jeha cuba mengiyakan saja. Bendang itu tentu tidak sanggup
dihabiskan olehnya dan Sanah serta Milah. Jeha sedar tentang kedudukannya yang
sebenar. Tiada Lahuma, tiadalah beras untuk anak-anak. Mulutnya terasa ringan
untuk menyatakan ‘Aku tiga beranak tak boleh menajak semuanya. Aku tak sanggup.
Kita sewa sajalah setengahnya.’ Namun, Jeha tidak berani meluahkannya pada
waktu itu.
(Ranjau Sepanjang Jalan:99-100)
4.4 Masalah yang dihadapi
petani dalam menghadapi bencana alam
Pelbagai masalah yang dihadapi oleh semua petani ketika musim
menanam padi bermula. Dari bendang dibajak sehingga padi telah masak dan tiba
musim menuai akan tiba pelbagai masalah. Antara masalah yang dihadapi ialah
bencana alam seperti kemarau dan banjir, serangan binatang seperti burung tiak,
ular berbisa, ketam-ketam, dan tikus. Berdasarkan novel ini, pada permulaan
menceritakan mengenai Jeha yang hamper dipatuk ular tedung berbisa. Lahuma
telah membunuh ular tersebut dan Jeha telah mengalami trauma selama beberapa
bulan. Banjir juga melanda bendang sehingga memusnahkan anak padi dan
menghanyutkan sampah sarap ke dalam bendang.
Petani telah berhujan
panas untuk menjaga padi mereka sehingga masak dan ketika padi mula menguning
burung tiak pula menghampiri untuk memakan padi yang masak. Burung yang datang
bukan berates tetapi beribu-ribu sehingga petai perlu menjaga bendang dari pagi
sehingga lewat petang. Petani perlu memikirkan pelbagai cara untuk memusnahkan
perosak ini agar hasil tanam mereka menjadi dan mereka mampu menyara keluarga
masing-masing. Petikan dibawah adalah ketika Jeha serta Sanah dan adik-adiknya
sedaya upaya untuk membunuh berates ribu ketam yang datang untuk mematahkan
anak padi yang baru ditanam,
“Pungut! Pungut! Pungut!” jerit Jeha sambil membongkok-bongkok di
celah baris semai yang baru ditanam itu.
Dua, tiga ekor sekali cekak. Sesetengahnya dipijak hingga terbenam
lemas dalam lumpur. Yang setengahnya diramas begitu saja. Kadang-kadang apabila
tiba pada puak-puak yang banyak bertumpang tindih, dikuak-kuak saja masuk ke
bakul.
Kawah diletak di atas tungku. Api dinyalakan. Dan Jeha menuangkan
isi bakul itu ke dalam kawah berisi air. Ketam itu bergerak-gerak apabila
bertempur dengan air. Apabila air mula panas, ketam-ketam itu mula bergerak
cepat. Apabila buih-buih air panas itu terkuak, ketam-ketam itu mulai tenggelam
dan berbalik-balik badan. Kepanasan air sudah mula terasa sedikit-sedikit kulit
belakang ketam mulai merah.
(Ranjau Sepanjang Jalan:196-197)
5.0 Nilai Budaya dan
Pandangan Hidup
Perkataan budaya berasal daripada kata Sanskrit iaitu budayyah yang merupakan kata jamak bagi
perkataan buddhi. Perkataan ini
membawa maksud budi pekerti atau akal (Mohd Rashid Md. Idris,2014). Manakala,
jika diteliti secara umum budaya ditakrifkan sebagai suatu amalan yang dibawa
atau dikerjakan oleh sekumpulan manusia. Budaya kebiasaannya akan dianggap
mempunyai hubungan yang erat dengan kehidupan masyarakat. Setiap perlakuan
masyarakat akan dikaitkan hubungannya dengan kebudayaan yang dimiliki oleh
masyarakat itu sendiri. Selain itu, budaya juga dikatakan merangkumi
keseluruhan norma masyarakat termasuklah nilai, ilmu pengetahuan, keagamaan,
struktur-struktur kemasyarakatan, serta ciri-ciri khas yang membentuk sesebuah
masyarakat.
Sementara itu,
pandangan hidup pula ditakrifkan sebagai sebuah draf
atau konsep terhadap kehidupan yang akan dijalani. Pandangan hidup yang
dimiliki pada umumnya dalam kalangan masyarakat adalah pandangan yang sesuai
dengan agama dan norma-norma masyarakat. Pandangan hidup merupakan perkara yang
mutlak untuk dimiliki oleh setiap manusia didunia ini. Hal ini kerana dengan
memiliki pandangan hidup, seseorang individu itu dapat mengetahui arah tuju
kehidupannya. Bukan itu sahaja, bahkan pandangan hidup juga akan membentuk jati
diri seseorang individu. Jati diri adalah gambaran sifat atau karakter dalam
diri seseorang. Jati diri dalam setiap orang kebiasaannya berperanan sebagai
prinsip hidup yang membantu individu tersebut untuk tidak mudah terpengaruh
dengan persekitaran sekeliling. Dalam novel Ranjau
Sepanjang Jalan yang telah dianalisis ini, terdapat beberapa nilai budaya
dan pandangan hidup yang terkandung di dalamnya.
5.1 Nilai Budaya
5.1.1 Mengenang Budi
Salah satu nilai budaya yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah mengenang
budi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, budi didefinisikan sebagai akal,
kebijaksanaan, pekerti, akhlak, tingkah laku, kelakuan dan watak (2010:212).
Manakala, jika ditafsir secara umum mengenang budi membawa maksud mengingati
sumbangan atau jasa yang dilakukan oleh seorang individu terhadap individu
lain. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan
ini, nilai mengenang budi dapat dilihat dalam diri Tuk Penghulu Kampung
BanggulDerdap. Setelah melihat kesakitan dan keuzuran yang ditanggung oleh
Lahuma akibat tusukan duri nibung, Tuk Penghulu berasa kasihan terhadap
keluarga berkenaan kerana musim menanam padi akan kunjung tiba tidak lama lagi.
Tetapi petak sawah keluarga tersebut masih belum habis dibersihkan. Bagi
membalas jasa terhadap budi yang pernah dicurahkan oleh Lahuma yang mencari
kerbau keweh Tuk Penghulu yang hilang dahulu, Tuk Penghulu telah bersetuju
untuk memberi bantuan dengan mengarahkan orang suruhannya membersihkan
petak-petak sawah Lahuma dengan traktor miliknya. Perkara ini dapat dilihat
melalui petikan di bawah ini :
“Dah habis menajak?” soal tuk penghulu. Matanya memandang Jeha yang
nampak mempunyai minat.
“Belum lagi. Yang tajak pun batang menerung, belum lumat,” ujar
Jeha.
“Siapa menajak?” soal penghulu.
“Sejak Lahuma merekot, sayalah bersama anak-anak.”
Tuk Penghulu menggeleng.
“Biar aku hantar traktor ke sawah kau selama dua tiga hari.
Semuanya tentu habis.” Tuk Penghulu memberi cadangannya.
(Ranjau Sepanjang Jalan,152)
5.1.2 Kasih Sayang
Seterusnya, dalam novel ini masyarakatnya juga mengamalkan budaya
kasih sayang. Kasih sayang dalam novel ini dapat dilihat daripada dua aspek
yang berbeza iaitu kasih sayang seorang isteri terhadap suami dan juga kasih
sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya. Dalam konteks ini, watak utama yang
merupakan pasangan suami isteri dalam novel ini menunjukkan kasih sayang yang
utuh antara satu sama lain. Sebagai contoh, setelah kaki Lahuma menjadi semakin
parah akibat tercucuk dek duri nibung, Jeha tetap setia di sisi suaminya. Jeha
sanggup mencuci luka dan nanah yang berbau busuk dan hanyir pada kaki suaminya
demi rasa kasih dan cintanya pada si suami. Walaupun Jeha sedar tuntutan untuk
mengerjakan bendang masih belum selesai, tetapi dia tetap menjaga suaminya
dengan sebaik mungkin. Berikut adalah contoh yang menunjukkan kasih sayang Jeha
terhadap suaminya, Lahuma :
Petang
itu, Jeha tidak turun ke sawah. Kaki suaminya dicelur dan dituam lagi. Ubat
ramuan dicari dan ditambah. Beberapa kali kain panas diusap-usap ke atas kaki
yang bengkak itu. Lahuma terbaring saja sepanjang petang itu. Jeha
menghembus-hembuskan kaki itu. Akhirnya, Lahuma terlena. Jeha menghembus lagi perlahan-lahan hingga kelopak mata
Lahuma benar-benar terkatup. Kaki bengkak yang tersidai di atas ribanya itu
perlahan-lahan diangkat dan diletak pula ke atas bantal lasam. Dengan hati-hati
dia meninggalkan suaminya.
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 125)
Seterusnya,
budaya kasih sayang dalam novel ini turut dipaparkan melalui watak Jeha sebagai
ibu yang amat menyayangi anak-anaknya. Anak-anak Jeha terdiri daripada tujuh
orang semuanya iaitu Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah. Selepas
kematian Lahuma, Jeha meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja kuat
membanting tulang di sawah untuk mencari rezeki bagi menyara anak-anaknya. Jeha
terpaksa mengetepikan kesedihan akibat daripada kematian suaminya, dia bertekad
untuk mengerjakan sawah bagi menyara kehidupan anak-anaknya. Perkara ini dapat
dibuktikan melalui petikan di bawah ini :
… Dan hilanglah wajah Lahuma daripada
pandangannya.
Tetapi,
pandangan itu Cuma pada mata Jeha saja. ‘Lahuma berada di mana-mana,’ fikir
Jeha. Lahuma menyuruhnya ke bendang esok. Sanah dan Milah dan anak-anak yang
lain mesti diberi makan. Dan makanan itu Jeha cukup faham. Hanya nasi saja yang
menjadi bahan selama ini. Hanya bendang itulah satu-satunya pusaka Lahuma yang
akan menyambung dia dan nyawa anak-anak tujuh orang itu.
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 159)
5.1.3 Adat Merisik
Kebiasaannya, masyarakat Melayu mengamalkan adat-adat tertentu
dalam proses perkahwinan. Antara adat yang diamalkan adalah seperti adat
merisik atau meminang, adat bertunang dan seterusnya adat bersanding. Begitu
juga dalam novel ini, masyarakatnya turut mengamalkan budaya atau merisik.
Situasi ini dapat dilihat ketika Lahuma dan Jeha sedang berbicara tentang anak
sulung mereka iaitu Sanah. Sanah dikatakan sudah meningkat dewasa dan mampu
untuk melakukan kerja-kerja rumah dengan cekap. Sehubungan itu, sekiranya
terdapat mana-mana pihak yang datang merisik puteri sulung mereka, Lahuma akan
memberi keizinan sekiranya pihak tersebut daripada golongan keluarga yang
baik-baik. Situasi ini dapat dibuktikan melalui petikan di bawah ini :
“Tak lama lagi datanglah risik, sungut Jeha yang masih berada di
belakang. “Sanah tu dah bertubuh sekarang”.
Lahuma tidak menyahut kata-kata Jeha. Anak sulungnya itu pantas
membuat kerja. Kalau setakat padi seguni itu, dapat ditumbuknya sampai habis.
… “Kalau datang risik?” duga Jeha lagi.
“Lepaskan saja kalau yang datang tu boleh tahan.”
(Ranjau
Sepanjang Jalan,30)
5.2 Pandangan Hidup
5.2.1 Kemiskinan Hidup
Masyarakat Petani
Lazimnya, masyarakat akan mengaitkan kemiskinan
dengan penderitaan atau kesusahan. Golongan yang miskin akan dikatakan melarat
kehidupannya. Berdasarkan novel Ranjau
Sepanjang Jalan ini, kehidupan masyarakat petani digambarkan sebagai
golongan yang miskin. Mereka hanya bergantung pada hasil tanaman padi
semata-mata bagi menyara kehidupan. Justeru, golongan ini akan berusaha sedaya
upaya untuk melawan perkara-perkara yang menjadi halangan tanaman padi mereka untuk
tumbuh dengan subur. Misalnya, penduduk Kampung Banggul Derdap berhabis-habisan
melawan serangan ketam, burung tiak dan juga banjir yang melanda tanaman
mereka. Sekiranya mereka membiarkan sahaja tanaman mereka diganggu oleh
ketiga-tiga perkara tersebut, pasti mereka akan kebuluran tanpa makanan. Hal
ini kerana padi adalah sumber rezeki mereka sejak turun-temurun. Contohnya
adalah seperti berikut :
“Hidup kaum tani, fikir Jeha, akan hidup di tengah-tengah
lumpur. Akan berkubang macam kerbau. Akan berjemur panas macam tanah tandus.
Akan basah macam terendam di tengah-tengah banjir besar. Mereka akan memungut
ketam dan membunuh binatang bedebah itu. Mereka harus belajar membunuh.
Membunuh setiap benda yang akan menghalang pada mereka. Burung tiak yang akan
datang berjuta-juta dan berlaksa-laksa. Jeha terasa lapang dadanya bila
teringat Lahuma yang akan disambungkan perjuanngannya hingga ke anak cucu
cicit. Lahuma yang banyak memberi tenaga kepada seluruh keluarga.”
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 120)
5.2.2 Berpegang Kuat Pada
Ajaran Islam
Islam merupakan agama yang mengimani satu Tuhan, iaitu Allah. Ajaran Islam
adalah berlandaskan seperti mana yang tercatat dalam Al-Quran. Sehubungan itu,
dalam novel ini terdapat satu pandangan yang menunjukkan watak-watak dalam
novel ini berpegang kuat pada ajaran Islam. Misalnya, Lahuma sentiasa
menunjukkan sifat patuhnya kepada pencipta dengan cara menunaikan solat secara
berjemaah dan berdoa bersama-sama dengan isterinya. Sifat Lahuma ini dapat
dilihat dalam petikan ayat berikut :
Malam merangkak dari senja ke maghrib dan terus masuk
waktu isyak. Lahuma sedang bertimpuh di atas tikar mengkuang sambil kedua-dua
belah tangannya tercantum menadah langit. Jeha yang berada di belakangnya dalam
keadaan serba putih bertimpuh dengan kemas sekali. Mukanya ditutup rapat dengan
kedua-dua belah tapak tangan. Maing-masing bermohon doa kepada Allah S.W.T.
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 14)
Selain itu, Lahuma juga percaya dengan kekuasaan Allah. Oleh itu, sebelum
memulakan kerja-kerja di sawahnya, Lahuma memohon perlindungan terlebih dahulu
dengan cara berdoa kepada Allah S.W.T. Dia berdoa agar dilindungi daripada
segala bencana atau perkara-perkara yang tidak diingini. Berikut adalah contoh
yang menunjukkan situasi Lahuma sedang berdoa memohon pada Allah S.W.T :
Azam lahuma tidak mahu melangkah turun esok
pagi-pagi tanpa keizinan Yang Maha Esa. Kedua-dua belah tangannya ditadah.
Sudut hatinya melupakan segala kerumitan, hanya tertumpu pada ALLAH.
”Ya ALLAH, Yang Maha Besar, Yang Maha Agung,
benarkanlah aku mula bekerja esok dan biarlah selama itu aku dilindungi
oleh-MU. Jauhkan aku daripada segala bencana alam, daripada segala penyakit,
daripada lipan-lipan dan ular-ular dan kala jengking yang bisa-bisa.
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s
14-15)
5.2.3 Percaya
Pada Qadak dan Qadar
Percaya pada qadak dan qadar membawa maksud
percaya pada ketentuan Allah S.W.T. Sebagai hamba, manusia perlu redha dengan
ketentuan yang telah ditetapkan kepadanya. Novel Ranjau Sepanjang Jalan
memperlihatkan pandangan hidup yang dimiliki oleh masyarakatnya yang percaya
pada qadak dan qadar yang ditetapkan oleh Allah. Hal ini jelas sekali dapat
dilihat dalam diri Lahuma dan juga Jeha. Contohnya adalah seperti di bawah ini
:
Lahuma
dan Jeha cukup percaya bahawa mereka juga akan mempunyai pegangan yang sama.
Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Allah S.W.T. Kini, pegangan itu telah
banyak memberi ketenangan hidup kepada mereka sekeluarga.
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 2)
Berdasarkan
contoh di atas, sifat redha dengan ketentuan qadak dan qadar dapat dilihat
dalam diri Lahuma dan Jeha kerana mereka percaya bahawa ajal maut serta rezeki
kesemuanya ditentukan oleh Allah S.W.T. Mereka tidak pernah kesal dengan
kekurangan yang mereka alami walaupun sekali. Mereka hanya redha dengan
ketentuan-Nya agar hidup lebih tenang dan harmoni.
6.0 Nilai ilmu
Dalam karya-karya baik karya agung tradisional mahupun karya agung
moden, nilai ilmu memang selalu diselitkan oleh pengarang atau penukil. Menurut
Mohd Rashid MdIdriset al. (2014), dalam karya tradisional Melayu
terdapat gambaran menyeluruh tentang budaya ilmu orang Melayu. Konsep nilai
menurut kamus dewan edisi keempat (2010)adalah merujuk kepada darjat, kualiti,
mutu dan tara, manakala ilmu pula dirujuk sebagai ilmu pengetahuan dalam
perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Maknanya, nilai ilmu ini
boleh diringkaskan sebagai pengetahuan yang mempunyai nilai dan berguna kepada
penerima maklumat atau pembaca teks tersebut. Dalam karya-karya agung, terselit
pelbagai nilai ilmu yang sesuai dengan latar karya tersebut dihasilkan. Dalam
karya agung moden, iaitu novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad juga
mempunyai beberapa nilai ilmu yang berguna kepada pembacanya khususnya ilmu
yang berkaitan dengan masyarakat Melayu. Antara nilai ilmu yang terdapat dalam
karya tersebut ialah ilmu bercucuk tanam, ilmu perdagangan dan ilmu agama.
6.1 Ilmu bercucuk tanam
Novel Ranjau Sepanjang Jalan ini memang berlatarbelakangkan
kehidupan masyarakat petani di kampung. Dari awal hingga akhir bab novel ini,
perkembangan cerita memang fokus kepada kehidupan keluarga Lahuma yang
menjadikan bertanam padi sebagai sumber utama rezeki. Kesusahan dan kesungguhan
masyarakat petani di kampung BanggulDerdap, Sik Kedah menggambarkan betapa
menyelamatkan sebutir padi daripada menjadi mangsa burung Tiak, ketam dan
bencana alam itu sangat susah dan perit sekali. Dalam novel ini, pengarang
menyelitkan cara petani menanam padi.
Contohnya seperti berikut:
Lahuma meneruskan kerjanya mengasah
parang. Esok belukar itu akan ditebas. Esoklah akan bermulanya hari dia menanam
padi. Selepas menebas, tanah itu akan digembur dan dirata. Padi akan ditabur.
Dan sebelum menunggu semai itu cukup usianya, Lahuma anak-beranak akan turun ke
sawah. Rumput dan menerung tebal terpaksa ditajak hingga tercabut perdu-perdu
dan akar-akarnya.
(Ranjau sepanjang jalan,
2006:11).
Berdasarkan
petikan daripada novel tersebut, dapat dilihat bahawa pengarang cuba untuk
menerangkan urutan menanam padi. Bermula dari menyediakan peralatan kemudian
petani perlu menebas tapak untuk menanam padi sebelum merata dan mengembur
tanah. Seterusnya, benih padi akan disemai. Sementara menunggu semaian tersebut
cukup untuk dipindahkan, petani perlu menajak rumput dan menerung yang
menguasai tapak menanam padi.
6.2 Ilmu agama
Keluarga Lahuma yang menjadi fokus utama jalan cerita novel ini
hidup dihimpit kemiskinan. Sekiranya pembaca memang menghayati karya ini,
kemiskinan yang digambarkan boleh menyebabkan keluarga Lahuma ini lemah
semangat untuk meneruskan hidup namun keluarga ini tetap tabah dan berpegang
kepada agama. Kemiskinan adalah keadaan kekurangan terhadap perkara-perkara
yang biasa diperlukan oleh seseorang individu seperti makanan dan minuman,
pakaian serta tempat tinggal kerana keperluan ini sangat berkait rapat dengan
kualiti hidup manusia. Keluarga Lahuma
menganut agama Islam dan mereka berpegang teguh kepada anutan tersebut.
Contohnya, Lahumaredha dengan takdir dan ketentuan yang diberikan Tuhan kepada
keluarganya. Lahuma tidak putus-putus berdoa kepada-Nya. Lihat petikan berikut:
“Aku tak akan menganiayai segala
insan dan makhluk-MU. Aku tak akan membunuh segala bencana yang tak
mengganguperjuanganku dan seluruh keluargaku,” rintih Lahuma dalam doanya.
(Ranjau sepanjang jalan,2006:25).
Dari awal bab
dalam novel ini, Shahnon Ahmad memberi watak Lahuma sebagai seorang yang
sentiasa berpegang kepada agama. Bukan setakat Lahuma, isiterinyaJeha juga
sentiasa percaya kepada Tuhannya. KeredhaanJeha, iaitu isteri Lahuma terhadap
takdir dan ketentuan Allah dilihat pada contoh beikut:
“Namun tekad
hati Jeha tidak juga luput. Bahaya di tangan ALLAH. Mati hidup Lahuma di tangan
ALLAH. ALLAH boleh memelihara Lahuma. ALLAH boleh mengambil nyawa Lahuma.”
(Ranjau sepanjang jalan, 2006:51-52)
6.3 Ilmu perdagangan
Walaupun novel ini berlatarkan kehidupan masyarakat tani tetapi
mereka tetap juga melibatkan diri dalam perniagaan. Contohnya, Lahuma ingin
menjual batang pinang kepada tauke-tauke Cina bagi mendapatkan sedikit wang
sesudah habis musim mengetam. Lihat petikan berikut:
Dia cuba menebang batang pinang di
belukar untuk dijual kepada
tauke-tauke Cina yang membawa batang pinang itu
ke laut untuk dibuat pancang pukat.
(Ranjau sepanjang jalan,2006: 10).
6.4 Ilmu menangkap ikan
Sinonim dengan latar belakang kehidupan kampung, dalam karyanya ini
Shahnon Ahmad menyelitkan ilmu menangkap ikan. Dalam novel ranjau sepanjang
jalan ini, Lahuma menangkap ikan apabila ada waktu terluang khususnya selepas
habis musim mengetam padi. Kewujudan istilah-istilah yang berkaitan dengan cara
untuk menangkap ikan menunjukkan ilmu ini memang ada dalam novel ini. Contohnya
seperti berikut:
Cuma sekali-sekala Lahuma membuat bubu
dan nada untuk menangkap ikan.
(Ranjau sepanjang jalan,2006:10).
Berdasarkan
contoh petikan tersebut, wujud istilah bubu dan nada yang merupakan perkakas
untuk menangkap ikan. Melalui bacaan, pembaca dapat mengetahui bahawa bubu dan nada adalah cara tradisional
yang digunakan oleh masyarakat kampung untuk menangkap ikan.
7.0 Seni kepengarangan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), seni bermaksud karya yang
dicipta dengan bakat, manakala
kepengarangan bermaksud perihal yang berkaitan dengan pengarang. Justeru itu,
seni kepengarangan dapat ditakrifkan sebagai karya yang digarap oleh pengarang
mengikut identiti atau cara mereka berkarya dengan gaya dan pembawaan mereka
sendiri.
Dalam novel
ranjau sepanjang jalan, terdapat beberapa teknik atau cara yang dikesan melalui
seni kepengarangan yang digunakan oleh pengarangnya iaitu Shahnon Ahmad. Seni
kepengarangan ini terhasil daripada cara pengarang menghasilkan penulisannya
berdasarkan cara pengolahan serta pengalaman pengarang tentang sesuatu
penulisan yang dicipta.
7.1 Menggunakan bahasanya
yang ringkas tetapi padat
Dalam novel ini, Shahnon Ahmad mengaplikasikan seni kepengarangan
dengan menggunakan bahasanya yang ringkas tetapi padat. Walaupun pengarang
menggunakan perkataan-perkataan yang biasanya digunakan oleh orang-orang lain,
namun perkataan-perkataan itu dapat melengkapkan apa yang mahu disampaikannya.
Justeru, kita seolah-olah diberi gambaran yang jelas tentang peristiwa dalam
novel tersebut. Selain itu, Shahnon juga gemar menggunakan dialek Kedah dan
bahasa daerah tetapi tidak keterlaluan.
7.2 Teknik penggunaan
watak begitu jelas dan berkesan
Shahnon Ahmad turut mengarang menggunakan teknik penggunaan watak
yang begitu jelas dan berkesan. Hal ini dapat dilihat melalui watak-watak yang
dibawa dalam novel ini disamping perwatakan yang diolah dengan jalan cerita dan
latar tempat yang menjadi tunjang hidup cerita ini. Sebagai contoh, watak
Lahuma dan Jeha yang menjadi watak utama dalam cerita ini digarap dengan penuh
penghayatan sebagai seorang petani yang sangat miskin dan hanya bergantung
hidup kepada hasil tanaman padi mereka. Justeru, melalui perwatakan yang
diceritakan, pembaca berasa peristiwa itu benar-benar berlaku bukannya daripada
cetusan idea pengarang. Watak-watak yang digunakan seolah-olah memaparkan perwatakan manusia
sebenar dalam sesebuah masyarakat tersebut.
7.3 Teknik penceritaan
7.3.1 Imbas Kembali
Pengarang banyak menggunakan teknik penceritaan imbas kembali dalam
Novel Ranjau Sepanjang Jalan ini. Teknik penceritaan imbas kembali dapat
ditakrifkan sebagai ‘flashback’ iaitu mengenang kembali peristiwa atau
perkara yang telah berlaku. Imbas kembali merupakan suatu
teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang pernah dialaminya.Peristiwa
itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog,
monolog, atau monolog dalaman.
Sebagai contoh, dalam novel ini, watak utamanya, Lahuma teringat akan serangan
ketam dan lintah sepanjang proses menanam padi.
Lahuma teringat akan lintah-lintah gajah yang liar berenang mencari betisnya.
Sekurang-kurangnya, tahun ini
secupak darahnya akan terlepas ke perut lintah. Lahuma teringat pada
ketam-ketam halus yang menggigit-gigit batang padi mudanya tahun lalu. Bukan sedikit
tetapi berpuluh-puluh ribu jumlah ketam putih itu merosakkan tanamannya. Teringat
ketam itu dipungut dan kemudian dihenyak-henyak dengan tumit.
(Ranjau sepanjang jalan, 2006: 10)
Seterusnya,
teknik imbas kembali ini juga dapat dilihat melalui watak Jeha iaitu isteri
Lahuma yang mengenang kembali peristiwa semasa dia terserempak dengan ular
tedung yang hampir-hampir saja membunuhnya tetapi sempat diselamatkan oleh
suaminya. Petikan imbas kembali ini dapat dilihat seperti yang berikut:
Dia teringat bagaimana dia terkena bahana ular tedung dulu.
Bagaimana Lahuma menerkam dan mematahkan leher ular yang bisa itu. Bagaimana Lahuma
cincang ular itu hingga hancur.
(Ranjau
Sepanjang Jalan, 2006: 103)
7.3.2 Imbas Muka
Imbas muka merupakan cara pengarang memberikan bayangan awal atau ramalan tentang sesuatu peristiwa
yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan. Teknik
imbas muka dapat mewujudkan keyakinan dalam kalangan pembaca terhadap sesuatu
yang akan berlaku. Dalam novel ini, teknik imbas muka banyak digunakan oleh
pengarang untuk menjadikan cerita ini boleh diteka dari awl lagi oleh pembaca.
Sebagai contoh, watak utamanya Lahuma dan Jeha banyak digunakan dalam penggunaan
teknik imbas muka ini. Contohnya, dalam novel ini, Lahuma terfikir akan apa
yang bakal terjadi kepada sawah dan keluarganya. Lahuma juga berfikir tentang
masa depan anak- anak. Selain itu, Jeha telah merancang tentang pengurusan
sawah pada tahun berikutnya. Jeha juga berfikir tentang apa yang akan terjadi
kepada anak-anaknya serta sawah milik keluarganya sekiranya dia mati.
7.3.3 Monolog
Monolog dapat
ditakrifkan sebagai pertuturan kepada diri sendiri sama ada boleh disuarakan atau diucapkan dalam hati.
Monolog tidak ditujukan kepada orang lain dan tidak memerlukan reaksi ataupun
jawapan daripada orang lain. Monolog hanya ada dua sahaja iaitu monolog dan
monolog dalaman. Dalam novel ini, watak-wataknya sering digunakan sebagai watak
yang menuturkan monolog. Sebagai contoh, Lahuma bermonolog tentang upah untuk
membayar traktor. Contoh petikan yang memaparkan monolog ini ialah:
Cukup kalau menajak dan mencangkul saja. Lagipun, kalau menggunakan
traktor akan makan banyak ringgit. ‘Serelung lapan ringgit,’ fikir Lahuma.
Kalau 14 relung, sudah berapa? Dia cuba mengira dalam kepalanya.
(Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 79)
Selain
itu, pengarang turut menyelitkan teknik monolog dalaman dalam novel ini.
Sebagai contoh, monolog ini dituturkan oleh Lahuma terhadap perosak yang
mengganggu keluarganya sepanjang proses mereka menanam padi iaitu lintah
kerbau. Monolog dalaman yang ditunjukkan ialah:
Aku tidak akan membunuh kau, kalau kau tidak menghisap darahku.
Tetapi, bila aku habis menabur semai aku akan mengharungi air ini. Dan dikala
itu, kalau kau semua masuk datang mengapuk pada betisku dan menghisap darahku,
darah isteriku, darah anak-anakku, aku tidak teragak-agak membunuh kamu semua.
Aku akan cincang dengan parang tajam ini. Aku akan bubuh racun kesemuanya,
tegas suara hati Lahumasebagainekad dia akan melakukannya.
(Ranjau Sepanjang
Jalan, 2006: 22-23)
7.3.4 Dialog
Dialog
merupakan kata-kata yang dituturkan oleh watak-watak dlm drama atau fiksyen.
Dalam sesebuah cerita ataupun novel, kebanyakan pengarang menggunakan teknik
dialog dalam menampakkan percakapan atau perkara yang diucapkan oleh watak yang
digunakan. Dalam novel Ranjau Sepanjang
Jalan, pengarangnya menggunakan dialog yang dituturkan oleh Lahuma dan Jeha.
Sebagai contoh, dialog yang dimuatkan dalam novel ini ialah:
“ Kalau anak padi tumbang kerana ketam, boleh juga saya sulam.
Tetapi kalau tiak datang mengamuk bila padi menguning, apalah nasib kita tahun
ini? Burung tu bukan seekor dua. Bukan berpuluh dua, tapi ratus ribu. Terlalu
banyaknya.”
“ Ketam dan tiak itu insan seperti kita juga. ALLAH menguasai
segala-galanya. Kalau burung-burung itu nak datang juga, kita hanya membiarkan
saja. Hanya ALLAH yang boleh melarang mereka. Hanya AALH yang sanggup menegah
mereka.”
(Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 18-19)
7.4 Teknik Pemerian/
Deskriptif
Pemerian dapat
ditakrifkan sebagai hal atau cara memerikan sesuatu atau penghuraian tentang
sesuatu perkara. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, teknik pemerian atau lebih
dikenali sebagai deskriptif ini banyak digunakan oleh pengarang untuk
memerihalkan sesuatu perkara. Sebagai contoh, pengarang memerihalkan tentang
kerosakan padi akibat daripada serangan burung tiak yang menyebabkan tanaman
padi Lahuma sekeluarga mengalami kerugian. Petikan pemerian ini dapat dilihat
melalui petikan ini:
Padi-padi itu
akan habis menjadi hampa kalau tiak turun berkawan-kawan tahun ini. Padi-padi
yang berkapuk di tangkai-tangkai yang sebesar jari kelengkeng budak itu akan
tanggal begitu saja. Tangkai-tangkai yang meliuk-liuk berat menahan buah-buah
padi akan menjadi kosong. Tiak dari rimba lain akan datang lagi. Dari gunung
yang nampak tersangat jauh itupun akan datang juga apabila ternampak padi
masak.
(Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 299)
Seterusnya, pengarang juga turut menggunakan teknik
pemerian ini dalam menghuraikan cara mengerat perdu padi yang dilakukan oleh
Sanah dan adik-adiknya.
Malam itu padi
masak tidak diketam setangkai demi setangkai lagi. Dikeratnya perdu-perdu padi
dikerat hingga bertimbun-timbunjerami bersama tangkai yang telah jarang-jarang
bergayutan dengan buah-buah padi itu…padi bersama jerami bertimbun-timbun dalam
petak…padi itu dipukul di dalam tong kosong di situ juga. Berkecai-kecai
buah-buah yang tinggal itu masuk tong. Tangkai-tangkainya remuk apabila
tertampan juring-juring tong yang tajam itu. Buah-buahnya berkecai jatuh lepas
seperdu lagi.
(Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 313)
8.0 Seni bahasa
Menurut Hashim Awang dalam
Abu Hassan dan Mohd Rashid MdIdris dalam Mohd Rashid MdIdris et al.
(2014), gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan fikiran
dan perasaan. Gaya bahasa juga didefinisikan sebagai penyusunan kata, iaitu
satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu pengarang,
fikiran, dan tujuannya. Antara gaya bahasa yang digunakan dalam Ranjau
Sepanjang Jalan (2006), adalah seperti yang berikut:
8.1 Gaya Bahasa Pengulangan
Gaya bahasa pengulangan ialah gaya bahasa yang mengandungi
unsur-unsur pengulangan bunyi, suku kata, kata, frasa atau bahagian ayat yang
dianggap penting untuk menghasilkan kesan dan memberi tekanan dalam sesebuah konteks
yang sesuai.
(i)
Anafora
Anafora merupakan pengulangan perkataan yang sama pada permulaan
klausa. Terdapat beberapa petikan yang dipetik dalam Ranjau Sepanjang Jalan
(2006) yang mengandungi skema perulangan anafora.
Bab 1 dalam
Ranjau Sepanjang Jalan (2006), pengarang menggunakan skema perulangan anafora
pada permulaan ayat iaitu pengulangan perkataan padi dan bawa seperti petikan
di bawah ini:
Padi ditanam. Padi dijemur. Padi dimasak dan padilah yang
menyambung hidup mereka sejak zaman-berzaman ini.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 3)
Bawa parang ke mari. Bawa batu asah ke mari.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 8)
Petikan dalam
bab 2 Ranjau Sepanjang Jalan (2006) juga mengandungi unsur perulangan anafora,
iaitu perkataan singkirkan. Petikan ini juga menceritakan tentang Lahuma berdoa kepada Allah agar padinya
dijauhkan daripada segala banjir besar dan kemarau panjang.
Singkirkan segala banjir besar yang
boleh melimpahi padiku. Singkirkan
kemarau panjang yang mengeringkan tanah bendangku.
(Ranjau Sepanjang
Jalan: 15)
(ii)
Repitasi
Repitasi ialah pengulangan perkataan di tengah baris. Berikut
merupakan contoh petikan yang dipetik dalam Shahnon Ahmad (2006):
Lahuma pantang menyebut nama-nama
bencana itu kuat-kuat. Akan menimpakah bencana yang teruk tahun ini? Lahuma tidak dapat memikirkan akibatnya kalau
kesemua bencana itu menimpa.
(Ranjau
Sepanjang Jalan: 68)
Petikan bab 5
ini mengandungi pengulangan perkataan bencana ditengah baris dalam setiap ayat
di atas yang dikenali sebagai repitasi.
8.2 Gaya bahasa pertautan
Gaya bahasa pertautan dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014)
merupakan hubungan pertautan makna sama ada yang bersifat simbolik, perumpamaan
atau tamsilan.
(i)
Disfemisme
Menurut Mohd Rashid MdIdris et al. (2014), disfemisme ialah
kata-kata kasar untuk tujuan tertentu. Antara contoh petikan yang mengandungi
gaya bahasa pertautan iaitu, disfemisme:
Lahuma teringat pada lintah-lintah
gajah yang liar berenang mencari betisnya.
(Ranjau
Sepanjang Jalan: 11)
Kali ini, dia akan siap dengan kawah untuk merebus ketam-ketam jahanam
itu.
(Ranjau
Sepanjang Jalan: 12)
Petikan di atas
diambil dari bab 1 yang menceritakan seorang watak bernama Lahuma teringat akan
lintah-lintah yang menghisap darah pada betis dan sangat geram terhadap
ketam-ketam yang selalu merosakkan tanamannya. Pengarang ingin menyatakan
bahawa lintah-lintah sebagai haiwan liar dengan menggunakan perkataan liar
serta ketam-ketam sebagai haiwan yang tidak berguna dengan menggunakan
perkataan jahanam.
(ii)
Eufemisme
Ungkapan yang lebih halus sebagai pengganti ungkapan yang dirasakan
kasar dikenali sebagai eufemisme. Beberapa petikan yang berkaitan dengan unsur
eufemisme yang dipetik dalam Shahnon Ahmad (2006):
PADA sebelah petangnya, mereka tiga
beranak berangkat lagi ke baruh.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 78)
Petikan di atas
dipetik dari Bab 6 dalam Ranjau Sepanjang Jalan (2006), pengarang menggunakan
perkataan berangkat untuk menggantikan perkataan pergi. Hal ini demikian
kerana, perkataan berangkat lebih halus berbanding dengan perkataan pergi.
8.3 Gaya bahasa pengguguran
(i) Asidenton
Asidenton dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014) merupakan
pengguguran kata hubung. Berikut adalah petikan yang mengandungi asidenton:
Makan tidur, makan tidur. (Ranjau
Sepanjang Jalan: 11)
Petikan di atas
ini dipetik dalam bab 1 dalam Ranjau Sepanjang Jalan (2006) yang menggugurkan
kata hubung dan iaitu, dikenali sebagai skema pengguguran asidenton.
8.4 Gaya bahasa perbandingan
Gaya bahasa perbandingan dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014),
merujuk kepada penggunaan unsur-unsur bahasa yang bersifat membandingkan dua
hal pada hal berlainan ataupun sengaja dianggap sama.
(i)
Personafikasi
Personafikasi merujuk kepada gambaran yang menganggap benda-benda
dan idea seperti manusia. Antara beberapa petikan yang mempunyai unsur
personafikasi:
Malam merangkak
dari senja ke maghrib dan terus masuk waktu isyak.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 14)
Bab 2 dalam
Shahnon Ahmad (2006), pengarang menyatakan bahawa malam disifatkan dengan
perlakuan manusia, iaitu dengan menggunakan perkataan merangkak. Merangkak merupakan
perbuatan atau perlakuan manusia.
Petikan di
bawah ini pula dipetik dalam bab 5 Ranjau Sepanjang Jalan (2006),
pengarang mengibaratkan bukit dan hutan
sebagai manusia yang memiliki sifat gagah perkasa.
Kemudian, pandangannya dialihkan ke arah bukit dan rimba raya yang
gagah perkasa bagaikan memagari Kampung BanggulDerdap daripada segala bencana
alam.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 63)
Seterusnya,
petikan di bawah ini diambil dari bab 11 yang menunjukkan unsur personifikasi
iaitu, mengoyak-ngoyak merupakan perbuatan manusia.
Anak-anaknya
akan turun ke sawah esok melihat traktor yang akan mengoyak-ngoyak kulit
bendang itu. (Ranjau Sepanjang Jalan: 153)
(ii)
Simile
Simile dalam Mohd Rashid MdIdris et al. (2014), merupakan perbandingan secara langsung, iaitu seperti,
bak, bagai, umpama dan sebagainya. Berikut petikan yang dipetik dalam Shahnon
Ahmad (2006):
Dia cuba menutupkan matanya namun
setiap kali cubaan itu dibuat setiap kali itulah pula tapak kakinya sakit
bagaikan ditusuk dengan jarum halus.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 103)
Petikan di atas
diambil dari bab 5 Ranjau Sepanjang Jalan yang mengandungi unsur simile, iaitu
bagaikan manakala, petikan di bawah ini dipetik dalam bab 15 yang menggunakan
unsur simile iaitu, seperti.
Bangkai ketam itu dituang bertimbun-timbun
seperti busut yang setinggi lutut.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 200)
8.5 Gaya bahasa pertentangan
Gaya bahasa atau majaz pertentangan merupakan seni bahasa yang
menggunakan kata yang bertentangan, simbolik, dan berhubungan. Abu Hassan Abdul
(2013), menjelaskan bahawa majaz pertentangan ini merujuk kepada penggunaan
kata atau frasa yang saling bertentangan dari segi makna, sama ada secara
simbolik, tersurat atau tersirat dalam struktur ayat yang sama atau yang
berhubungan.
(i)
Hiperbola
Hiperbola merupakan penggunaan istilah yang membesar-besarkan,
berlebih-lebihan dan melebih-lebihkan sesuatu perkara. Antara petikan dalam bab
13 Ranjau Sepanjang Jalan (2006) yang mengandungi hiperbola:
Sekurang-kurangnya
ikan haruan itu boleh ditunggang oleh Kiah.
(Ranjau
Sepanjang Jalan: 183)
Petikan di atas
tersebut menunjukkan istilah atau perkara yang berlebih-lebihan yang menyatakan
bahawa ikan haruan boleh ditunggang oleh manusia. Hal ini demikian kerana tidak
mungkin ikan boleh ditunggang oleh seseorang.
8.6 Sinkof
Sinkof ialah singkatan perkataan seperti mu, ku, kau, tak, nak dan
sebagainya. Antara contoh petikan yang mengandungi unsur sinkof adalah seperti
berikut:
Singkirkan
segala banjir besar yang boleh melimpahi padiku.
(Ranjau
Sepanjang Jalan: 15)
Banyak orang di
kampung nak tanam padi Malinja.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 16)
“Ambil bakul-bakulmu semua,” arah Jeha kepada budak-budak
yang terbeliak itu…
(Ranjau Sepanjang Jalan: 215)
8.7 Peribahasa
Menurut Za’ba (1965) dalam Abdullah Yusofet al. (2009),
peribahasa ialah susunan kata-kata yang pendek dengan makna yang luas,
mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Peribahasa
terdiri daripada simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan dan sebagainya.
Sebagai contoh, dalam petikan bab 16 Ranjau Sepanjang Jalan (2006) terdapat
satu jenis peribahasa iaitu, simpulan bahasa. Simpulan bahasa yang terdapat dalam petikan ialah membawa mulut
yang bermaksud bercerita tentang keburukan orang lain.
Orang Kampung BanggulDerdapcepat membawa mulut.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 220)
9.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, Ranjau Sepanjang ini diangkat menjadi karya agung
Melayu kerana mempunyai nilai-nilai yang tersendiri. Karya ini juga mengisahkan
keperitan hidup yang dialami oleh keluarga petani tetapi mereka tidak mudah
putus asa dalam menghadapi kesusahan hidup. Karya agung Melayu telah memberi
kesan budaya, pemikiran, pandangan, falsafah hidup dan sebagainya yang
berkekalan sehingga ke hari ini.
Menurut Seri
Lanang Jaya et al. (2013) menyatakan bahawa karya agung Melayu ialah
karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir
bangsa Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat,
budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera
dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal
sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu.
Terbaik terima kasih. Mohon Izin dload bahan.
ReplyDeletesanagt bagus.. minta izin nak copy
ReplyDeletesangat berguna. terima kasih :) minta izin copy yaa..
ReplyDeleteassalamualaikum.mohon izin utk copy ye :)
ReplyDeleteAssalamualaikum. Bahan ini amat bagus. Saya minta izin utk copy.
ReplyDeleteSalam. mohon izin untuk copy
ReplyDeletesalam. mohon izin untuk copy
ReplyDelete