Wednesday 20 May 2015

Analisis Gurindam 12 oleh: Cikgu Qursairah

1.0 PENGENALAN
Gurindam merupakan salah satu golongan yang terdapat dalam puisi tradisional Melayu. Gurindam membawa erti sesuatu perkara itu berlaku kerana ada penyebab dan melalui penyebab itulah perkara tersebut terjadi. Menurut Za’ba gurindam mempunyai bahasa yang padat dan bernas. Tujuan gurindam ini adalah sebagai bahan nyanyian, jenaka, gurau senda dan sindiran. Menurut Harun Mat Piah, gurindam adalah sejenis karya klasik Melayu lama yang tidak tentu bentuknya sama ada terikat ataupun tidak.
Gurindam ini diperkenalkan oleh Raja Ali Haji dari Kesultanan Riau. Beliau merupakan ulama, ahli sejarah, serta pujangga Melayu Bugis dan pencatat pertama dasar-dasar tatabahasa Bahasa Melayu. Raja Ali Haji merupakan keturunan kedua kepada Raja Haji Fisabilillah. Gurindam Dua Belas diterbitkan pada 1947 menjadi pembaharuan arah aliran kesusteraan pada zamannya. Raja Ali Haji juga telah menuntut ilmu agama di Mekah dengan Syiekh Daud bin Abdullah al-Fathani dan bergaul dengan anak Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari iaitu Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjar. Antara karya yang menjadi panduan ialah Tuhfat al-Nafis, Bustanul-Katibin, Kitab Pengetahuan Bahasa, Gurindam Dua Belas, Syair Siti Shaniah, Syair Suluh Pegawai, Syair Hukum Nikah, dan Syair Sultan Abdul Muluk.
Menurut Mohd. Rashid Md Idrid et.al tujuan penulisan Raja Ali Haji berbeza dengan penulis-punulis sezaman dengannya seperti Abdullah Munsyi. Hal ini mungkin disebabkan oleh latar belakang pendidikan, kerjaya dan persekitaran hidupnya. Raja Ali Haji berpendidikan Arab, seorang pendakwah dan hidup dalam lingkungan istana di Pulau Penyengat, Riau. Beliau juga tidak menggunakan bahasa pasar kerana akan merosakkan kedudukan dan kemurnian bahasa Melayu itu sendiri. Teknik penulisan beliau juga masih mengekalkan teknik penulisan sastera tradisional Melayu. Raja Ali Haji juga telah meletakkan waktu, bulang dan tahun di dalam karyanya. Hal ini memudahkan pengkaji untuk membuat sebarang perbandingan dengan karya lain.

Gurindam ialah puisi tradisional Melayu yang diperkenalkan oleh Raja Ali Haji melalui Gurindam Dua Belas. Gurindam ini telah dikarang pada 23 Rejab 1263H di Riau ketika beliau berumur 38 tahun. Terdapat dua jenis gurindam berdasarkan bentuknya iaitu gurindam terikat dan gurindam tidak terikat. Bentuk gurindam jenis terikat terdiri daripada dua baris serangkap mengandungi tiga hingga empat patah perkataan dengan skema rima a,a. Manakala bentuk gurindam jenis tidak terikat mengandungi jumlah baris, jumlah perkataan dan jumlah suku kata dalam sebaris serta skema rima yang tidak tetap. Bahasa gurindam biasanya bernas dan serius serta mempunyai pengajaran, kebenaran serta berkaitan perasaan cinta.
Gurindam Dua Belas ini bertemakan budi perkerti, nasihat-menasihati dan pengajaran hidup yang penting. Gurindam ini mempunyai 12 fasal. Setiap fasal menceritakan perkara yang berbeza-beza. Gurindam ini sangat sesuai dibaca kerana memberikan nasihat-nasihat yang berguna kepada perkara yang sering berlaku di persekitaran masyarakat seperti berkaitan dengan kesetiaan terhadap agama, menjaga tubuh badan dari melakukan dosa, berbakti kepada keluarga, pengajaran kepada pemimpin dan banyak lagi. Dalam kajian ini akan memfokuskan kepada empat perkara sahaja iaitu falsafah dan pemikiran serta estetika dan kepengarangan.
  2.0 FALSAFAH DAN PEMIKIRAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:406), falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu tertinggi yang menjadi dasar-dasar ilmu lain. Menurut Mohd. Rashid Md Idrid et.al (2014:16) falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Falsafah juga mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tinggi dan bertujuan mencari kebenaran. Secara keseluruhannya falsafah memikirkan sesuatu dengan mendalam dan membincangkan sesuatu secara terperinci untuk mendapat jawapan yang benar terhadap sesuatu perkara. Dalam bidang falsafah diberi penekanan terhadap beberapa perkara seperti etika, metafizika, sejarah, agama, ekonomi, politik dan logik.
Pemikiran bermaksud memikir cara menyelesaikan masalah dengan menggunakan daya imaginasi sehingga dapat menghasilkan pelbagai pendekatan yang kelihatan luar biasa tetapi berkesan. Menurut Mohd. Rashid Md Idrid et.al (2014:69), pemikiran bermula dengan idea yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya menjadi buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pegarang mempunyai cara tersendiri memilih bahan, mengejapkannya kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya.
Falsafah dan pemikiran menunjukkan hubungan antara makna yang sama iaitu memikirkan penyelesaian untuk sesuatu masalah dengan daya imaginasi melalui pelbagai pendekatan untuk mendapatkan jawapan yang benar. Falsafah boleh dikaji melalui beberapa aspek seperti aspek sosial, politik, agama dan lain-lain. Pemikiran pula boleh dilihat dari aspek isi dan mesej yang disampaikan berdasarkan Gurindam Dua Belas.
Berdasarkan Gurindam Dua Belas, terdapat beberapa falsafah yang boleh dikaji dan dilihat. Antaranya ialah falsafah Islam. Falsafah Islam adalah suatu cabang pengajian Islam, dan adalah suatu percubaan yang berlarutan untuk mencipta harmoni di antara falsafah iaitu alasan dan ajaran Islam iaitu kepercayaan. Islam bermaksud agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam Fasal 1 dan Fasal 2 menerangkan nasihat tentang agama Islam. Fasal 1 menerangkan betapa pentingnya agama kepada diri seseorang kerana berdasarkan rangkap pertama,

Barang siapa tiada memegang agama,
Sesekali tiada boleh dibilang nama,      (Rangkap 1)
Menurut rangkap diatas, sesiapa yang tidak mempunyai agama yang tetap, diibarat manusia yang tidak mempunyai nama atau pun pegangan hidup kerana manusia yang hidup di muka bumi mempunyai sebab dan perlu mempunyai pegangan hidup agar kehidupan yang dilalui mempunyai makna dan melakukan sesuatu perkara kerana tuhannya yang satu. Rangkap yang seterusnya juga ada menerangkan mengenai seseorang yang taat kepada Allah tidak akan melakukan perkara mungkar, mengenai diri sendiri, dunia, dan akhirat.
Seterusnya ialah pada Fasal 2 yang menerangkan mengenai syariat dalam rukun Islam. Rukun Islam terbahagi kepada 5 iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, dan menunaikan haji di Mekah bagi yang mampu. Penulis memasukkan rukun Islam dalam gurindamnya untuk mengingatkan kepada pembaca agar sentiasa melaksanakan rukun Islam yang mampu dilakukan dengan sebaik mungkin kerana ia merupakan perkara-perkara yang akan membawa ke pintu syurga Allah.

Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua termasa.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.                    (Fasal 2)

Falsafah seterusya ialah falsafah etika yang merupakan salah satu cabang utama falsafah yang merangkumi kelakuan betul dan kehidupan baik. Liputan etika adalah lebih luas daripada manganalisis apa yang betul dan salah seperti yang sering dianggap. Antara aspek utama etika ialah "kehidupan baik", iaitu kehidupan yang bernilai atau memuaskan, yang dianggap lebih penting daripada tingkah laku moral oleh banyak ahli falsafah. Dalam Gurindam Dua Belas ini menerangkan etika yang baik yang perlu dicontohi dan dilakukan oleh semua masyarakat.
Dalam Fasal 3 menerangkan kebaikan menjaga anggota badan daripada melakukan dosa. Setiap rangkap menerangkan kebaikan menjaga anggota badan seperti menjaga mata, telinga, lidah, tangan, perut, dan kaki. Setiap anggota mempunyai fungsi yang tersendiri, mata digunakan untuk melihat kebaikan dan dilarang melihat perkara-perkara yang buruk seperti aurat lelaki atau perempuan bukan muhrim, melihat benda-benda kotor, dan sebagainya. Telinga dan lidah juga sangat penting untuk dipelihara dari mendengar dan menyebut kisah orang lain, menyebut perkara yang buruk dan menceritakan kisah orang lain untuk memburukkan seseorang. Anggota badan tangan juga perlu rajin membantu orang dalam kesusahan dan ringan tangan membantu keluarga dalam kerja di rumah. Terakhir sekali ialah bahagian kaki yang sangat penting untuk pergi ke tempat-tempat yang memberi kebaikan kepada diri sendiri seperti menghadiri majlis-majlis ilmu seperti ceramah agama dan lain-lain.

Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
niscaya dapat daripadanya paedah.      (Fasal 3)

Falsafah seterusnya ialah falsafah sosial yang bermaksud gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Dalam gurindam Dua Belas, terdapat beberapa pengajaran yang boleh dicontohi oleh pembaca. Antaranya ialah dalam Fasal 6 yang mengisahkan tentang pergaulan yang menyarankan untuk mencari sahabat baik, guru yang memberi ilmu berguna, mencari isteri yang setia menemani ketika susah dan senang. Fasal 6 ini ada di masukkan dalam teks Komsas Tingkatan 4 sebagai salah satu puisi tradisional yang dipelajari oleh murid. Gurindam ini memberi nasihat yang berguna terutamanya kepada remaja kini yang perlu mencari sahabat yang boleh membantu ketika susah dan menimba ilmu dengan guru yang mengetahui baik dan buruk sesuatu perkara. Selain itu juga, seorang lelaki juga perlu mencari isteri yang setia kepada suaminya ketika susah dan senang.

Cahari olehmu akan sahabat,
yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
yang boleh dimenyerahkan diri.        (Fasal 6)

Seterusnya dalam Fasal 10 pula memberi nasihat keagamaan dan budi pekerti iaitu tugas anak-anak menghormati kedua orang tuanya. Penulis memberikan nasihat kepada masyarakat untuk sentiasa menghormati ibu bapa agar tidak menjadi anak yang derhaka dan tidak menjadi anak yang lalai kepada keseronokan dunia. Selain itu sebagai seorang suami pula perlu menjaga isteri-isterinya agar tidak lupa untuk menjaga maruah diri dan keluarga.

Dengan bapa jangan durhaka,
supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,
supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai,
supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan isteri dan gundik janganlah alpa,
supaya kemaluan jangan menerpa.               (Fasal 10)

Falsafah yang terakhir ialah falsafah politik iaitu aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan sesebuah negara terlaksana. Falsafah politik ini dapat dilihat dalam Fasal 11 yang menasihati para pemimpin agar menghindari tindakan yang buruk, berusaha untuk melaksanakan amanat dalam tugasnya serta tidak melakukan perbuatan khianat. Nasihat dan pengajaran ini diberikan kepada setiap anggota masyarakat untuk berjasa kepada bangsa masing-masing. Selain itu menjadi seorang pemimpin perlu membuang segala keburukan yang terdapat dalam organisasi agar tidak berlaku riba, sogokkan dan lain-lain lagi.
Seterusnya kepada pemikiran dalam Gurindam Dua Belas. Penulis telah memasukkan pelbagai idea utama atau isi dan mesej yang terdapat dalam setiap fasal. Gurindam ini lengkap dengan nasihat dan pengajaran kepada pembaca agar sentiasa memikirkan dan melakukan perkara yang tidak terkeluar dari landasan yang baik dan betul. Antara isi dan mesej yang terdapat dalam gurindam ini ialah berkaitan dengan keagamaan. Dalam Fasal 1 dan Fasal 2 menceritakan mengenai aspek keagamaan di mana menceritakan kepentingan mengenali agama, tuhan, diri, dunia dan akhirat. Apabila semua masyarakat mengetahui dan mendalami semua aspek tersebut nescaya tidak berlaku masalah salah laku seperti pembuangna bayi, kadar penceraian meningkat, masalah mental dan banyak lagi. Nilai keagamaan ini juga boleh dilihat pada Fasal 2 yang menerangkan mengenai rukun Islam yang wajib dilakukan oleh masyarakat yang beragama Islam yang telah baligh.
Selain itu pemikiran yang seterusnya ialah kepentingan akhlak yang baik. berdasarkan Gurindam Dua Belas ini banyak memberikan nasihat dan pengajaran kepada pembaca untuk menjaga dan menunjukkan akhlak yang baik kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Menjaga akhlak diri sendiri dengan menjaga anggota badan daripada mendapat dosa seperti menjaga mata, telingan dan lidah untuk melihat, mendengar dan menyebut perkara yang memburukkan orang lain, dan menjaga tangan dan kaki dengan melakukan perkara-perkara baik yang memberi kebaikan kepada diri sendiri. Menunjukkan akhlak yang baik kepada keluarga dan masyarakat ialah dengan menjaga adap antara ibu bapa dan keluarga seperti dalam Fasal 10. Sentiasa menghormati dan menyayangi ibu bapa agar mendapat pahala dan kehidupan diredhai oleh Allah S.W.T.
Pemikiran yang seterusnya ialah cara mengenali atau mempelajari budi dan bahasa seseorang itu maka ketahuilah kita akan bangsanya. Dalam Fasal 7 menceritakan mengenai budi dan sistem budaya serta adat sesebuah bangsa. Cara menggunakan bahasa akan mempamerkan kelakuan budaya dan taraf sosial seseorang dalam sesebuah masyarakat. Sebagai contoh pergaulan antara orang beragama dengan orang yang tidak mempunyai agama berbeza dan mempunyai isi yang tersendiri dan dari bangsa seseorang akan dikenali bahasanya dan dari bahasanya barulah dikenali budayanya. Selain itu terdapat juga cara untuk mengenali orang yang berilmu atau tidak. Orang yang berilmu tidak akan pernah jemu untuk mencari ilmu kerana sikap ingin tahu yang tinggi walaupun sejauh manapun ilmu dicari.
Raja Ali Haji juga menyentuh tentang pendidikan anak-anak. Ianya merupakan nasihat kepada ibu bapa agar tidak mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak dari kecil supaya tidak meletihkan atau menyusahkan kedua ibu bapanya ketika dewasa kelak. Memang seharusnya, anak-anak dari kecillah yang perlu diasuh, dididik dan diberi teguran akan  tingkah lakunya agar sentiasa berkelakuan baik dan berbudi bahasa. Jika tidak dilentur buluh dari rebungnya, atau dari kecil lagi, maka ketika dewasa, segala tingkah laku dan peribadi seseorang itu sukar diubah dan diperbaiki.
3.0 KEPENGARANGAN DAN ESTETIKA
Menurut Mohd. Rashid Md Idrid et.al (2014:96), kepengarangan dan estetika adalah dua aspek yang penting dan mempengaruhi kedudukan sebuah teks dan seseorang sasterawan. Kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan, dan kearifan seseorang pengarang dalam berkarya. Kepengarangan ini dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seseorang pengarang. Estetika pula bermaksud hubung kait antara persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera yang membincangkan unsur keindahan, bahasa dan pengalaman keseronokan membaca sesebuah karya.
Berdasarkan Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji ini menunjukkan nilai estetika dan kepengarangan yang berbeza. Berdasarkan nilai estetika, Gurindam Dua Belas ini memaparkan keindahan yang merujuk kepada prasaan, pemikiran, dan pengalaman. Keindahan ini terpancar daripada penggunaan bahasa pengarang. Gurindam ini mampu membawa pembaca untuk merasai sendiri pengalaman sebagai seorang manusia yang beragama Islam. Sebagai orang Islam pasti mengetahui rukun Islam yang terdapat dalam Gurindan Dua Belas ini. Rukun Islam dimasukkan untuk menyedarkan pembaca betapa pentingnya rukun Islam kepada diri kerana tanpa melakukannya kehidupan di dunia hanyalah sia-sia.
Keindahan pengalaman juga dapat dirasai apabila penulis menerangkan untuk menjaga segala anggota badan dari melakukan perkara yang mungkar. Hal ini kerana menjaga mata, telinga, dan lidah mampu mengurangkan dosa yang dilakukan tanpa sedar atau dalam sedar. Zaman kini, dengan kemudahan internet yang mudah mampu melahirkan berbagai-bagai gosip-gosip yang berkaitan dengan artis mahupun rakan-rakan alam maya yang menjadikan diri pembaca itu sendiri mendapat dosa apabila membaca berkara berkaitan rumah tangga orang lain dan masalah keluarga dan sebagainya. Oleh itu, gurindam ini memberi pengalaman kepada pembaca untuk melihat kembali diri sama ada masih menjaga atau tidak anggota badan kerana dosa dan pahala sentiasa ditulis oleh malaikat kiri dan kanan tanpa henti.
Kesimpulannya membaca adalah proses penambahan pengalaman. Pengalaman indah ialah apabila merasai kesan yang menarik, mengagumkan, menyedihkan, atau yang memeranjatkan. Sebuah karya yang baik ialah elok ciptaannya, tinggi seninya dan halus adunannya.
Selain itu, keindahan juga dapat dilihat dalam perasaan ketika membaca gurindam ini. Karya ini mampu melahirkan perasaan gembira, terharu, bersyukur, keinsafan, menghormati dan banyak lagi. Karya yang indah ini mampu membawa perasaan pembaca untuk merasai sendiri perasaan yang terdapat di dalam setiap gurindam. Fasal 1 dan Fasal 2 memberikan keinsafan dan kesyukuran kepada pembaca kerana dilahirkan sebagai orang Islam dan mampu mengenali mengenai Islam sejak dari kecil lagi. Keinsafan juga dapat dirasai apabila rukun Islam ditulis dalam Fasal 2 agar semua masyarakat Islam tidak melupakannya dan menjadi peringatan kepada mereka agar setiasa menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim. Selain itu juga, pembaca akan lebih tertarik sekiranya mampu mengenali dengan lebih lanjut mengenai diri, dunia dan akhirat kerana orang yang mengenali dunia akan sentiasa mengingati bahawa dunia tidak akan kekal dan akhirat akan menjadi tempat terakhir semua manusia.
Perasaan bertanggungjawab juga perlu dirasai oleh semua ibu bapa yang membesarkan anak-anak agar membesarkan anak-anak dengan baik berlandaskan agama agar mereka mampu menjadi seorang yang berguna kepada mereka dan negara. Perkara ini dapat dilihat dalam Fasal 7. Serta sebagai seorang anak pula perlu menjaga dan menghormati ibu bapa agar tidak menjadi anak derhaka dan menjadi anak yang peka kepada sekeliling dan menjauhi perkara buruk. Sebagai seorang suami juga perlu menjaga maruah keluarga agar tidak dipijak oleh sikap isteri dan anak-anak yang buruk. Seorang suami perlu menjaga rumahtangga agar kukuh dan aman sentiasa.
Seterusnya estetika dapat dilihat dalam keindahan bahasa dalam Gurindam Dua Belas. Penulis menggunakan bahasa yang indah dan menarik minat pembaca untuk membaca kesemua gurindam. Hal ini kerana gurindam ini bertemakan budi perkerti, nasihat-menasihati dan pengajaran hidup yang penting dan berkait rapat dengan isu semasa masyarakat dahulu mahupun sekarang. Gurindam ini ibarat nasihat yang diberikan oleh generasi dahulu kepada generasi kini agar sentiasa mengingati agama dan menjaga adap serta sentiasa berakhlak mulia tidak kira di mana berada. Setiap isu yang terdapat di dalam gurindam sentiasa ada dalam kehidupan sekarang dan gurindam ini masih relevan walaupun sudah lama dihasilkan.
Kepengarangan dalam Gurindam Dua Belas ini pula menerangkan mengenai kekuatan karya ini. Kekuatan karya ini ialah sebuah karya yang tidak pernah luput dan sentiasa menjadi panduan kepada masyarakat untuk mencari karya yang menarik dan mempunyai pengajaran serta nasihat yang berguna. Raja Ali Haji berpendidikan agama yang kuat kerana telah menuntut ilmu dengan beberapa orang Syeikh di Mekah. Beliau telah merantau ke Mekah agak lama sebelum kembali ke Riau. Beliau merupakan orang yang penting dalam perkembangan agama di Riau kerana hasil karyanya yang banyak berkaitan dengan agama Islam. Walaupun beliau bergiat aktif di dalam penulisan karya sastera, beliau tetap mengunakan agama sebagai teras dalam setiap hasil karyanya agar pembaca mampu menghayati dan berasa dekat dengan karya-karya yang berunsurkan Islam.
Unsur kepengarangan yang terdapat di dalam Gurindam Dua Belas ialah penggunaan bahasa agama. Bahasa-bahasa agama ini terhasil daripada perkara yang berkaitan dengan agama Islam seperti perkataan agama, bahri, ma’rifat, akhirat, puasa, zakat, haji, tuhan dan sebagainya. Perkataan ini banyak digunakan dalam Fasal 1 dan Fasal 2 kerana berkaitan dengan ilmu agama. Selain itu anggota badan juga ada dimasukkan dalam gurindam ini seperti mata, kuping, lidah, tangan, perut dan kaki. Perkataan ini digunakan dalam Fasal 3 yang menerangkan adab menjaga anggota badan.
Seterusnya ialah penggunaan Bahasa Melayu Klasik merupakan bahasa yang digunakan oleh zaman dahulu dan abadi nilainya, tertinggi mutunya dan menjadi standard kepada yang lain. Bahasa Melayu Klasik ini semakin ditambah nilai atau diubah ejaannya untk memudahkan peulisan pada masa kini. Dalam gurindam ini menggunakan bahasa Melayu Klasik seperti niscaya, kuping, pikir, pekong, ketur, berperi, cahari, obat, penggawa, gundik, kafill, inayat, kasa, dan cindai. Bahasa-bahasa yang digunakan ada yang telah diubah ejaannya dan ada juga yang jarang digunakan oleh masyarakat seharian. Hal ini kerana penggunaan bahasa yang mudah dan senang difahami lebih banyak digunakan dan sesuai untuk semua peringkat umur.
Selain itu, Gurindam Dua Belas ini mempunyai bentuk yang tersendiri. Gurindam ini mempunyai 12 fasal yang yang berbeza-beza maknanya. Setiap gurindam mempunyai lima hingga sebelas rangkap dan setiap rangkap mempunyai dua baris ayat. Fasal 2 menunjukkan rangkap paling sedikit iaitu lima rangkap dan Fasal 7 menunjukkan rangkap terbanyak iaitu sebelas rangkap. Baris pertama ialah pembayang dan baris kedua pula ialah maksud. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara empat hingga tujuh perkataan. Selain itu, setiap baris mempunyai sembilan sehingga empat belas suku kata. Seterusnya, setiap rima akhir semua gurindam adalah a,a. 
Secara keseluruhannya, Gurindam Dua Belas ini menunjukkan nilai estetika yang yang indah sehingga para pembaca merasai dan mengalami sendiri setiap perkara yang ditulis di dalam gurindam ini. Selain itu, pembaca juga dapat melihat dan mengambil pengajaran setiap nasihat yang diberikat di dalam setiap fasal dalam gurindam ini sebagai panduan hidup dan menjagi masyarakat yang lebih baik dan prihatin. Kepengarangan Raja Ali Haji tidak dapat disangkal lagi kerana setiap perkataan yang digunakan menunjukkan penulis tersebut telah mengharungi pelbagai peristiwa dan situasi dan diolah menjadi sebuah gurindam yang sangat sempurna dan sesuai kepada pembaca tidak mengira usia.

4.0 PENUTUP
Kesimpulannya, Gurindam Dua Belas mempunyai mempunyai kedudukannya yang tersendiri meskipun dalam bentuknya yang ringkas, kelebihan Gurindam Dua Belas adalah terletak kepada daya pemikiran dan falsafahnya yang tinggi. Gurinadam Dua Belas mempunyai ungkapan yang padat, Raja Ali Haji masih mampu menggabungjalinkan unsur estetika luaran dan keindahan dalaman. Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji ini memberikan makna yang tersendiri kepada setiap pembaca. Hal ini kerana karya beliau ini menunjukkan segala perkara yang berkaitan berkait rapat dengan kehidupan seharian masyarakat. Gurindam ini masih releven walaupun sudah lama dihasilkan dan menjadi panduan dan teladan kepada semua generasi agar sentiasa mentaati perintah agama dan sentiasa berakhlak baik tidak kira dimana dan bertanggungjawab menjaga anak dan ibu bapa dengan baik.
Setiap fasal dilihat berupaya menyentuh jiwa kesedaran masyarakat, sekaligus memainkan peranan penting bagi membentuk nilai keperibadian insan berlandaskan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua Belas, secara tidak langsung mencerminkan contoh insan yang memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan sempurna. Raja Ali Haji telah berdakwah menggunakan pelbagai cara dan salah satu caranya ialah dengan memasukkan ilmu-ilmu agama di dalam karya sasteranya. Hal ini kerana karya-karya sastera ini sering dimainkan dan dilagukan dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, karya-karya seperti ini menjadi landasan kepada penyebaran agama yang lebih baik dan lebih dekat kepada jiwa rakyat.

Gurindam Dua Belas ini mampu dijadikan teladan kepada semua masyarakat kini agar lebih mempunyai nilai-nilai berlandaskan agama. Gurindam ini perlu diberikan kepada para remaja kini untuk dijadikan panduan dan memahami setiap makna yang terdapat di dalam setiap fasal agar mereka menyedari bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara dan perlu sentiasa mengingati bahawa setiap benda yang terdapat di muka bumi ini hanyalah pinjaman oleh Allah S.W.T. Oleh itu remaja perlu belajar menjadi insan yang berguna agar di akhirat kelak mampu merasai nikmatnya syurga yang indah.    

No comments:

Post a Comment