1.0 Pengenalan
Epik
bangsa Melayu yang merupakan satu manuskrip tertua ini secara keseluruhannya
menceritakan kehebatan dan kepahlawanan wira Melayu pada masa tersebut.
Muhammad Haji Salleh (2013) menyatakan bahawa cerita kehebatan Hang Tuah ini
memang sangat terkenal dan menjadi buah mulut dalam kalangan penduduk di
Kepulauan Melayu dan di Selatan Asia Tenggara. Manuskrip ini telah disimpan di
Perpustakaan, Universiti Leiden, Cod. Or. 1758 dan merupakan sebuah manuskrip
yang tertua di perpustakaan berkenaan.Kassim Ahmad (1997) dalam bahagian
pengenalan membahagikan hikayat ini kepada dua bahagian utama iaitu bahagian
perlawanan dan bahagian pengembaraan. Hal ini memang jelas dilihat dalam
hikayat ini kerana Hang Tuah itu sendiri memang seorang laksama Melaka yang
sangat hebat dalam bermain senjata dan sering menjadi utusan raja Melaka pada
masa itu.
Watak utama yang menjadi wira dalam
hikayat ini ialah Hang Tuah. Hang Tuah diceritakan sebagai seorang yang sangat
setia kepada tuannya, iaitu raja Melaka dan sangat hebat dalam pelbagai aspek.
Kehebatan ini memang banyak ditonjolkan dalam hikayat ini selain menceritakan
gaya hidup masyarakat Melayu pada masa itu. Berdasarkan karya ini, Hang Tuah
telah menjadi seorang laksamana yang dikagumi serta digeruni dan menjadi
lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka pada masa itu. Sehingga kini, masyarakat
Melayu menganggap Hang Tuah sebagai tokoh sejarah, pahlawan berani dan lambang
kesetiaan kepada raja (Nurhayati Rahman, 1999).
Dalam setiap bab dalam hikayat ini
menceritakan pelbagai peristiwa yang melibatkan watak utama iaitu, Hang Tuah.
Pelbagai mesej yang boleh pembaca dapat melalui karya agung ini, selain dapat
melihat dan memahami nilai budaya dan falsafah hidup masyarakat Melayu pada
masa itu. Teknik kepengarangan dan seni bahasa yang digunakan dalam hikayat ini
juga berbeza dengan novel-novel picisan yang terdapat di pasaran zaman ini.
Sebagai khazanah budaya dan ilmu yang dinukil oleh bijak pandai pada masa lalu,
serta tingginya nilai yang terkandung dalam hikayat ini telah mengangkat
hikayat ini sebagai salah sebuah karya agung di rantau ini. Hal ini selari
dengan pandangan Seri Lanang Jaya, Mohd Rashid Md. Idris dan Abd. Rahman Napiah
(2014) yang mentakrifkan karya agung sebagai karya-karya terdahulu yang ternukil
oleh bijak pandai dan mempunyai nilai yang tahan zaman baik dari segi seni,
budaya, ilmu dan pemikirannya.
2.0
Latar Belakang Penulis
Nama
sebenar beliau ialah Kassin bin Ahmad. Beliau merupakan anak sulung kepada guru
agama Ahmad bin Ishak dan surirumah Ummi Kalthom bt. Hj. Ahmad, lahir pada 9
September, 1933 di Bukit Pinang dalam daerah Kota Setar, di negeri utara Kedah,
Malaysia. Beliau berasal dari Hutang Kampung, Langgar, Kedah. Beliau mendapat
pendidikan awal di Sekolah Melayu, Bandar Baharu, Kolej Sultan Abdul Hamid,
Alor Setar dan melanjutkan pengajian di Universiti Malaya di Singapura. Beliau
telah berkahwin dengan Sharifah Fawziah bt. Syed Yussoff yang berasal dari
Kulim, Kedah. Beliau juga pernah berkerja di Dewan Pustaka dan Pustaka sebagai pegawai
dan disitulah bermulanya penghasilan Hikayat Hang Tuah. Selepas itu beliau
berkerja sebagai pensyarah di School of Oriental and African Studies,
Universiti London, London.
Setelah meninggalkan Universiti, Kassim bekerja
sebagai pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur dan
kemudian memegang jawatan pensyarah di Pusat Pengajian Timur dan
Afrika ( London School of Oriental and African Studies), Universiti London, di
London selama empat tahun. Pulang ke tanah air, beliau mengajar di sebuah
sekolah menengah di Pulau Pinang. Kerana beliau seorang yang berjiwa bebas dan
tidak terlalu suka mengikut undang-undang yang menekan, perkhidmatan beliau
ditamatkan pada 1969 kerana menyibarkan risalah parti kepada anak muridnya.
Beliau menjadi penulis bebas, wartawan dan guru bebas setelah itu hingga
sekarang. Minat Kassim dalam bidang-bidang politik, falsafah dan agama
memperkenalkannya kepada gerakan politik-falsafah LaRouche di Amerika Syarikat,
kepada Parti Baath dan Saddam Hussein di Iraq dan kepada Allahyarham sarjana
Mesir yang bermustautin di A.S. dan berpusat di Tucson, Arizona, Dr. Rashad
Khalifa. Beliau telah menghadiri konferensi-konferensi yang dipanggil oleh
pertubuhan-pertubuhan ini.
Minat Kassim luas sangat meluas. Sastera, politik,
falsafah dan agama merupakan minat-minatnya yang besar, dan beliau telah
menulis buku dan esei tentang tajuk-tajuk ini. Beliau telah dianugerah ijazah
kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1985 dan
Anugerah Penyair Gabungan Penulis-penulis Nasional (GAPENA) pada 1987.
Beliau telah menulis banyak rencana dan buku
antaranya ialah Hikayat Hang Tuah , Perwatakan dalam Hikayat Hang Tuah (1973),
Characterisation in Hikayat Hang Tuah (1966), Polemik Sastera Islam yang
ditulis bersama Shahnon Ahmad, Kemarau di Lembah, Kumpulan Sajak (1967) Mencari
Jalan Pulang Daripada Sosialisme kepada Islam, Sajak ‘Pengembara dalam
Perjalanan”, dan banyak lagi.
Selain itu, karya-karyanya termasuk buku-buku
tentang teori sosial Islam (1984), tentang Hadis (1986), tentang penahanan
politiknya (1983) dan beberapa antologi esei politik dan sastera serta sebuah
antologi sajak (1967). Beliau telah menerbitkan dua buah esei falsafah yang
penting, sebuah kritikan terhadap Marxisme (Dewan Bahasa, Disember 1975) dan
tentang bermaknanya kehidupan (Pemikir, Oktober-Disember, 1997) Beliau juga
telah mengedit beberapa karya klasik Melayu. Kebanyakan karya beliau dalam bahasa
Melayu. Bukunya tentang hadis, yang mendapat sambutan hangat bila mula-mula
terbit dan yang telah menyebabkan beliau dicap "murtad" oleh beberapa
kalangan agama, telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Arab dan Inggeris
(1997). Belia sekarang sedang mengerjakan sebuah terjemahan Quran ke dalam
bahasa Melayu, sebuah riwayat hidup beliau dan sebuah edisi baru bagi karya
besar Abdullah Munsyi, Hikayat Abdullah, di samping memimpin Jema`ah Al-Quran
Malaysia (sejak 1995) dan Kopeasi Pelaut Pulau Pinang, sebuah koperasi
pekerja-pekerja Melayu di Pelabuhan P.Pinang (sejak 1997).
3.0
Sinopsis Hikayat Hang Tuah
Hikayat Hang Tuah merupakan satu-satunya epik Melayu
yang melakar cita-cita. kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada
suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui hikayat ini, mewakili keunggulan citra
Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan
sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan budi bahasa yang halus. Hang
Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah
semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15.
Pada masa umurnya sepuluh tahun ,
Hang Tuah bersahabat karib dengan empat orang yang sebaya dengannya, iaitu Hang
Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka bagaikan isi dengan
kuku. Ketika belayar ke Pulau Tinggi, Hang Tuah dan sahabatnya telah membunuh
segerombolan lanun lalu mereka diambil berkhidmat di bawah Sultan oleh
Bendahara yang kagum akan kepahlawanan mereka pada usia yang begitu muda.
Ketika Hang Tuah mengiringi Sultan
ke Majapahit, beliau menyahut cabaran seorang pahlawan Jawa yang termahsyur
dikenali sebagai Taming Sari dan berjaya memperoleh sebilah keris yang
dinamakan “Taming Sari” sempena pemiliknya yang asal. Taming Sari merupakan
seorang anak buah Empayar Majapahit yang telah dihadiahi dengan sebilah keris
kuno yang dipercayai boleh menyebabkan pemiliknya kebal. Kemenangannya
menyebabkan Hang Tuah dikurniai bukan sahaja keris ‘Taming Sari’ tetapi juga
gelaran Laksamana dan sepersalinan pakaian oleh Seri Betara.
Laksamana Hang Tuah telah menjadi
orang kesayangan Sultan dan hal ini menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan
kerabat diraja termasuk Patih Karma Wijaya. Suatu tuduhan palsu telah dibuat
terhadap Hang Tuah iaitu, beliau dituduh berzina dengan dayang Sultan, dan Hang
Tuah serta-merta dijatuhi hukuman mati oleh Sultan yang murka tanpa sebarang
usul periksa. Bagaimanapun, hukuman mati itu tidak dilaksanakan oleh Bendahara,
dan Hang Tuah disembunyikan di Inderapura.
Mempercayai bahawa Hang Tuah telah
mati, Hang Jebat, melancarkan pemberontakan balas dendam terhadap Sultan Mansur
Shah demi membela kematian sahabatnya di samping menyebabkan keadaan huru-hara
dalam kalangan rakyat Melaka. Seterusnya, Sultan meninggalkan istana dan
mengumumkan Hang Jebat sebagai penderhaka. Semua percubaan untuk membunuh Hang
Jebat tidak berhasil. Sultan Mansur Shah berasa sesal akan hukuman mati yang
telah dijatuhkan kepada Hang Tuah kerana Hang Tuah merupakan satu-satunya wira
yang berupaya untuk membunuh Hang Jebat.
Akhirnya, Bendahara membuka
rahsianya dan memanggil Hang Tuah pulang daripada persembunyian. Hang Tuah
telah diampuni oleh Sultan. Suatu perjuangan yang amat menyedihkan telah
berlaku antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Selepas berlawan selama tujuh hari,
Hang Tuah telah berjaya membunuh Hang Jebat dan mendapat keris Taming Sarinya
semula. Jebat mengamuk selama 3 hari sebelum menghembuskan nafasnya yang
terakhir.
Kemudian, orang-orang Feringgi
(Portugis) berjaya menawan Melaka dengan membedil kota Melaka. Penggempuran ini
telah dilakukan serentak dengan kedatangan dua angkatan laut dari Manila dan
negara Feringgi. Para pahlawan Melaka pun menemukan kegagalan dan seterusnya
berundur ke selatan. Di sini, mereka mendirikan sebuah kerajaan baharu yang
dikenali sebagai Kerajaan Johor Lama. Maka, Hang Tuah terus menghilangkan diri
dan beliau tidak pernah dilihat lagi. Berita tentang Laksamana Hang Tuah juga
tidak kedengaran lagi tetapi beliau dipercayai masih hidup pada akhir hikayat
ini. Hikayat ini diakhiri dengan semangat nasionalisme yang kekal sehingga hari
ini, iaitu “Takkan Melayu Hilang di Dunia”.
4.0 Ciri-Ciri Khusus
Karya Agung Melayu Dalam Hikayat Hang Tuah
4.1 Pemikiran (
Isi dan mesej)
Isi dan mesej bermaksud pemikiran yang diketengahkan
dalam sesebuah karya. Sebagai sebuah karya yang diangkat dan dinobat sebagai
sebuah karya agung, salah satu ciri yang harus dimiliki oleh karya berkenaan
ialah memiliki isi dan mesej. Seri Lanang Jaya, Mohd Rashid Md. Idris dan Abd.
Rahman Napiah (2014:69) menyifatkan isi dan mesej dalam karya ialah pemikiran
yang terdapat dalam penulisan yang dibicarakan. Dalam Hikayat Hang Tuah,
terdapat beberapa isi dan mesej yang cuba diketengahkan oleh penulis epik
Melayu ini.
4.1.1
Kehebatan Hang Tuah
Mana
Sikana (2003) dalam Seri Lanang Jaya, Mohd Rashid Md. Idris dan Abd. Rahman
Napiah (2014) menyatakan bahawa pemikiran utama Hikayat Hang Tuah ini ialah
tentang kepahlawanan Hang Tuah. Dalam hikayat ini, Hang Tuah ialah seorang
pahlawan merangkap wira Melayu digambarkan memiliki kehebatan yang tiada tolok
bandingannya. Dalam bab dua, kehebatan Hang Tuah dan saudara-saudaranya
terserlah buat pertama kalinya apabila mereka berjaya mengalahkan lanun-lanun
semasa mereka dalam pelayaran menuju ke Pulau Tinggi dan Inderapura.
“…apabila hampir musuh itu ke hadapan Hang Tuah, maka
ditikam oleh Hang Tuah, kena pahanya, lalu terduduk tiada dapat bangkit lagi.
Maka ditikam pula oleh Hang Jebat, kena seorang, lalu lari ke perahunya
mengambil sumpitan dan seligi. Maka disumpitnya akan Hang Tuah dan Hang Jebat
kelima orang itu, seperti hujan yang lebat…”
(Hikayat Hang Tuah, 1997:
25)
Selain itu, kehebatan Hang Tuah juga terbukti apabila
raja sendiri sentiasa mendengar dan mengikuti nasihat yang diberi oleh Hang
Tuah. Umum mengetahui bahawa raja atau
pemerintah pada suatu ketika dahulu mempunyai kuasa mutlak dan sukar untuk
menerima pendapat daripada orang lain khususnya rakyat jelata. Namun berbeza
dengan itu, kisah dalam bab dua menunjukkan raja Melaka sentiasa mendengar
kata-kata daripada Hang Tuah. Petikan berikut yang terdapat menjadi bukti
kepada kehebatan Hang Tuah yang satu ini.
“…barang kata Hang Tuah, kata rajalah. Jika raja
hendak membunuh orang, kata Hang Tuah tiada harus mati, tiadalah mati orang
itu. Jika raja hendak menangkap orang yang berdosa, jika Hang Tuah tiada
menangkap, tiadalah tertangkap; dan jika sesuatu bicara, jika Hang Tuah belum
masuk, bicaranya belum putus…
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 45)
Seterusnya,
kehebatan Hang Tuah juga dapat dilihat sebagai pahlawan yang hebat kerana
berjaya mengambil nyiur gading yang diingini oleh tuan puteri yang sedang
mengandung putera sulung. Kehebatan Hang tuah ditunjukkan apabila hanya beliau
seorabng sahaja yang berani memanjat Hang Tuah dapat dilihat pada petikan
berikut:
…Maka pohon nyiur
sebatang pokok nyiur yang sangat tinggi yang batang pokoknya telah reput
dimakan anai-anai. Kehebatan itupun patahlah pada sama tengah pohonnya. Maka
laksamana pun lekat pada leher nyiur itu pahanya. Apabila dilihat oleh
laksamana pohon nyiur itu hampirlah akan sampai ke tanah, maka laksamana pun
melompat ke bumi sambil memegang tandan nyiur itu dengan tangan kiri, tangannya
kanan memegang golok itu. Maka laksamana pun terdiri dengan tandan nyiur itu
dan golok sebilah, suatu pun tiada maranya. Maka segala orang yang melihat itu
pun tercengang-cengang…
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 276-277)
4.1.2 Taat
setia kepada raja
Antara isi dan mesej lain yang hendak disampaikan
dalam Hikayat ini ialah taat setia. Taat setia yang dimaksudkan dalam hikayat
ini ialah taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap sultan atau raja.
Watak utama dalam hikayat ini iaitu Hang Tuah telah menunjukkan taat setia yang
tidak berbelah bagi terhadap raja Melaka. Buktinya, Hang Tuah sanggup membunuh
sahabatnya sendiri iaitu Hang Jebat demi patuh dan ingkar terhadap arahan yang
dikeluarkan oleh rajanya. Semasa ketiadaan Hang Tuah iaitu ketika Hang Tuah
dikatakan telah meninggal dunia, Hang Jebat telah melakukan perkara-perkara
yang memurkakan baginda. Sehubungan itu, setelah mendapat tahu bahawa Hang Tuah
masih hidup, baginda meminta Hang Tuah untuk membunuh Hang Jebat. Walaupun
terpaksa melakukannya dengan berat hati, Hang Tuah menunaikan juga permintaan
raja itu. Hal ini dapat dibuktikan dalam petikan yang berikut :
Maka titah
baginda, ‘Dapatkah kekasihku membunuh Si Jebat demikian itu?” Maka sembah
laksamana, ‘Daulat tuanku, patik mohonkan ampun, patik pohonkan keris pandak
patik supaya patik pergi membuangkan Si Jebat derhaka itu.”…
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 375-376)
4.1.3
Kebijaksanaan Pahlawan Melayu
Kebijaksanaan
pahlawan Melayu juga merupakan isi atau mesej yang terkandung dalam Hikayat
Hang Tuah ini. Kebijaksanaan yang ditekankan disini ialah kebijaksanaan yang
ada pada diri Hang Tuah. Setiap masalah, cabaran atau halangan yang dihadapi
pasti Hang Tuah mampu untuk mencari jalan penyelesaiannya. Misalnya, Hang Tuah
berjaya melihat wajah Maharaja Cina ketika mengadapnya di Benua Cina. Pada
asalnya, Hang Tuah
tidak berpuas hati kerana setelah beberapa kali masuk menghadap Maharaja, dia
tidak berpeluang melihat wajah Maharaja Cina itu. Akhirnya, Hang Tuah mendapat
buah fikiran cara untuk melihat wajah Maharaja Cina. Hang Tuah meminta tukang
masak supaya memasak kangkung tanpa memotong kangkung tersebut. Oleh itu, untuk
memakan sayur tersebut dia perlu mendongak. Dengan cara itu dia telah berjaya
melihat wajah Maharaja Cina yang disorok-sorokkan selama ini. Situasi ini dapat
dilihat dalam petikan teks berikut :
…segala Melayu pun makanlah dua tiga suap. Maka Laksamana
pun mengambil kangkung disuapnya dengan
cikap emas itu lalu diangkatnya ke atas dahinya; maka disuapnya ke mulutnya
sambil melihat raja Cina itu, duduk di dalam mulut naga emas bersisik akan
permata Sembilan bagai rupanya , duduk di atas peterena manikam berumbai-rumbai
akan mutiara, seperti dian di dalam tanglung ; demikianlah, bercahaya-cahaya
seperti bulan purnama…
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 445)
Selain itu,
pengarang menceritakan kebijaksanaan
Hang Kadim dalam peristiwa negeri Inderapura diserang oleh ikan yang bernama
Todak. Raja Inderapura memerintahkan rakyat untuk berhimpun dan menyuruh mereka
menggunakan betis untuk membuat pertahan tetapi malangnya todak itu menyerang
sehingga menyebabkan ramai rakyat yang mati dan luka. Kemudian, rakyat pun
mengundurkan diri.
Namun, ada
seorang budak bernama Hang Kadim. Hang Kadim merupakan anak kepada Hang Jebat.
Dia mencadangkan kepada Raja Inderapura untuk membuat pertahanan dengan
menggunakan batang pisang. Raja Inderapura mengarahkan bendahara berbuat
demikian. Bendahara pula mengerahkan rakyat membuat pertahan dengan menggunakan
batang pisang. Pada suatu hari, ikan todak pun menyerang dan akhirnya mati
terlekat pada batang pisang. Hal ini menunjukkan bahawa Hang Kadim seorang yang
bijak dalam menyelesaikan serangan ikan todak di negeri Inderapura. Contoh
petikan yang memaparkan kebijaksanaan Hang Kadim:
“…Daulat Tuanku Syah Alam, patik mohonkan ampun dan kurnia; pada
bicara patik sungguh pun duli tuanku raja besar dan banyak rakyat, pada bicara
patik yang hina, jangankan sebuah negeri Syah Alam ini akan bertahan, jika
sepuluh buah negeri sekalipun tiadakan bertahan oleh binatang todak itu, kerana
todak itu terlalu banyak.” Setelah raja mendengar sembah Hang Kadim demikian
itu, maka baginda pun bertitah, “Hai budak, bagaimana bicaramu pula? Katakanlah
kudengar.” Maka Hang Kadim pun berdatang sembah, “ Ya Tuanku Syah Alam, pada
bicara patik, ada suatu tipunya. Baik juga kita berkotakan batang pisang; cuba
kalau-kalau diturut Allah Taala, bertambah daulat Syah Alam.” Setelah baginda
mendengar sembah Hang Kadim itu, maka baginda pun bertitah, “Hai bendahara,
segeralah kerahkan segala rakyat kita suruh perbuat akan seperti bicara budak
ini.”
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 503)
4.1.4
Penyatuan negara melalui perkahwinan
Dalam hikayat hang tuah turut diselitkan tentang
penggabungan dua negara melalui perkahwinan. Dalam bab 6 misalnya menceritakan
kepulangan Hang Tuah dan rakannya dari Majapahit. Raja Majapahit bersetuju
untuk mengahwinkan anaknya Raden Emas Ayu dengan Raja Melaka. Sambutan
kepulangan Hang Tuah dan rakannya disambut meriah sehingga bedilan yang tidak
berhenti dari di luar istana. Apabila persetujuan telah dibuat, Raja Melaka
yang sangat gembira segera membuat persiapan untuk ke Majapahit. Raja Melaka
dan rombongan telah ke Majapahit untuk melangsungkan perkahwinan dengan Raden
Emas Ayu dengan menyediakan pelbagai hantaran. Perkata ini dapat dilihat dalam
petikan dibawah:
... Maka
kata Bendahara Paduka Raja, “Utusan kita datang itu.”Maka Bendahara Paduka Raja
pun masuk menghadap raja. Tatkala itu raja pun sedang ramai dihadap orang.
Setelah dilihat raja bendahara datang gopoh-gopoh itu, maka titah raja, “hai mamak
bendahara, bunyi bedil apa seperti bertih di kuala itu?” “Daulat Tuanku Syah Alam, bahawa utusan kita datang dari
Majapahit.” Demi mendengar sembah bendahara itu, maka raja pun terlalu
sukacita.
(Hikayat Hang Tuah, 1997:
139)
4.1.5 Fitnah
Dalam
bab 9 misalnya, diceritakan mengenai Hang Tuah yang dibuang ke Inderapura
akibat fitnah yang telah dilontarkan kepadanya oleh menteri-menteri Melaka
kerana mereka cemburu kasih sayang yang ditunjukkan oleh Raja Melaka kepada
Hang Tuah. Akibatnya Raja Melaka telah memerintahkan Bendahara Paduka Raja
untuk membunuh Hang Tuah. Tetapi tanpa pengetahuan Raja Melaka, Hang Tuah telah
diarahkan ke Inderapura untuk berbakti kepada Bendahara Seri Buana di
Inderapura. Ketika Hang Tuah di Inderapura, beliau telah mendapat perhatian
oleh inang-inang Bendahara Seri Buana kerana sifatnya yang baik dan Hang Tuah
juga telah menunjukkan kehandalan bermain sepak raga bersama Tun Jenal.
Peristiwa ketika Raja Melaka mengetahui penzinaan Hang Tuah dan dayang istana
ini dapat dilihat dalam petikan dibawah,
... “Ada patik melihat Hang Tuah itu
berkata-kata seorang perempuan dalam istana Duli Yang Dipertuan; empat lima
kali patik bertemu, tetapi siapa-siapa mukahnya patik tiada periksa.” ... maka
raja pun terlalu murka seperti api bernyala dan seperti harimau akan menerkam.
Maka titak baginda, “Wah Si Tuah! Harapnya aku akan dia maka berbuat pula akan
aku demikian ini.” Maka menyuruh memanggil bendahara; maka bendahara pun segera
menghadap. Belum sempat bendahara duduk maka titah raja, “Hai bendahara
buangkan Si Tuah! Derhaka pada kita. Segeralah buangkan; aku tahukan matinya!”
(Hikayat Hang Tuah,
1997: 206-207)
4.2
Nilai budaya dan pandangan hidup
Nilai budaya dan pandangan hidup
dalam konteks analisis sesebuah karya agung ialah pegangan atau falsafah yang
terdapat dalam karya. Lazimnya, sesebuah karya memang mengetengahkan nilai
budaya dan pegangan hidup sesebuah bangsa semasa karya berkenaan ditulis. Nilai budaya seperti
pegangan sesebuah masyarakat terhadap sesebuah adat seperti nilai kasih sayang,
hormat menghormati, keadilan, mengenang budi dan amalan sesuatu adat istiadat
seperti adat meminang, adat perkahwinan, adat menyembah raja, dan sebagainya.
Menurut Dr. Hj. Mohd, Rashid Hj.Md Idris, pandangan hidup pula ialah satu
konsep yang menerangkan pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan
terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu
sistam nilai yang tertentu (Modul Karya Agung Melayu BMS3022: 125-126).
Berdasarkan hikayat ini ada menerangkan mengenai beberapa nilai budaya dan
pandangan hidup masyarakat.
Contohnya dalam hikayat Hang Tuah, pembaca
dapat melihat beberapa nilai budaya dan pandangan hidup masyarakat Melayu dalam
karya tersebut. Hal ini demikian kerana karya ini menceritakan seorang pahlawan
Melayu yang tinggal di tanah Melayu dan hidup di sekeliling orang Melayu. Jadi,
nilai budaya yang terserlah sudah tentulah nilai budaya dan pandangan hidup
orang Melayu. Maka, terdapat beberapa nilai budaya dan pandangan hidup yang
sangat jelas dalam karya agung Hikayat Hang Tuah ini.
4.2.1
Memandang tinggi kepada adat
Setiap bangsa mempunyai adat dan pegangan hidupnya
tersendiri. Hal ini berlaku juga dalam kelompok masyarakat Melayu seperti yang
terdapat dalam karya agung ini. Dalam karya ini, rakyat jelata dan para
pembesar sentiasa patuh kepada titah raja. Raja sentiasa disembah dan dipatuhi
segala titahnya. Konsep tulah sekiranya derhaka sudah wujud sebagai satu nilai
budaya dan pandangan hidup dalam masyarakat Melayu pada ketika itu. Contohnya
bendahara Melaka iaitu, Bendahara Paduka Raja menyembah ke bawah duli raja
Melaka semasa menghadap baginda bagi menceritakan perihal kehebatan Hang Tuah
lima bersaudara.
“Daulat tuanku, inilah bernama Hang Tuah, ini bernama
Hang Kasturi, ini bernama Hang Jebat, ini bernama Hang Lekir, ini bernama Hang
Lekiu, tuanku, ini seorang anak patik bernama Tun Mat”
(Hikayat Hang Tuah, 1997:
44)
Selain itu, pandai besi yang menjadi simbol
kepada rakyat biasa juga menyembah dan patuh kepada titah raja. Dalam bab dua,
tukang besi patuh kepada titah raja Melaka untuk membuat keris kepada Hang
Tuah. Kenyataan ini dapat dilihat pada petikan berikut:
“Pada ketika itu juga baginda menitahkan
pandai besi yang tua seorang berbuat keris panjang sebilah akan pakaian Hang
Tuah. Dua puluh perkara besi dilakurkan dan sebara besi dihalusi menjadi
sebilah keris panjang. Maka berapa lamanya keris empat puluh bilah itu pun
sudahlah. Maka dipersembahkannya kepada raja.
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 44)
4.2.2 Kesetiaan
Seterusnya, nilai
budaya yang terkandung dalam Hikayat Hang Tuah ialah sifat taat kepada raja.
Hang Tuah merupakan seorang yang sangat taat sangat taat kepada raja. Perkara
ini dapat dilihat melalui peristiwa Hang Tuah menyelamatkan kuda Tezi milik
milik Raden Bahar yang terjatuh ke dalam lubang najis. Peristiwa ini
digambarkan dalam petikan tersebut:
Maka laksamana pun turun ke dalam telaga itu. Maka laksamana pun
menyelam dalam telaga tahi itu; dengan mudahnya juga kuda itu pun ditarik
oranglah. Maka kuda itu pun lepaslah dari dalam telaga tahi itu.
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 283)
Selain itu, dalam bab 10 pula ada menceritakan
kesetiaan Hang Tuah untuk kembali ke Melaka untuk berbakti dengan Raja Melaka.
Hang Tuah mengetahui bahawa Raja Melaka menginginkan Tun Teja iaitu anak Bendahara
Seri Buana dari Inderapura. Hang Tuah mencari helah untuk Tun Teja mengikutnya
kembali ke Melaka untuk dikahwinkan dengan Raja Melaka. Pada mulanya Hang Tuah
telah memberi ubat pengasih kepada Tun Teja untuk menyukai Hang Tuah. Tun Teja
telah mencari helah untuk mengikut Hang Tuah dan tidak mahu berkahwin dengan
tunangnya iaitu Megat Panji Alam Terengganu. Kemudian apabila Tun Teja
bersetuju untuk mengikut Hang Tuah untuk berkahwin di Melaka, Hang Tuah
menyatakan bahawa tujuan sebenar membawa Tun Teja ke Melaka adalah untuk
dikahwinkan dengan Raja Melaka. Akhirnya Hang Tuah telah membuat pula ubat
pembenci agar Tun Teja membencinya. Hang Tuah ada menyimpan perasaan kepada Tun
Teja tetapi kasih Hang Tuah kepada Raja Melaka adalah lebih tinggi dan sanggup
melupakan Tun Teja yang cantik itu. Akhirnya Tun Teja berkahwin dengan Raja
Melaka. Berikut adalah peristiwa ketika Hang Tuah membuat ubat pembenaci kepada
Tun Teja,
... Setelah Tun Tuah melihat kelakuan Tun
Teja itu, maka Tun Tuah pun fikir di dalam hatinya : ‘Adapun jika selaku ini
juga kelakuan Tun Teja ini, nescaya gilalah akan aku. Jika demikian, baiklah
kuperbuat suatu hikmat pembenci. Setelah sudah membaca pustakanya, lalu
ditiupkannya ke dalam kurung itu. Maka Tun Teja pun bencilah hatinya akan Tun
Tuah dan jangankan melihat rupanya, mendengar suaranya pun benci serta menutup
akan telinganya...
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 251)
4.2.3 Semangat Setiakawan
Seterusnya, nilai budaya yang ketara yang dapat
dilihat dalam hikayat ini ialah semangat setiakawan. Berdasarkan catatan dalam
bab ini, nilai setiakawan dapat ditonjolkan dalam diri Hang jebat yang berani menentang dan
derhaka kepada rajanya sendiri iaitu Raja Melaka. Hal ini demikian kerana dia
merasa tidak puas hati terhadap keputusan rajanya yang terlalu mengikut nafsu
untuk menjatuhkan hukuman bunuh terhadap sahabat Hang Jebat sendiri iaitu Hang
Tuah. Raja Melaka telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah kerana
Hang Tuah dikatakan telah bersekedudukan dengan salah seorang dayang di istana
baginda.
Disebabkan
rasa marah yang membuak-buak, baginda terus menjatuhkan hukuman terhadap Hang
Tuah tanpa usul periksa. Walhal, Hang Tuah telah difitnah dan dianiayai. Akibat
didorong dengan semangat setiakawan yang menebal dalam diri, Hang Jebat ingin
membalas dendam terhadap Raja Melaka. Dia menunjukkan tingkah laku yang bebas di
dalam istana sehingga berani makan, minum, mandi-manda di tempat Raja Melaka,
beradu di peraduan raja dan memakai pakaian raja. Hang Jebat bertindak
sedemikian kerana akibat
rasa geramnya terhadap Raja Melaka. Perkara ini dapat dibuktikan melalui
petikan ayat yang berikut :
Maka dilihat oleh Hang Jebat raja anak beranak sudah undur
dari istana. Maka ia pun terlalu sukacita lalu ia duduk di atas peterana yang
keemasan tempat raja duduk itu. Maka biduan empat itu pun bernyanyilah, terlalu
ramai makan minum dengan segala bunyi-bunyian. Maka Hang Jebat pun mandi
berlangir pada pasu emas tempat raja mandi. Maka ia memakai bau-bauan; maka ia
pun menyuruh mengambil peti pakaian raja itu. Maka diambilnya kain raja yang
berpakankan emas itu dipakainya dan baju raja daripada rambuti itu pun
dipakainya. Maka dastar daripada emas yang berpermata itu dipakainya. Setelah
sudah maka si Jebat pun duduk di atas peterana keemasan. Maka nasi pun diangkat
oranglah. Maka Hang Jebat pun makanlah seperti kelakuan raja santap;
demikianlah lakunya. Setelah sudah makan maka Hang Jebat pun tidurlah pada
tempat raja tidur itu.
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 361)
4.2.4 Meraikan Tetamu
Adat
meraikan tetamu merupakan nilai budaya yang ditonjolkan dalam Hikayat Hang Tuah
ini. Berdasarkan bab 6, iaitu ketika
peminangan Raden Emas Ayu dipersetujui oleh Raja Majapahit, Raja Melaka sangat
gembira dan mengalu-alukan kepulangan rombongan meminang dengan gembira sekali.
Raja Melaka juga segera memerintahkan menteri-menterinya menyediakan
kelengkapan untuk berangkat ke Majapahit untuk melangsungkan perkahwinan di
sana. Ketika Raja tiba di Majapahit, mereka disambut dengan meriah sekali dan
Raja Majapahit telah menyediakan sebuah istana di kampung Patih Gajah Mada.
Patih Gajah Mada ialah orang bawahan kepada Seri Betara Majapahit iaitu Raja
Majapahit. Perkara ini dapat dilihat pada petikan dibawah,
... Maka Seri Betara pun memberi titah
kepada Patih Gajah Mada, “Sudahkah tuan hamba perbuat istana anak kita Raja
Melaka, kalau-kalau anak kita hendak melihat istana tempat berhenti?” Maka
sembah Patih Gajah Mada, “Daulat Tuanku Paduka Bentara” Maka Seri Betara pun
bertitah kepada raja Melaka, “Ya, anakku, baik juga anakku silakan melihat
istana tempat anakku duduk itu,” Maka sembah raja Melaka “Mana titah patik
junjung.”...
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 151)
4.2.5 Mementingkan Adat Resam
Masyarakat Melayu
mementingkan adat resam dan mengamalkannya dalam kehidupan harian mereka. Adat
resam ini termasuklah pantang larang dan adat istiadat yang diamalkan sejak
turun temurun lagi. Antara adat yang sering diamalkan oleh masyarakat Melayu
seperti adat perkahwinan, pertabalan raja, dan lain-lain. Contoh petikan dalam Hikayat Hang Tuah bab 22 yang
menunjukkan masyarakat Melayu mementingkan adat perkahwinan seperti di bawah
ini:
Setelah ke esok harinya maka baginda pun berangkat keluar dihadap
oleh segala pegawai dan pertuanan sekalian. Maka titah baginda, “Hai mamak
bendahara, kerahkan segala orang suruh berjaga-jaga.” Maka segala pegawai dan
pertuanan sekalian pun berjaga-jagalah memalu bunyi-bunyian masing-masing
dengan tahunya, terlalu ramai tujuh hari tujuh malam. Setelah sudah maka Sultan
Mahmud pun dihiaslah dengan selengkapnya lalu dinaikkan ke atas gajah. Maka
cogan alamat pun terdirilah lalu berarak. Maka segala orang isi negeri Melaka
pun penuh sesak melihat anak raja berarak itu.
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 496)
Peristiwa ini
menceritakan adat perkahwinan diraja iaitu, perkahwinan Sultan Ahmad dengan
anak Bendahara Terengganu. Sultan Ahmad diarak sampai ke rumah bendahara dengan
menaiki gajah. Sultan Ahmad disambut oleh bendahara dan didudukkan di atas
peterana yang keemasan. Hal ini menunjukkan bahawa dari dahulu lagi adat
perkahwinan diamalkan oleh masyarakat Melayu.
4.3
Nilai Ilmu
Seri Lanang Jaya, Mohd Rashid Md. Idris dan
Abd. Rahman Napiah (2014) menyatakan konsep nilai dan etika dalam konteks
masyarakat Melayu sangat berkait rapat dengan perkara yang dianggap sebagai
mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Tidak
setakat itu, nilai juga dikaitkan dengan agama Islam bagi masyarakat Melayu.
Bagi konteks nilai ilmu, pelbagai jenis nilai ilmu yang diketengahkan dalam
karya agung Melayu khususnya Hikayat Hang Tuah ini.
4.3.1 Ilmu membuat senjata
Dalam
hikayat Hang Tuah, istilah ‘pandai besi’ merujuk kepada orang yang pandai
membuat senjata. Berdasarkan istilah tersebut, ilmu membuat senjata khususnya
keris memang sangat dikagumi pada ketika itu. Istilah ini digunakan dalam bab
dua apabila raja Melaka menitahkan orang untuk membuat senjata bagi keperluan
Hang Tuah. Kenyataan ini dapat dilihat dalam petikan tersebut:
“Pada ketika itu juga baginda menitahkan pandai
besi yang tua seorang berbuat keris panjang sebilah akan pakaian Hang Tuah.
Dua puluh perkara besi dilakurkan dan sebara besi dihalusi menjadi sebilah
keris panjang. Maka berapa lamanya keris empat puluh bilah itu pun sudahlah.
Maka dipersembahkannya kepada raja.
(Hikayat Hang Tuah, 1997:44)
4.3.2 Ilmu Berburu
Ilmu
berburu ini dibuktikan dalam bab dua apabila Hang Tuah dan saudara-saudaranya
serta Tun Mat mendapat hasil buruan yang banyak di pulau Biram Dewa. Semasa
berburu ini jugalah Hang Tuah mendapat seekor ular cintamani. Petikan tersebut
dalat dilihat di bawah:
Setelah sampai di rumah,
maka kata bendahara, “Banyakkahanakkku beroleh perburuan?”. Maka sembah Tun Mat
“Banyak, tuanku, beroleh perburuan.”
(Hikayat Hang Tuah, 1997:43)
4.3.3 Ilmu bahasa dan agama
Dalam hikayat ini, Hang Tuah memiliki ilmu dalam bidang nahu dan
agama iaitu agama Islam. Hal ini terbukti dalam awal bab dua apabila Hang
Mahmud mendapat mimpi yang sangat aneh tentang Hang Tuah. Selepas itu, Hang
Mahmud pun berpindah dari Sungai Duyung ke Bentan dan mendirikan rumah
berdekatan dengan kampung Bendahara Paduka raja. Di Bentan, Hang Mahmud
menghantar Hang Tuah belajar mengaji dengan seorang lebai.
“…maka Hang Mahmud pun diserahkan anaknya
mengaji kepada seorang lebai. Telah berapa lamanya Hang Tuah mengaji Quran,
maka pengajian itu pun tamatlah. Maka Hang Tuah mengaji nahu pula.”
(Hikayat Hang Tuah, 1997:23)
4.3.4 Ilmu firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010), firasat ditakrifkan sebagai
pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk
mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu
berkaitan dengan ilmu firasat.
Firasat tilik
nasib dalam Hikayat Hang Tuah memaparkan dengan jelas dalam bab 24 mengenai
Hang Tuah dapat mengetahui bahawa akan berlaku sesuatu peristiwa yang buruk
sekiranya melakukan perjalanan apabila matahari sedang naik. Petikan yang
menceritakan ilmu firasat tilik nasib oleh Hang Tuah:
Syahadan maka laksamana pun menurunkan segala perahunya dan mengerahkan segala
orangnya berlengkap. Setelah sudah mustaid maka datanglah kepada tujuh harinya.
Maka bendahara dan laksamana pun masuk mengadap berdatang sembah, “Daulat
tuanku, patik dititahkan berlengkap itu sudahlah patik lengkapi seperti titah
Duli Yang Dipertuan itu. Maka titah patik junjung, tetapi pada bicara patik,
baiklah Duli Syah Alam berangkat pada tengah naik matahari ini, alamat geroda
alah oleh ular.” Maka baginda pun berangkat masuk mendapatkan isterinya
keduanya, seraya bertitah, “Marilah adinda turun, kerana hari sudah tinggi
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 514)
Apabila
melakukan perjalanan ke Singapura, iaitu Selat Melaka, baginda telah ternampak
seekor ikan emas yang sangat cantik. Kemudian, baginda memandang ke bawah
perahu sehingga mahkotanya terjatuh ke dalam air. Lalu, Hang Tuah terjun untuk
mendapatkan mahkota baginda dan ketika hampir ke perahu, tiba-tiba seekor buaya
putih datang menyambar kerisnya, lalu Hang Tuah terkejut dan menyebabkan
mahkota terjatuh kembali. Kemudian, Hang
Tuah menarik ekor buaya tersebut sehingga lemas. Akhirnya, timbul kembali tanpa
mahkota dan keris. Setelah Hang Tuah kehilangan keris dan baginda kehilangan
mahkota, kedua-duanya menjadi sakit dan demam. Peristiwa ini menunjukkan bahawa
benar perkara buruk akan berlaku seperti yang ditilik nasib oleh Hang Tuah
sekiranya melakukan perjalanan ketika matahari sedang naik.
Selain itu, pada bab 14 juga ada menekankan
tentang kepercayaan dengan nilai ilmu firasat. Ilmu firasat ini merupakan
ilmu mereka yang mampu mengetahui suatu
hal dengan mempelajari tanda-tandanya. Sebagai contoh, kita dapat lihat dalam
petikan tersebut:
Maka kata Patih,
“Mengapa maka anak laksamana tiada mahu minum?” Maka kata laksamana, “Adapun
firasat orang bijaksana dan berani itu, apabila ada suatu tandanya
gerakan-gerakan dirasainya, maka hendaklah barang sesuatu makanan dan minuman
itu diunduri;…
(Hikayat Hang Tuah, 1997:326)
Seterusnya, ilmu firasat turut dapat
dibuktikan dalam hikayat pada peristiwa ketika Hang Tuah dan
rakannya berguru dengan Sang Pertala Nala di Gunung Wirana Pura setelah selesai
majlis perkahwinan Raja Melaka dan Raden Emas Ayu, Sang Pertala Nala telah
mengajar mereka berlima tentang pelbagai ilmu seperti ilmu perajurit dan ilmu hulubalang.
Ketika itu Sang Pertala Nala telah meramalkan bahawa Hang Jebat akan menjadi
seorang yang berjawatan besar dan tinggi di Melaka tetapi akhirnya beliau akan
mati ditikam senjata tajam. Perkara ini dapat dilihat di petikan dibawah,
... Setelah laksamana mendengar kata Sang
Persata Nala demikian itu, maka laksamana pun bermohonlah kelimanya kepada Sang
Persata Nala. Maka kata Sang Persata Nala kepada Hang Jebat, “Anakku seorang
ini beroleh kebesaran kembali dari Majapahit ini, tetapi kematian anakku ini
tiada baik; mati kerana senjata.”...
(Hikayat
Hang Tuah, 1997: 174-175)
4.3.5 Ilmu Pukau
Di samping
itu, ilmu pukau juga merupakan salah satu ilmu yang terdapat dalam hikayat ini.
Ilmu pukau yang dimaksudkan ini dimiliki oleh Kertala Sari iaitu orang suruhan
Patih Gajah Mada yang telah dihantar ke negeri Melaka. Ketika di Melaka,
Kertala Sari ditugaskan untuk menimbulkan kekacauan. Berbekalkan ilmu pukau
yang dimilikinya, dia telah mencuri harta-harta saudagar yang kaya-raya di
negeri Melaka. Bukan itu sahaja, malahan Kartala Sari turut menggunakan ilmu
pukau yang dimilikinya untuk mencabul isteri saudagar yang dirompaknya. Perkara
ini jelas dibuktikan dalam petikan di bawah ini :
Sebermula maka Kertala Sari pun masuk ke dalam. Maka
dilihatnya oleh Kertala Sari orang berkawal terlalu banyak dengan alat
senjatanya. Maka Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu berjalan di tengah
orang banyak itu. Maka ia pun pergi ke rumah seorang kaya. Maka dicurinya harta
yang kemas-kemas itu lalu dibawanya kembali dan bini orang kaya-kaya itu
dicabulinya. Maka ia pun kembali ke tempatnya.
(Hikayat Hang Tuah, 1997:404)
4.3.6 Ilmu pengasih
Ilmu
pengasih merupakan ayat yang dibacakan atas tujuan untuk memberi orang lain
suka kepada diri yang membacanya tak kira dari segi hubungan atau layanan
mereka terhadap pengamal ayat pengasih ini. Ianya bertujuan untuk memberikan
orang lain suka atau menjadi senang apabila berhadapan dengan orang yang
mengamalkan ilmu pengasih ini.
Dalam hikayat ini, Ketika Hang Tuah mengetahui
bahawa inang Dang Ratna telah dipukul dengan tempurung berbulu sehingga
berdarah mulutnya akibat menyampaikan hasrat Hang Tuah yang menyukai Tun Teja.
Tun Teja amat marah kerana mereka tidak setaraf dan tidak layak berdamping
dengannya yang merupakan anak kepada Bendahara Seri Buana. Apabila Hang Tuah
melihat Dang Ratna yang dipukul itu, Hang Tuah telah membuat ubat pengasih
untuk diletakkan di tempat Tun Teja sering beristirehat. Ubat itu telah
diberikan kepada Dang Ratna untuk diletakkan ditempat biasa Tun Teja duduk.
Akhirnya Tun Teja mula mencintai Hang Tuah dan meminta inangnya memanggil Hang
Tuah untuk mencurahkan isi hatinya kepada Hang Tuah. Perkara ini dapat dilihat
dalam petikan dibawah,
... Setelah Tun Tuah beroleh jebat itu,
maka Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat suatu guna pengasih namanya.
Setelah sudah diperbuat suatu guna itu, maka pada malam itu juga Tun Tuah
berjaga membaca pustakanya datang siang...
(Hikayat
Hang Tuah, 1997: 232)
4.4 Teknik Kepengarangan
Menurut Seri Lanang Jaya, Mohd Rashid Md. Idris dan
Abd. Rahman Napiah (2014), Hikayat Hang Tuah dikarang oleh seorang yang pintar
dan bijak dalam ilmu mengarang yang digelar dengan nama Tun Bestari. Pengarang
melakar dan memberi gambaran tentang kehebatan pahlawan yang tiada tolok
bandingnya. Dalam Hikayat Hang Tuah ini, pengarang ada menggunakan beberapa
teknik kepengarangan yang baik, antaranya ialah:
4.4.1 Teknik urutan
ruang.
Teknik
urutan ruang menurut Abu Hassan Abdul (2013) merujuk kepada penggunaan unsur
ruang dalam karya. Dalam hikayat ini, pengarang ada menggunakan teknik
kepengarangan ini. Contohnya:
“Sebermula nakhoda itu pun sampailah ke Palembang.
Maka ia pun berlengkap persembahan. Setelah sudah maka lalu ia berjalan ke Bukit
Siguntang.”
(Hikayat Hang Tuah, 1997:14)
4.4.2 Pantun
Hikayat
ini juga diselitkan juga dengan pantun iaitu ketika lima sahabat sedang bersukaria
di taman larangan Betara Majapahit sebelum kembali ke Melaka. Hal ini berlaku
kerana mereka ingin membalas dendam terhadap Betara Majapahit yang cuba
membunuh Hang Tuah dan telah mengupah orang untuk seramai 1000 orang untuk
menangkap Hang Tuah dan sahabatnya tetapi menenmui kegagalan. Antara pantun antara Hang Jebat dan Hang
Kasturi ialah,
Hang Jebat Hang
Kasturi
Budak-budak raja
Melaka
Jika hendak jangan dicuri
Mari kita bertentang mata.
Lokan melata di perahu
Belah balang bert.n.d.w.a.n
Bukan aku tiada tahu
Akulah hulubalang minta lawan.
(Hikayat Hang Tuah,
1997:195)
4.4.3
Unsur Mitos
Dalam Hikayat Hang Tuah ini terdapat
unsur mitos yang dimasukkan dalam proses kepengarangannya. Unsur mitos dikenali
sebagai unsur yang penuh dengan kesaktian dan magis. Sebagai contoh, dalam bab
yang ke 19 Hikayat Hang Tuah ini ada menyatakan bahawa Pulau Biram Dewa merupakan
pulau keramat kerana sesiapa sahaja yang singgah di pulau itu pasti akan turun
ribut taufan dengan tidak semana-mana. Pernyataan ini adalah mitos yang tidak
logik untuk diterima dek akal manusia. Hal ini kerana secara saintifiknya,
kejadian ribut taufan tidak ada kaitan langsung dengan mana-mana pulau. Oleh
itu, pernyataan ini dianggap sebagai unsur mitos yang tidak sesuai diterima
pakai. Unsur ini jelas dibuktikan dalam petikan yang berikut :
Maka laksamana pun bertanya, ‘Hai mualim, pulau apa namanya
ini?’ Maka kata mualim itu, ‘Hai panglima kami, inilah pulau yang bernama Biram
Dewa itu. Adapun pulau ini tiada pernah orang singgah.’ Maka kata laksamana,
‘Apa sebabnya?’ Maka kata mualim, ‘Barang siapa singgah pada pulau ini maka
turunlah rebut taufan kelam-kabut tiada berketahuan’. Maka kata laksamana pada
mualim, ‘Pada bicara hamba, hamba hendak singgah di pulau ini, kerana hati
hamba terlalu berahi.’ Maka kata mualim, ‘Mana bicara orang kaya panglimalah.’
Maka laksamana pun berkata, ‘Hai jurumudi, belokkan Mendam Berahi ini.’ Maka
dibelokkannyalah oleh jurumudi. Maka angin pun turunlah terlalu keras dan ombak
pun terlalu besarlah.
(Hikayat Hang Tuah, 1997:413)
4.4.4 Penggunaan Bahasa Klasik
Bahasa
Melayu klasik merupakan bahasa yang serius dan abadi nilainya, tertinggi mutunya dan menjadi standard kepada
yang lain. Dalam hikayat ini, pengarang
telah menggunakan bahasa klasik untuk menyampai penceritaan. Sebagai contoh, penyampaian cerita dalam Hikayat Hang Tuah dimulai dengan sebermula, alkisah maka tersebutlah, syahadan, hatta, arkian dan sebagainya. Antara
beberapa contoh petikan yang dipetik dalam Hikayat Hang Tuah yang dimulai dengan perkataan-perkataan
tersebut ialah:
SEBERMULA raja Melaka hendak mengurus ke Benua Siam.
(Hikayat Hang Tuah, 1997:469)
ALKISAH maka tersebutlah perkataan raja Melaka hendak menyuruhkan orang ke
Sailan membeli permata intan hendak diperbuatkan pakaian anakanda baginda.
(Hikayat Hang Tuah, 1997:479)
Hatta maka Raja Chulan pun sampailah ke balai gendang lalu turun di atas
gajahnya berjalan masuk.
(Hikayat Hang Tuah, 1997:484)
Arkian maka laksamana pun masuk ke dalam istana raja Terengganu; dilihat
raja sudah undur, tinggal lagi di istana itu Puteri Sekanda Jaya Leka dengan
Megat Maksum anak Megat Kembar Ali.
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 494)
4.4.5 Penggunaan Bahasa
Istana
Selain
itu, bahasa istana juga digunakan dalam Hikayat Hang Tuah. Bahasa istana
merupakan bentuk bahasa yang digunakan dalam kerabat diraja, apabila berhubung
dengan kerabat diraja dan hal ehwal yang berkaitan dengan raja. Antara bahasa
istana yang digunakan adalah seperti berikut:
…Maka
pada hari baginda duduk semayam.
(Hikayat Hang Tuah, 1997:
469)
Perkataan
baginda yang merujuk kepada kata sapaan rakyat kepada raja dan perkataan
semayam pula membawa maksud duduk atau tinggal.
…Daulat
tuanku, patiklah ke Benua Siam itu.
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 469)
Perkataan
daulat pula membawa maksud bahagia dan patik merujuk kepada rakyat yang
menghadap raja.
4.5
Seni Bahasa
Seni bahasa boleh juga diertikan sebagai
retorik dalam berbahasa. Seni bahasa ialah unsur estetika dan keindahan dalam
karya. Dalam karya Hikayat Hang Tuah, pelbagai retorik digunakan sebagai daya
penarik untuk mengindahkan lagi nilai karya. Terdapat beberapa seni bahasa yang
digunakan dalam karya agung Melayu ini.
4.5.1
Majaz
Pertentangan
Majaz
pertentangan merupakan seni bahasa yang menggunakan kata yang bertentangan,
simbolik, dan berhubungan. Abu Hassan Abdul (2013) menjelaskan bahawa majaz
pertentangan ini merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang saling
bertentangan dari segi makna, sama ada secara simbolik, tersurat atau tersirat
dalam struktur ayat yang sama atau yang berhubungan. Salah satu majaz yang
banyak digunakan dalam Hikayat Hang Tuah ini ialah hiperbola. Hiperbola
merupakan penggunaan istilah yang membesar-besarkan, berlebih-lebihan dan
melebih-lebihkan sesuatu perkara. Penggunaan hiperbola ini jelas dalam lima apabila
pengarang menggambarkan kecantikan Tun Teja, anak Bendahara Seri Buana di
Inderapura.
Rupanya terlalu amat elok seperti bulan purnama empat
belas hari bulan, gilang-gemilang kilau-kilauan, tiada dapat ditentangnya
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 111)
Selain itu, teknik ini juga digunakan
bagi menggambarkan tentang anak yang dilahirkan oleh Tuan Puteri Kemala
Pelinggam iaitu Sang Sapurba, anak kepada Sang Perta Dewa dalam bab satu.
“ …berputeralah
seorang laki-laki terlalu elok rupanya seperti empat belas ahribulan,
berseri-seri, serta keluar itu dengan mahkotanya.”
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 5)
4.5.2 Anafora
Anafora
bermaksud pengulangan perkataan pada permulaan klausa. Antara contohnya dalam
hikayat ini ialah:
Maka Tun Tuah pun melompat naik ke atas
peseban lalu ia menyembah betara Majapahit dan sujud pada kaki raja Melaka. Maka oleh raja Melaka diciumnya kepada
Tun Tuah. Maka segala oleh raja dan
segala ceteria, perdana menteri, hulubalang sekaliannya banyak mati dan luka
atas peseban itu dan dibawah peseban. Maka
bangkai pun terlalu banyak dibawa oleh orang pulang ke rumahnya. Maka bangkai Taming Sari pun ditarik
oranglah lalu digantungkannya di pasar pesara itu.
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 167)
4.5.3 Polisindeton
Polisindeton
pula ialah gaya bahasa perulangan kata di dalam ayat dan untuk menyambung ayat
yang panjang tanpa menggunakan noktah. Di dalam petikan dibawah menujukkan
contoh yang menggunakan perkataan ‘dan’,
Maka laksamana dan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu pun diajar
oleh Sang Persata Nala akan ilmu segala penjurit dan hulubalang, tetapi terlebih juga laksamana; diajarnya pelbagai
ilmu dan syarat hulubalang dan ilmu penjurit itu, kerana
laksamana, selama duduk di gunung itu, tiada ia tidur dan makan dan tiada ia
bercerai dengan Sang Persata Nala itu...
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 174)
4.5.4 Perumpamaan
Dalam Hikayat Hang Tuah dalam bab 12 misalnya, penulis menggunakan teknik perumpamaan dalam
menyatakan sesuatu perkara. Sebagai contoh,, kita dapat lihat daripada petikan
ini:
Syahadan
buahnya pun setandan dan airnya terlalu manis
seperti serbat rasanya dan isinya
seperti seri kaya.
(Hikayat Hang
Tuah, 1997: 275)
Contoh
di atas menunjukkan penulis ingin menggambarkan kemanisan dan kelazatan nyiur
gading yang diidamkan oleh tuan puteri. Rasa manis tersebut telah diumpamakan
dengan serbat dan seri kaya.
4.5.5 Retorik penerangan
Retorik merupakan seni penggunaan
bahasa yang digunakan untuk menyampaikan idea secara tersusun, menarik dan
mampu untuk memberikan impak kepada pendengar dan pembaca. Salah satu retorik
yang digunakan dalam hikayat ini ialah retorik penerangan. Retorik penerangan
bermaksud penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu
langkah kepada satu langkah yang lain. Dalam bab 17, retorik penerangan telah
diaplikasikan oleh pengarang ketika Tun Pekerma dan Tun Kasturi dititahkan oleh
Raja untuk menjemput laksamana Hang Tuah pulang. Ketika bertemu dengan
laksamana Hang Tuah di dusun Syeikh Mansur, Tun Pekerma dan Tun Kasturi telah
menerangkan tujuan mereka ke situ. Contohnya adalah seperti di bawah ini :
Maka Tun Pekerma dan Tun Kasturi pun naik duduk, seraya
berkata, ‘Titah Duli Yang Dipertuan memanggil orang kaya, kerana Duli Yang
Dipertuan terlalu sangat rindu dendam akan orang kaya; bermula anakanda Hang
Nadim pun diambil oleh baginda diangkat anak.’ Setelah sudah menyampaikan
demikian, maka Tun Pekerma dan Tun Kasturi pun menyembah kepada Syeikh Mansur.
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 373)
5.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, Hikayat Hang Tuah
merupakan sebuah epik Melayu yang menceritakan keperwiraan seorang pahlawan
Melayu. Epik ini telah mengemukakan watak Hang Tuah sebagai tokoh agung bagi
bangsa Melayu dan sebagai lambang kemegahan dan kekuatan bangsa Melayu. Bak
kata Hang Tuah “Takkan Melayu Hilang di Dunia”.
Secara keseluruhannya, Hikayat Hang Tuah ini mempunyai ciri-ciri karya
agung Melayu yang tersendiri yang boleh dikupas secara mendalam dan terperinci.
terima kasih atas perkongsian ilmu ini.
ReplyDeleteterima kasih kerana memberi input yang berguna kepada saya dan saya akan memanfaatkan maklumat ini sebaik-baiknya.
ReplyDeleteHotels Near Casinos and Hotels - MapYRO
ReplyDeleteFind the best 여수 출장마사지 hotels 군포 출장마사지 near Casinos and Hotels, Nevada in 김해 출장안마 Maricopa, AZ. Make your stay at one of 나주 출장안마 21 hotels within a 과천 출장안마 15-minute drive.