1.0 PENGENALAN
Gurindam merupakan salah satu golongan yang terdapat
dalam puisi tradisional Melayu. Gurindam membawa erti sesuatu perkara itu
berlaku kerana ada penyebab dan melalui penyebab itulah perkara tersebut
terjadi. Menurut Za’ba gurindam mempunyai bahasa yang padat dan bernas. Tujuan
gurindam ini adalah sebagai bahan nyanyian, jenaka, gurau senda dan sindiran.
Menurut Harun Mat Piah, gurindam adalah sejenis karya klasik Melayu lama yang
tidak tentu bentuknya sama ada terikat ataupun tidak.
Gurindam ini diperkenalkan oleh
Raja Ali Haji dari Kesultanan Riau. Beliau merupakan ulama, ahli sejarah, serta
pujangga Melayu Bugis dan pencatat pertama dasar-dasar tatabahasa Bahasa
Melayu. Raja Ali Haji merupakan keturunan kedua kepada Raja Haji Fisabilillah.
Gurindam Dua Belas diterbitkan pada 1947 menjadi pembaharuan arah aliran
kesusteraan pada zamannya. Raja Ali Haji juga telah menuntut ilmu agama di
Mekah dengan Syiekh Daud bin Abdullah al-Fathani dan bergaul dengan anak Syeikh
Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari iaitu Syeikh Syihabuddin bin Syeikh
Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjar. Antara karya yang menjadi panduan ialah
Tuhfat al-Nafis, Bustanul-Katibin, Kitab Pengetahuan Bahasa, Gurindam Dua
Belas, Syair Siti Shaniah, Syair Suluh Pegawai, Syair Hukum Nikah, dan Syair
Sultan Abdul Muluk.
Menurut Mohd. Rashid Md Idrid et.al tujuan penulisan Raja Ali Haji
berbeza dengan penulis-punulis sezaman dengannya seperti Abdullah Munsyi. Hal
ini mungkin disebabkan oleh latar belakang pendidikan, kerjaya dan persekitaran
hidupnya. Raja Ali Haji berpendidikan Arab, seorang pendakwah dan hidup dalam
lingkungan istana di Pulau Penyengat, Riau. Beliau juga tidak menggunakan
bahasa pasar kerana akan merosakkan kedudukan dan kemurnian bahasa Melayu itu
sendiri. Teknik penulisan beliau juga masih mengekalkan teknik penulisan
sastera tradisional Melayu. Raja Ali Haji juga telah meletakkan waktu, bulang
dan tahun di dalam karyanya. Hal ini memudahkan pengkaji untuk membuat sebarang
perbandingan dengan karya lain.
Gurindam ialah puisi tradisional
Melayu yang diperkenalkan oleh Raja Ali Haji melalui Gurindam Dua Belas.
Gurindam ini telah dikarang pada 23 Rejab 1263H di Riau ketika beliau berumur
38 tahun. Terdapat dua jenis gurindam berdasarkan bentuknya iaitu gurindam
terikat dan gurindam tidak terikat. Bentuk gurindam jenis terikat terdiri daripada
dua baris serangkap mengandungi tiga hingga empat patah perkataan dengan skema
rima a,a. Manakala bentuk gurindam jenis tidak terikat mengandungi jumlah
baris, jumlah perkataan dan jumlah suku kata dalam sebaris serta skema rima
yang tidak tetap. Bahasa gurindam biasanya bernas dan serius serta mempunyai
pengajaran, kebenaran serta berkaitan perasaan cinta.
Gurindam Dua Belas ini bertemakan
budi perkerti, nasihat-menasihati dan pengajaran hidup yang penting. Gurindam
ini mempunyai 12 fasal. Setiap fasal menceritakan perkara yang berbeza-beza.
Gurindam ini sangat sesuai dibaca kerana memberikan nasihat-nasihat yang
berguna kepada perkara yang sering berlaku di persekitaran masyarakat seperti
berkaitan dengan kesetiaan terhadap agama, menjaga tubuh badan dari melakukan
dosa, berbakti kepada keluarga, pengajaran kepada pemimpin dan banyak lagi.
Dalam kajian ini akan memfokuskan kepada empat perkara sahaja iaitu falsafah dan
pemikiran serta estetika dan kepengarangan.
2.0 FALSAFAH DAN PEMIKIRAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:406),
falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu tertinggi
yang menjadi dasar-dasar ilmu lain. Menurut Mohd. Rashid Md Idrid et.al (2014:16) falsafah bermaksud cinta
kepada ilmu dan kebenaran. Falsafah juga mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran
yang tinggi dan bertujuan mencari kebenaran. Secara keseluruhannya falsafah memikirkan
sesuatu dengan mendalam dan membincangkan sesuatu secara terperinci untuk
mendapat jawapan yang benar terhadap sesuatu perkara. Dalam bidang falsafah
diberi penekanan terhadap beberapa perkara seperti etika, metafizika, sejarah,
agama, ekonomi, politik dan logik.
Pemikiran bermaksud memikir cara
menyelesaikan masalah dengan menggunakan daya imaginasi sehingga dapat
menghasilkan pelbagai pendekatan yang kelihatan luar biasa tetapi berkesan.
Menurut Mohd. Rashid Md Idrid et.al (2014:69), pemikiran bermula dengan idea
yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya menjadi buah
fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pegarang mempunyai cara tersendiri
memilih bahan, mengejapkannya kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara
dan permata karya.
Falsafah dan pemikiran menunjukkan
hubungan antara makna yang sama iaitu memikirkan penyelesaian untuk sesuatu
masalah dengan daya imaginasi melalui pelbagai pendekatan untuk mendapatkan
jawapan yang benar. Falsafah boleh dikaji melalui beberapa aspek seperti aspek
sosial, politik, agama dan lain-lain. Pemikiran pula boleh dilihat dari aspek
isi dan mesej yang disampaikan berdasarkan Gurindam Dua Belas.
Berdasarkan Gurindam Dua Belas,
terdapat beberapa falsafah yang boleh dikaji dan dilihat. Antaranya ialah
falsafah Islam. Falsafah Islam adalah suatu cabang pengajian Islam, dan adalah
suatu percubaan yang berlarutan untuk mencipta harmoni di antara falsafah iaitu
alasan dan ajaran Islam iaitu kepercayaan. Islam bermaksud agama yang
disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam Fasal 1 dan Fasal 2 menerangkan nasihat
tentang agama Islam. Fasal 1 menerangkan betapa pentingnya agama kepada diri
seseorang kerana berdasarkan rangkap pertama,
Barang
siapa tiada memegang agama,
Sesekali
tiada boleh dibilang nama, (Rangkap
1)
Menurut rangkap diatas, sesiapa
yang tidak mempunyai agama yang tetap, diibarat manusia yang tidak mempunyai
nama atau pun pegangan hidup kerana manusia yang hidup di muka bumi mempunyai
sebab dan perlu mempunyai pegangan hidup agar kehidupan yang dilalui mempunyai
makna dan melakukan sesuatu perkara kerana tuhannya yang satu. Rangkap yang
seterusnya juga ada menerangkan mengenai seseorang yang taat kepada Allah tidak
akan melakukan perkara mungkar, mengenai diri sendiri, dunia, dan akhirat.
Seterusnya ialah pada Fasal 2 yang
menerangkan mengenai syariat dalam rukun Islam. Rukun Islam terbahagi kepada 5
iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat lima waktu, menunaikan
zakat, berpuasa di bulan Ramadan, dan menunaikan haji di Mekah bagi yang mampu.
Penulis memasukkan rukun Islam dalam gurindamnya untuk mengingatkan kepada
pembaca agar sentiasa melaksanakan rukun Islam yang mampu dilakukan dengan
sebaik mungkin kerana ia merupakan perkara-perkara yang akan membawa ke pintu
syurga Allah.
Barang siapa meninggalkan
sembahyang,
seperti rumah
tiada bertiang.
Barang siapa
meninggalkan puasa,
tidaklah
mendapat dua termasa.
Barang siapa
meninggalkan zakat,
tiadalah
hartanya beroleh berkat. (Fasal 2)
Falsafah seterusya ialah falsafah
etika yang merupakan salah satu cabang utama falsafah yang merangkumi kelakuan
betul dan kehidupan baik. Liputan etika adalah lebih luas daripada manganalisis
apa yang betul dan salah seperti yang sering dianggap. Antara aspek utama etika
ialah "kehidupan baik", iaitu kehidupan yang bernilai atau memuaskan,
yang dianggap lebih penting daripada tingkah laku moral oleh banyak ahli
falsafah. Dalam Gurindam Dua Belas ini menerangkan etika yang baik yang perlu
dicontohi dan dilakukan oleh semua masyarakat.
Dalam Fasal 3 menerangkan kebaikan
menjaga anggota badan daripada melakukan dosa. Setiap rangkap menerangkan
kebaikan menjaga anggota badan seperti menjaga mata, telinga, lidah, tangan,
perut, dan kaki. Setiap anggota mempunyai fungsi yang tersendiri, mata digunakan
untuk melihat kebaikan dan dilarang melihat perkara-perkara yang buruk seperti
aurat lelaki atau perempuan bukan muhrim, melihat benda-benda kotor, dan
sebagainya. Telinga dan lidah juga sangat penting untuk dipelihara dari
mendengar dan menyebut kisah orang lain, menyebut perkara yang buruk dan
menceritakan kisah orang lain untuk memburukkan seseorang. Anggota badan tangan
juga perlu rajin membantu orang dalam kesusahan dan ringan tangan membantu
keluarga dalam kerja di rumah. Terakhir sekali ialah bahagian kaki yang sangat
penting untuk pergi ke tempat-tempat yang memberi kebaikan kepada diri sendiri
seperti menghadiri majlis-majlis ilmu seperti ceramah agama dan lain-lain.
Apabila
terpelihara mata,
sedikitlah
cita-cita.
Apabila
terpelihara kuping,
khabar
yang jahat tiadalah damping.
Apabila
terpelihara lidah,
niscaya
dapat daripadanya paedah. (Fasal 3)
Falsafah seterusnya ialah falsafah
sosial yang bermaksud gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual.
Dalam gurindam Dua Belas, terdapat beberapa pengajaran yang boleh dicontohi
oleh pembaca. Antaranya ialah dalam Fasal 6 yang mengisahkan tentang pergaulan
yang menyarankan untuk mencari sahabat baik, guru yang memberi ilmu berguna,
mencari isteri yang setia menemani ketika susah dan senang. Fasal 6 ini ada di
masukkan dalam teks Komsas Tingkatan 4 sebagai salah satu puisi tradisional
yang dipelajari oleh murid. Gurindam ini memberi nasihat yang berguna
terutamanya kepada remaja kini yang perlu mencari sahabat yang boleh membantu
ketika susah dan menimba ilmu dengan guru yang mengetahui baik dan buruk
sesuatu perkara. Selain itu juga, seorang lelaki juga perlu mencari isteri yang
setia kepada suaminya ketika susah dan senang.
Cahari
olehmu akan sahabat,
yang
boleh dijadikan obat.
Cahari
olehmu akan guru,
yang
boleh tahukan tiap seteru.
Cahari
olehmu akan isteri,
yang
boleh dimenyerahkan diri. (Fasal 6)
Seterusnya dalam Fasal 10 pula
memberi nasihat keagamaan dan budi pekerti iaitu tugas anak-anak menghormati
kedua orang tuanya. Penulis memberikan nasihat kepada masyarakat untuk sentiasa
menghormati ibu bapa agar tidak menjadi anak yang derhaka dan tidak menjadi
anak yang lalai kepada keseronokan dunia. Selain itu sebagai seorang suami pula
perlu menjaga isteri-isterinya agar tidak lupa untuk menjaga maruah diri dan
keluarga.
Dengan
bapa jangan durhaka,
supaya
Allah tidak murka.
Dengan
ibu hendaklah hormat,
supaya
badan dapat selamat.
Dengan
anak janganlah lalai,
supaya
boleh naik ke tengah balai.
Dengan
isteri dan gundik janganlah alpa,
supaya
kemaluan jangan menerpa. (Fasal 10)
Falsafah yang terakhir ialah
falsafah politik iaitu aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan sesebuah negara
terlaksana. Falsafah politik ini dapat dilihat dalam Fasal 11 yang menasihati
para pemimpin agar menghindari tindakan yang buruk, berusaha untuk melaksanakan
amanat dalam tugasnya serta tidak melakukan perbuatan khianat. Nasihat dan
pengajaran ini diberikan kepada setiap anggota masyarakat untuk berjasa kepada
bangsa masing-masing. Selain itu menjadi seorang pemimpin perlu membuang segala
keburukan yang terdapat dalam organisasi agar tidak berlaku riba, sogokkan dan
lain-lain lagi.
Seterusnya kepada pemikiran dalam
Gurindam Dua Belas. Penulis telah memasukkan pelbagai idea utama atau isi dan
mesej yang terdapat dalam setiap fasal. Gurindam ini lengkap dengan nasihat dan
pengajaran kepada pembaca agar sentiasa memikirkan dan melakukan perkara yang
tidak terkeluar dari landasan yang baik dan betul. Antara isi dan mesej yang
terdapat dalam gurindam ini ialah berkaitan dengan keagamaan. Dalam Fasal 1 dan
Fasal 2 menceritakan mengenai aspek keagamaan di mana menceritakan kepentingan
mengenali agama, tuhan, diri, dunia dan akhirat. Apabila semua masyarakat
mengetahui dan mendalami semua aspek tersebut nescaya tidak berlaku masalah
salah laku seperti pembuangna bayi, kadar penceraian meningkat, masalah mental
dan banyak lagi. Nilai keagamaan ini juga boleh dilihat pada Fasal 2 yang
menerangkan mengenai rukun Islam yang wajib dilakukan oleh masyarakat yang beragama
Islam yang telah baligh.
Selain itu pemikiran yang
seterusnya ialah kepentingan akhlak yang baik. berdasarkan Gurindam Dua Belas
ini banyak memberikan nasihat dan pengajaran kepada pembaca untuk menjaga dan
menunjukkan akhlak yang baik kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Menjaga akhlak diri sendiri dengan menjaga anggota badan daripada mendapat dosa
seperti menjaga mata, telingan dan lidah untuk melihat, mendengar dan menyebut
perkara yang memburukkan orang lain, dan menjaga tangan dan kaki dengan
melakukan perkara-perkara baik yang memberi kebaikan kepada diri sendiri.
Menunjukkan akhlak yang baik kepada keluarga dan masyarakat ialah dengan
menjaga adap antara ibu bapa dan keluarga seperti dalam Fasal 10. Sentiasa
menghormati dan menyayangi ibu bapa agar mendapat pahala dan kehidupan diredhai
oleh Allah S.W.T.
Pemikiran yang seterusnya ialah cara
mengenali atau mempelajari budi dan bahasa seseorang itu maka ketahuilah kita
akan bangsanya. Dalam Fasal 7 menceritakan mengenai budi dan sistem budaya
serta adat sesebuah bangsa. Cara menggunakan bahasa akan mempamerkan kelakuan
budaya dan taraf sosial seseorang dalam sesebuah masyarakat. Sebagai contoh
pergaulan antara orang beragama dengan orang yang tidak mempunyai agama berbeza
dan mempunyai isi yang tersendiri dan dari bangsa seseorang akan dikenali
bahasanya dan dari bahasanya barulah dikenali budayanya. Selain itu terdapat
juga cara untuk mengenali orang yang berilmu atau tidak. Orang yang berilmu
tidak akan pernah jemu untuk mencari ilmu kerana sikap ingin tahu yang tinggi
walaupun sejauh manapun ilmu dicari.
Raja Ali Haji juga menyentuh
tentang pendidikan anak-anak. Ianya merupakan nasihat kepada ibu bapa agar
tidak mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak dari kecil supaya tidak
meletihkan atau menyusahkan kedua ibu bapanya ketika dewasa kelak. Memang
seharusnya, anak-anak dari kecillah yang perlu diasuh, dididik dan diberi
teguran akan tingkah lakunya agar
sentiasa berkelakuan baik dan berbudi bahasa. Jika tidak dilentur buluh dari
rebungnya, atau dari kecil lagi, maka ketika dewasa, segala tingkah laku dan
peribadi seseorang itu sukar diubah dan diperbaiki.
3.0
KEPENGARANGAN DAN ESTETIKA
Menurut Mohd. Rashid Md Idrid et.al (2014:96), kepengarangan dan estetika adalah dua aspek yang penting
dan mempengaruhi kedudukan sebuah teks dan seseorang sasterawan. Kepengarangan
merujuk kepada keterampilan, kecerdikan, dan kearifan seseorang pengarang dalam
berkarya. Kepengarangan ini dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan atau
kelemahan seseorang pengarang. Estetika pula bermaksud hubung kait antara
persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera yang membincangkan unsur
keindahan, bahasa dan pengalaman keseronokan membaca sesebuah karya.
Berdasarkan Gurindam Dua Belas
karya Raja Ali Haji ini menunjukkan nilai estetika dan kepengarangan yang
berbeza. Berdasarkan nilai estetika, Gurindam Dua Belas ini memaparkan
keindahan yang merujuk kepada prasaan, pemikiran, dan pengalaman. Keindahan ini
terpancar daripada penggunaan bahasa pengarang. Gurindam ini mampu membawa
pembaca untuk merasai sendiri pengalaman sebagai seorang manusia yang beragama
Islam. Sebagai orang Islam pasti mengetahui rukun Islam yang terdapat dalam
Gurindan Dua Belas ini. Rukun Islam dimasukkan untuk menyedarkan pembaca betapa
pentingnya rukun Islam kepada diri kerana tanpa melakukannya kehidupan di dunia
hanyalah sia-sia.
Keindahan pengalaman juga dapat
dirasai apabila penulis menerangkan untuk menjaga segala anggota badan dari
melakukan perkara yang mungkar. Hal ini kerana menjaga mata, telinga, dan lidah
mampu mengurangkan dosa yang dilakukan tanpa sedar atau dalam sedar. Zaman
kini, dengan kemudahan internet yang mudah mampu melahirkan berbagai-bagai
gosip-gosip yang berkaitan dengan artis mahupun rakan-rakan alam maya yang
menjadikan diri pembaca itu sendiri mendapat dosa apabila membaca berkara
berkaitan rumah tangga orang lain dan masalah keluarga dan sebagainya. Oleh
itu, gurindam ini memberi pengalaman kepada pembaca untuk melihat kembali diri
sama ada masih menjaga atau tidak anggota badan kerana dosa dan pahala sentiasa
ditulis oleh malaikat kiri dan kanan tanpa henti.
Kesimpulannya membaca adalah proses
penambahan pengalaman. Pengalaman indah ialah apabila merasai kesan yang
menarik, mengagumkan, menyedihkan, atau yang memeranjatkan. Sebuah karya yang
baik ialah elok ciptaannya, tinggi seninya dan halus adunannya.
Selain itu, keindahan juga dapat
dilihat dalam perasaan ketika membaca gurindam ini. Karya ini mampu melahirkan
perasaan gembira, terharu, bersyukur, keinsafan, menghormati dan banyak lagi.
Karya yang indah ini mampu membawa perasaan pembaca untuk merasai sendiri
perasaan yang terdapat di dalam setiap gurindam. Fasal 1 dan Fasal 2 memberikan
keinsafan dan kesyukuran kepada pembaca kerana dilahirkan sebagai orang Islam
dan mampu mengenali mengenai Islam sejak dari kecil lagi. Keinsafan juga dapat
dirasai apabila rukun Islam ditulis dalam Fasal 2 agar semua masyarakat Islam
tidak melupakannya dan menjadi peringatan kepada mereka agar setiasa
menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim. Selain itu juga, pembaca akan
lebih tertarik sekiranya mampu mengenali dengan lebih lanjut mengenai diri,
dunia dan akhirat kerana orang yang mengenali dunia akan sentiasa mengingati
bahawa dunia tidak akan kekal dan akhirat akan menjadi tempat terakhir semua
manusia.
Perasaan bertanggungjawab juga
perlu dirasai oleh semua ibu bapa yang membesarkan anak-anak agar membesarkan
anak-anak dengan baik berlandaskan agama agar mereka mampu menjadi seorang yang
berguna kepada mereka dan negara. Perkara ini dapat dilihat dalam Fasal 7.
Serta sebagai seorang anak pula perlu menjaga dan menghormati ibu bapa agar
tidak menjadi anak derhaka dan menjadi anak yang peka kepada sekeliling dan
menjauhi perkara buruk. Sebagai seorang suami juga perlu menjaga maruah
keluarga agar tidak dipijak oleh sikap isteri dan anak-anak yang buruk. Seorang
suami perlu menjaga rumahtangga agar kukuh dan aman sentiasa.
Seterusnya estetika dapat dilihat
dalam keindahan bahasa dalam Gurindam Dua Belas. Penulis menggunakan bahasa
yang indah dan menarik minat pembaca untuk membaca kesemua gurindam. Hal ini
kerana gurindam ini bertemakan budi perkerti, nasihat-menasihati dan pengajaran
hidup yang penting dan berkait rapat dengan isu semasa masyarakat dahulu mahupun
sekarang. Gurindam ini ibarat nasihat yang diberikan oleh generasi dahulu
kepada generasi kini agar sentiasa mengingati agama dan menjaga adap serta
sentiasa berakhlak mulia tidak kira di mana berada. Setiap isu yang terdapat di
dalam gurindam sentiasa ada dalam kehidupan sekarang dan gurindam ini masih
relevan walaupun sudah lama dihasilkan.
Kepengarangan dalam Gurindam Dua
Belas ini pula menerangkan mengenai kekuatan karya ini. Kekuatan karya ini
ialah sebuah karya yang tidak pernah luput dan sentiasa menjadi panduan kepada
masyarakat untuk mencari karya yang menarik dan mempunyai pengajaran serta
nasihat yang berguna. Raja Ali Haji berpendidikan agama yang kuat kerana telah
menuntut ilmu dengan beberapa orang Syeikh di Mekah. Beliau telah merantau ke Mekah
agak lama sebelum kembali ke Riau. Beliau merupakan orang yang penting dalam
perkembangan agama di Riau kerana hasil karyanya yang banyak berkaitan dengan
agama Islam. Walaupun beliau bergiat aktif di dalam penulisan karya sastera,
beliau tetap mengunakan agama sebagai teras dalam setiap hasil karyanya agar
pembaca mampu menghayati dan berasa dekat dengan karya-karya yang berunsurkan
Islam.
Unsur kepengarangan yang terdapat
di dalam Gurindam Dua Belas ialah penggunaan bahasa agama. Bahasa-bahasa agama
ini terhasil daripada perkara yang berkaitan dengan agama Islam seperti
perkataan agama, bahri, ma’rifat,
akhirat, puasa, zakat, haji, tuhan dan sebagainya. Perkataan ini banyak
digunakan dalam Fasal 1 dan Fasal 2 kerana berkaitan dengan ilmu agama. Selain itu
anggota badan juga ada dimasukkan dalam gurindam ini seperti mata, kuping, lidah, tangan, perut dan kaki. Perkataan ini digunakan dalam
Fasal 3 yang menerangkan adab menjaga anggota badan.
Seterusnya ialah penggunaan Bahasa
Melayu Klasik merupakan bahasa yang digunakan oleh zaman dahulu dan abadi nilainya,
tertinggi mutunya dan menjadi standard kepada yang lain. Bahasa Melayu Klasik
ini semakin ditambah nilai atau diubah ejaannya untk memudahkan peulisan pada
masa kini. Dalam gurindam ini menggunakan bahasa Melayu Klasik seperti niscaya, kuping, pikir, pekong, ketur,
berperi, cahari, obat, penggawa, gundik, kafill, inayat, kasa, dan cindai. Bahasa-bahasa yang digunakan
ada yang telah diubah ejaannya dan ada juga yang jarang digunakan oleh
masyarakat seharian. Hal ini kerana penggunaan bahasa yang mudah dan senang
difahami lebih banyak digunakan dan sesuai untuk semua peringkat umur.
Selain itu, Gurindam Dua Belas ini
mempunyai bentuk yang tersendiri. Gurindam ini mempunyai 12 fasal yang yang
berbeza-beza maknanya. Setiap gurindam mempunyai lima hingga sebelas rangkap
dan setiap rangkap mempunyai dua baris ayat. Fasal 2 menunjukkan rangkap paling
sedikit iaitu lima rangkap dan Fasal 7 menunjukkan rangkap terbanyak iaitu
sebelas rangkap. Baris pertama ialah pembayang dan baris kedua pula ialah
maksud. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara empat hingga tujuh
perkataan. Selain itu, setiap baris mempunyai sembilan sehingga empat belas
suku kata. Seterusnya, setiap rima akhir semua gurindam adalah a,a.
Secara keseluruhannya, Gurindam Dua
Belas ini menunjukkan nilai estetika yang yang indah sehingga para pembaca
merasai dan mengalami sendiri setiap perkara yang ditulis di dalam gurindam
ini. Selain itu, pembaca juga dapat melihat dan mengambil pengajaran setiap
nasihat yang diberikat di dalam setiap fasal dalam gurindam ini sebagai panduan
hidup dan menjagi masyarakat yang lebih baik dan prihatin. Kepengarangan Raja
Ali Haji tidak dapat disangkal lagi kerana setiap perkataan yang digunakan
menunjukkan penulis tersebut telah mengharungi pelbagai peristiwa dan situasi
dan diolah menjadi sebuah gurindam yang sangat sempurna dan sesuai kepada
pembaca tidak mengira usia.
4.0 PENUTUP
Kesimpulannya, Gurindam Dua Belas mempunyai mempunyai
kedudukannya yang tersendiri meskipun dalam bentuknya yang ringkas, kelebihan
Gurindam Dua Belas adalah terletak kepada daya pemikiran dan falsafahnya yang
tinggi. Gurinadam Dua Belas mempunyai ungkapan yang padat, Raja Ali Haji masih
mampu menggabungjalinkan unsur estetika luaran dan keindahan dalaman. Gurindam
Dua Belas karya Raja Ali Haji ini memberikan makna yang tersendiri kepada
setiap pembaca. Hal ini kerana karya beliau ini menunjukkan segala perkara yang
berkaitan berkait rapat dengan kehidupan seharian masyarakat. Gurindam ini
masih releven walaupun sudah lama dihasilkan dan menjadi panduan dan teladan
kepada semua generasi agar sentiasa mentaati perintah agama dan sentiasa
berakhlak baik tidak kira dimana dan bertanggungjawab menjaga anak dan ibu bapa
dengan baik.
Setiap fasal dilihat berupaya menyentuh jiwa
kesedaran masyarakat, sekaligus memainkan peranan penting bagi membentuk nilai
keperibadian insan berlandaskan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun
dan digarap dalam Gurindam Dua Belas, secara tidak langsung mencerminkan contoh
insan yang memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan sempurna. Raja Ali
Haji telah berdakwah menggunakan pelbagai cara dan salah satu caranya ialah
dengan memasukkan ilmu-ilmu agama di dalam karya sasteranya. Hal ini kerana
karya-karya sastera ini sering dimainkan dan dilagukan dalam kalangan
masyarakat. Oleh itu, karya-karya seperti ini menjadi landasan kepada
penyebaran agama yang lebih baik dan lebih dekat kepada jiwa rakyat.
Gurindam Dua Belas ini mampu dijadikan teladan
kepada semua masyarakat kini agar lebih mempunyai nilai-nilai berlandaskan
agama. Gurindam ini perlu diberikan kepada para remaja kini untuk dijadikan
panduan dan memahami setiap makna yang terdapat di dalam setiap fasal agar
mereka menyedari bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara dan perlu
sentiasa mengingati bahawa setiap benda yang terdapat di muka bumi ini hanyalah
pinjaman oleh Allah S.W.T. Oleh itu remaja perlu belajar menjadi insan yang
berguna agar di akhirat kelak mampu merasai nikmatnya syurga yang indah.