Wednesday, 13 May 2015

Analisis Gurindam 12 oleh: Cikgu Amieliana

1.0              Pengenalan

Gurindam adalah satu bentuk puisi Melayu lama yang terdiri daripada dua baris serangkap.  Perkataan ‘Gurindam’ berasal daripada Bahasa Sanskrit menerusi Bahasa Tamil (India), iaitu ‘Kirindam’ yang membawa maksud perumpamaan. Gurindam adalah kata-kata mutiara yang berbentuk puisi yang umumnya berupa nasihat. Peranan atau fungsi gurindam dalam masyarakat Melayu, iaitu sebagai tujuan didikan, hiburan, gambaran masyarakat Melayu lama dan digunakan dalam majlis formal.
Antara gurindam yang terkenal pada zaman dahulu ialah Gurindam 12. Gurindam 12 merupakan sekumpulan syair yang diciptakan oleh Raja Ali Haji yang merupakan Sasterawan Melayu pada awal abad ke-19. Raja Ali Haji merupakan seorang ulama, ahli sejarah serta tokoh yang terkenal dalam arena bahasa.  Nama sebenar beliau ialah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad dan beliau dilahirkan pada tahun 1808 Masihi di Pusat Kesultanan Riau-Lingga, Pulau Penyengat yang merupakan kawasan  pentadbiran keluarga beliau sendiri. Selain daripada Gurindam 12, terdapat puisi-puisi lain yang dihasilkan oleh beliau, iaitu Inilah Ikat-ikatan Dua Belas Puji, Syair Hukum Faraid, Syair Suluh Pegawai, Syair Gemala Mastika Alam, Syair Nasihat (Thamarat al-Muhimmah), Syair Siti Sianah, Syair Gemala Mestika Alam dan Syair Sultan Abdul Muluk.  
 Tujuan Raja Ali Haji mencipta gurindam ini sebagai mas kahwin untuk diberikan kepada Engku Puteri Hamidah yang tinggal di Pulau Penyengat. Mas kahwin ini dipahatkan di batu marmar sebagai bukti rasa cintanya. Karya ini dikenali sebagai Gurindam 12 kerana mengandungi 12 fasal. Gurindam ini dikategorikan sebagai puisi didaktik kerana mempunyai nasihat dan petunjuk menuju hidup yang diredhai Allah.

2.0              Falsafah dan Pemikiran
Falsafah dalam Mohd Rashid Md Idris (2014) bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi  dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Terdapat bidang falsafah yang diberi penekanan ialah etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan logik. Pemikiran pula bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan.

2.1              Falsafah
        2.1.1        Falsafah Etika

Gurindam 12 fasal pertama ini mengandungi unsur falsafah etika yang pemikirannya tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Hal ini demikian kerana, gurindam ini menerangkan nasihat tentang keagamaan yang menyatakan bahawa setiap manusia harus memiliki agama kerana agama sangat penting dalam kehidupan manusia manakala orang yang tidak memiliki agama maka ia tiada pegangan hidup. Hal ini diibaratkan seperti rumah tidak bertiang, maka robohlah.

   Orang yang mengenal Allah S.W.T perlu melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebagai pengajarannya, kita hidup di dunia hanyalah sementara dan segala amalan manusia dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Petikan di bawah ini merupakan gurindam fasal pertama:
            Satu
Barang siapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang yang ma’rifat
Barang siapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
Barang siapa mengenal akhirat,
Tahulah ia dunia mudarat.

2.1.2   Falsafah Sosial
Fasal ketiga dan keempat Gurindam 12 mengandungi makna tentang budi pekerti dan tabiat yang mulia, sememangnya berkaitan dengan falsafah sosial yang memberikan gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual.
Pengarang menyatakan sebagai orang Islam, kita perlu menggunakan mata dengan sebaik-baiknya dan tidak melihat apa-apa yang dilarang oleh Allah S.W.T, telinga pula dijauhkan daripada mendengar segala hasutan, jangan mengambil barang yang bukan hak kita serta menjaga kelakuan dan kata-kata dengan sebaik-baiknya. Masyarakat Islam perlu mengamalkan cara hidup yang bercorak keislaman dengan mengamalkan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala Larangan-Nya. Berikut merupakan fasal ketiga dan keempat yang dipetik daripada Gurindam 12:

Tiga
Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
Niscaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fi’il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.

Empat
Hati itu kerajaan di dalam tubuh,
Jikalau zalim segala anggota tubuh pun rubuh.
Apabila dengki sudah bertanah,
Datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
Di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
Nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikit pun berbuat bohong,
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung.
Tanda orang yang amat celaka,
Aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,
Itulah perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,
Janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,
Mulutnya itu umpama ketor.
Di mana tahu salah diri,
Jika tidak orang lain yang berperi.

2.1.3    Falsafah Politik
Gurindam 12 ini juga mengandungi falsafah politik yang menyentuh hal yang berkaitan dengan sikap pemerintah khususnya ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seorang raja. Gurindam ini mempunyai nasihat kepada para pemimpin agar menghindari tindakan yang tercela, berusaha dalam melakukan tugas serta tidak khianat. Struktur falsafah politik dalam Gurindam 12, iaitu raja tidak memerintah secara mutlak tetapi raja mendapatkan nasihat daripada menteri demi kepentingan rakyat. Oleh itu, raja dan menteri perlu menjaga hubungan mereka dengan baik dan harus bekerjasama untuk memerintah negara.
Seterusnya, raja yang baik atau raja yang mendapat petunjuk dari Allah merupakan raja yang adil terhadap rakyatnya. Oleh itu, raja perlulah bersikap adil kepada rakyat terutama dalam melaksanakan sesuatu hukum mestilah mengikut hak asasi manusia. Antara beberapa fasal yang mengandungi falsafah politik:
Sebelas
Hendaklah berjasa,
Kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
Buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
Buanglah khianat.
Hendak marah,
Dahulukan hujjah.
Hendak dimalui,
Jangan memalui.
Hendak ramai,
Murahkan perangai.

Dua belas
Raja mufakat dengan menteri,
Seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.
Hukum ‘adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh ‘inayat.
Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,
Tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,
Itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
Kepada hati yang tidak buta.


2.2       Pemikiran dalam Gurindam 12

Pengarang mencipta Gurindam 12 ini pada hakikatnya merupakan cerminan, perasaan, pengalaman, dan pemikiran yang berkaitan dengan hubungannya dengan hidup dan kehidupan manusia di dunia ini.
Dalam gurindam ini juga pengarang mengungkapkan pemikiran dan cita-cita keagamaannya yang pada dasarnya mempunyai perkaitan dengan sumber gurindam sebagai karya sastera, iaitu bidang agama. Hal ini boleh dikatakan agama Islam dijadikan sebagai sumber ilham untuk mencipta gurindam tersebut kerana agama Islam mengandungi nilai-nilai Islam yang menjadi petunjuk jalan bagi umat Islam.
            Pengarang juga mementingkan agama untuk dipegang oleh seseorang. Hal ini demikian kerana, hanya orang-orang beragama sahaja namanya wajar disebut-sebut oleh orang lain. Tujuan gurindam ini dicipta untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat yang beragama Islam tentang betapa pentingnya agama dalam kehidupan untuk mendapatkan keredhaan Allah.

3.0              Kepengarangan dan Estetika
Kepengarangan dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang. Keperibadian dalam Mohd Rashid Md Idris  (2014) merupakan kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seseorang pengarang, ia harus berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing. Estetik pula rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran.

3.1              Kepengarangan

3.1.1        Kepengarangan Raja Ali Haji

Raja Ali Haji terkenal sebagai seorang sasterawan di Kepulauan Riau dan pada masa yang sama diakui sebagai salah seorang Pahlawan Nasional. Gurindam 12 ini bertemakan nasihat supaya memelihara anggota diri dan berbudi pekerti yang meletakkan Raja Ali Haji sebagai penulis yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Hal ini demikian kerana, beliau menerapkan nasihat yang bercorak keislaman dalam Gurindam 12. Gurindam 12 ini juga membahaskan tentang persoalan akidah dan tasawuf, syariat Islam, rukun Islam, budi pekerti atau akhlak serta konsep pemerintahan.
Beliau juga banyak menggunakan bahasa Arab seperti perkataan ‘makrifat’. Raja Ali Haji menulis gurindam ini seolah-olah pembaca memahami perkara yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, beliau menulis dalam fasal 1 yang dipetik daripada Gurindam 12 “Barang siapa mengenal yang empat” tetapi beliau tidak memberikan penerangan berkenaan empat perkara yang hendak disebutkan itu.
            3.2       Estetika
3.2.1    Penstrukturan Gurindam 12
Gurindam 12 merupakan sekumpulan syair yang diciptakan oleh Raja Ali Haji. Beliau memilih tema dan persoalan gurindam berdasarkan unsur keagamaan. Rangkap dalam setiap fasal gurindam mempunyai dua baris atau beberapa baris dalam serangkap. Setiap baris ke baris membawa makna yang lengkap dan saling berkaitan antara baris pertama dengan baris yang berikutnya. Baris pertama dikenali sebagai soalan dan baris kedua pula sebagai jawapan.
Kata-kata yang terdapat dalam gurindam tersebut sememangnya berupa nasihat yang sangat berguna dan bersifat universal bagi masyarakat, khususnya masyarakat di tempat kediaman Raja Ali Haji, iaitu masyarakat Melayu. Hal  ini berkemungkinan pada masa itu ajaran Islam mendominasi dalam kehidupan bermasyarakat di kebudayaan Melayu serta melancarkan proses pengislaman di wilayah tersebut terutamanya Kepulauan Riau.
Gurindam 12 ini juga terdiri daripada rima akhir aa dan setiap rangkap hanya terdiri daripada dua baris sahaja.  Daripada aspek bilangan perkataan pula, setiap baris dalam gurindam ini hanya terdiri daripada dua hingga enam perkataan.

4.0       Kesimpulan
Kesimpulannya, Gurindam 12 mempunyai kekuatan yang tersendiri melalui aspek falsafah, pemikiran, estetika dan kepengarangan. Gurindam ini sangat terkenal dan dijadikan salah satu  puisi dalam Antologi Puisi Tingkatan 4. Hal ini demikian kerana, gurindam tersebut sesuai dijadikan bahan bacaan untuk pelajar kerana mengandungi unsur-unsur nasihat yang berguna kepada masyarakat terutamanya pelajar.
 Raja Ali Haji juga salah seorang tokoh karya agung unggul kerana telah banyak menyumbang dalam dunia penulisan. Karyanya merangkumi pelbagai bidang, iaitu keagamaan, kesusasteraan, bahasa dan sebagainya. Beliau menghasilkan karya melalui pemerhatian terhadap alam sekeliling supaya masyarakat mengambil pengajaran daripada hasil karya yang dihasilkan olehnya.

Analisis Gurindam 12 oleh: Cikgu Aina

1.0              Pengenalan

Perkataan gurindam berasal daripada bahasa Tamil kirindam yang membawa maksud umpama. Asal usul kewujudan gurindam di tanah Melayu adalah disebabkan oleh proses perdagangan orang tamil yang datang berdagang ke Indonesia suatu ketika dahulu. Ekoran daripada itu, gurindam dikategorikan sebagai puisi lama Indonesia yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu. Kini, gurindam dikenali sebagai satu bentuk puisi Melayu tradisional yang terdiri daripada dua baris kalimat dengan irama akhir yang sama serta mempunyai kesatuan yang utuh.

            Raja Ali Haji et.al (2007: 7) menyatakan bahawa gurindam adalah perkataan yang berima pada akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataannya dengan satu pasangannya. Rima pertama dalam gurindam akan dianggap sebagai syarat, manakala rima yang kedua pula dianggap sebagai jawapan bagi memenuhi syarat tersebut. Kebiasaannya, jumlah suku kata bagi tiap-tiap baris serta iramanya tidak ditentukan. Tujuan utama gurindam adalah untuk menyampaikan nasihat atau kebenaran dengan cara ringkas, mudah dan padat. Irama bagi gurindam adalah sama dengan irama pantun dan juga syair.  Gurindam merupakan puisi yang dibaca untuk direnungkan dan diresapi makna yang terkandung di dalamnya oleh pembaca.

Antara gurindam yang terkenal ialah Gurindam 12 yang dikarang oleh Raja Ali Haji pada tahun 1809 hingga tahun 1872 di Pulau Penyengat. Raja Ali Haji menulis gurindam ini berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang dimilikinya sendiri. Gurindam ini dinamakan sebagai Gurindam 12 kerana terdiri daripada 12 fasal. Antara perkara yang diperkatakan dalam kesemua fasal tersebut adalah tentang tentang ibadah, kewajipan raja, kewajipan anak, kewajipan orang tua, budi pekerti, hidup bermasyarakat dan beberapa perkara lain lagi. Jika diteliti secara lebih mendalam, gurindam hasil ciptaan Raja Ali Haji ini mempunyai kekuatan dari segi falsafah dan pemikiran serta kepengarangan dan estetikanya yang tersendiri.


2.0              Falsafah dan Pemikiran

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:406)  falsafah ditakrifkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Mohd. Rashid Md Idris et. al (2014:16) pula mendefinisikan falsafah sebagai cinta kepada ilmu kebenaran. Dalam erti kata lain, falsafah adalah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran tentang sesuatu masalah dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Oleh itu, secara umumnya konsep falsafah boleh dianggap sebagai kesenian berfikir secara mendalam yang dianggap bernas dan waras tentang sesuatu subjek. Dalam konteks karya agung Melayu, falsafah dapat dibahagikan kepada 8 bidang yang utama iaitu bidang etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik, dan bidang logik.

            Dalam Gurindam 12, falsafah utama yang menjadi pegangan pengkarya dalam penghasilannya adalah tentang keislaman atau keagamaan. Falsafah keagamaan sangat ditekankan oleh beliau dalam dirinya sendiri serta rakyatnya. Baginya, agama merupakan pegangan yang sangat penting bagi seseorang individu. Sekiranya individu tersebut tidak mempunyai agama, pasti kehidupannya akan menjadi tidak sempurna tanpa hala tuju yang tepat. Falsafah utama dalam gurindam ini dapat dibuktikan melalui baris pertama dan kedua dalam fasal pertama iaitu :

… Barangsiapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama. …

Berdasarkan contoh di atas, pengarang jelas berpegang kepada falsafah keislaman atau keagamaan kerana baginya setiap manusia perlu memiliki agama masing-masing. Hal ini demikian kerana agama adalah pegangan penting yang menjadi panduan dalam menjalani kehidupan. Dengan adanya agama, kehidupan manusia akan lebih terarah dan begitu juga jika sebaliknya.
Seterusnya, falsafah kedua yang terkandung dalam Gurindam 12 ini ialah dari segi etika. Umumnya, etika sering dikaitkan dengan pemikiran tentang moral, pendidikan, pengajaran dan juga tingkah laku. Menurut K. Bertens dalam Antonius Atosokhi Gea (2005), etika ditakrifkan sebagai nilai-nilai atau norma-norma moral yang menjadi pegangan bagi seseorang individu atau suatu kelompok masyarakat ketika bertingkah laku. Melalui penelitian terhadap gurindam ini, falsafah etika dapat dilihat melalui contoh di bawah ini :
… Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
Itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
Sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
Menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
Membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
Lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
Lekaslah orang sekalian gusar. …

Secara keseluruhannya, contoh di atas membawa mesej kepada golongan ibu bapa yang diingatkan agar mendidik anak-anak dengan etika yang baik. Bukan itu sahaja, malahan ibu bapa juga diingatkan agar menerapkan budi pekerti yang mulia dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bagi mengelakkan anak-anak daripada bersikap negatif. Ibu bapa perlu menerapkan etika yang baik misalnya seperti tidak menghina individu lain, manfaatkan masa dengan sebaik mungkin, menjaga tutur kata dengan menggunakan bahasa-bahasa yang sopan ketika bertutur dan lain-lain lagi. Oleh itu, fasal ketujuh dalam gurindam ini jelas menunjukkan falsafah yang berkaitan dengan etika yang dijadikan sebagai peringatan kepada golongan ibu bapa dalam mendidik anak-anak.
            Di samping itu, bidang sosial juga merupakan salah satu falsafah yang terkandung dalam karya Raja Ali Haji ini. Melalui bidang ini, pengarang telah mengetengahkan gambaran realiti kehidupan manusia berdasarkan konteks tertentu sebagai falsafahnya. Sebagai contoh, pengarang lebih menekankan hubungan antara individu dalam pergaulan sosial. Contohnya adalah seperti di bawah ini :
Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh dimenyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan ‘abdi,
Yang ada baik sedikit budi,
            Contoh di atas merupakan petikan yang diambil daripada fasal keenam dalam Gurindam 12 karya Raja Ali Haji. Fasal keenam ini berpegang kuat pada falsafah dalam pergaulan sosial. Dalam hubungan persahabatan, manusia diingatkan agar mencari rakan yang boleh mendorong kepada kebaikan serta rakan yang mempunyai semangat setiakawan. Hal ini kerana semangat setiakawan akan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan agar sentiasa ada bersama ketika susah ataupun senang. Situasi ini bukan sahaja ditekankan dalam hubungan sosial antara rakan-rakan sahaja, malah hubungan dengan guru juga turut ditekankan oleh pengarang. Dalam usaha menuntut ilmu, seseorang individu itu digalakkan untuk menuntut ilmu dengan guru yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi.
            Seterusnya, dalam Gurindam 12 ini juga mempunyai kekuatan dari segi pemikirannya yang tersendiri. Mohd. Rashid Md Idris et. al (2014:69) menyatakan bahawa pemikiran kebiasaannya akan bermula dengan idea, kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek dan akhirnya menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Secara umumnya pula, pemikiran ditakrifkan sebagai subjek yang dibawa oleh pengarang dalam proses penghasilan sesebuah karya. Kebiasaannya, pengarang akan menyampaikan pemikirannya melalui idea dan pengalaman yang dimantapkan melalui melalui imaginasi dan kreativitinya. Bukan itu sahaja, bahkan sesetengah individu menganggap pemikiran adalah mesej atau tujuan serta idealisma yang dibawa oleh pengarang. Ekoran daripada itu, dalam gurindam ini kekuatan pengarang terletak pada pemikiran yang dibawanya iaitu nasihat-nasihat tentang kehidupan yang perlu dilalui oleh seseorang individu. Antara nasihat tentang kehidupan yang terdapat dalam gurindam ini adalah seperti berikut :
Dengan bapa jangan durhaka,
Supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,
Supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai,
Supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan kawan hendaklah adil,
Supaya tangannya jadi kapil.

Contoh di atas menjelaskan tentang pemikiran pengarang yang menasihati masyarakat dengan menyatakan bahawa setiap individu perlu menunaikan tanggungjawab sesama insan. Tanggungjawab yang dimaksudkan di sini ialah tanggungjawab terhadap ibu bapa, isteri atau suami, anak-anak serta masyarakat. Melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa merupakan salah satu platform untuk mendapat keberkatan hidup di dunia dan juga di  akhirat. Dalam konteks Islam, ibu bapa mendapat kedudukan yang paling tinggi serta mulia di sisi Allah S.W.T. Tanpa ibu bapa, seseorang individu itu tidak akan wujud di dunia ini.
           
Selain itu, pemikiran yang terkandung dalam Gurindam 12 ini juga turut memberi nasihat sebagai panduan dalam menjalani kehidupan iaitu menjaga pancaindera yang dianugerahkan oleh Allah sebaik mungkin. Menjaga pancaindera yang dianugerahkan daripada perkara-pekara negatif merupakan satu kewajipan yang dipertanggungjawabkan terhadap manusia kerana pancaindera merupakan amanah yang tidak ternilai kepada setiap individu. Menjaga pancaindera daripada perkara mungkar atau negatif seperti berzina, mengumpat atau menabur fitnah akan membuktikan tahap keimanan dan ketakwaan seseorang individu itu kepada pencipta. Penggunaan pancaindera pada landasan yang betul akan memberi pulangan kebaikan kepada individu itu misalnya seperti memperoleh keberkatan, dipandang mulia oleh masyarakat serta terhindar daripada dosa-dosa kecil atau besar. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui contoh di bawah ini :

Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadaiah damping.
Apabila terpelihara lidah,
Niscaya dapat daripadanya paedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fi’il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjaian yang membawa rugi.

            Contoh rangkap gurindam di atas membuktikan nasihat kepada setiap individu supaya bertanggungjawab terhadap pancaindera yang dianugerahkan serta mengetahui dengan lebih jelas tingkah laku yang dilakukan sama ada memberi kebaikan atau keburukan terhadap diri sendiri ataupun masyarakat sekeliling.


3.0              Kepengarangan dan Estetika

Selain daripada mempunyai kekuatan dari segi falsafah dan pemikiran, sesebuah karya sastera itu juga haruslah mempunyai kekuatan dari segi kepengarangan dan estetikanya yang tersendiri. Kebiasaannya, kekuatan dari segi kepengarangan dan estetika terdiri daripada dua tahap iaitu tahap rendah mahupun tahap tinggi. Merujuk kepada kekuatan kepengarangan dalam sesebuah karya, umumnya kepengarangan dianalisis daripada aspek keperibadian yang dipamerkan pengarang. Dalam konteks ini, keperibadian dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi seseorang pengarang. Dalam erti kata yang lain, prinsip keperibadian dianggap sebagai klimaks dalam perjuangan seseorang pengarang dalam menghasilkan karya. Pengarang akan berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadiannya yang tersendiri.

            Seperti karya-karya sastera yang lain, Gurindam 12 yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji ini juga mempunyai kekuatan dari aspek kepengarangannya yang tersendiri. Raja Ali Haji merupakan seorang tokoh karya agung yang telah banyak menerbitkan karya berbentuk buku tatabahasa, kamus, syair serta gurindam.  Beliau dianggap sebagai seorang pujangga Melayu yang sangat terkemuka dalam sejarah kesusasteraan Melayu tanah air. Setelah dinobatkan sebagai pujangga yang terkenal dalam dunia kesusasteraan Melayu, beliau memiliki impian untuk memperbaiki bangsa dan berharap agar bangsa Melayu maju di dunia dan akhirat, hidup dalam kemuafakatan serta berlandaskan hukum syariat. Impian beliau ini banyak diluahkan melalui karyanya yang mana dapat dilihat bahawa kebanyakan karya beliau adalah berkisarkan tentang keagamaan. Unsur keagamaan ini jelas dapat dilihat melalui karya-karya beliau dan salah atu daripadanya ialah Gurindam 12.

            Seperti yang diterangkan pada bahagian sebelum ini, pemikiran utama yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui Gurindam 12 ini adalah berkisarkan tentang nasihat. Walaupun nasihat menjadi perkara utama, tetapi pengarang masih menjadikan unsur keagamaan sebagai asas dalam nasihat tersebut. Hal ini bermakna nasihat-nasihat yang disampaikan melalui gurindam tersebut adalah nasihat-nasihat yang berlandaskan keagamaan. Misalnya, keseluruhan fasal yang terkandung dalam gurindam ini menasihati masyarakat agar taat dengan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Perkara ini dapat dibuktikan melalui contoh di bawah ini :

Barang siapa tiada memegang agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
Maka ia itulah orang yang ma’rifat
Barang siapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
Tahulah ia barang yang teperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
Tahulah ia dunia mudarat.
Petikan di atas merupakan petikan daripada fasal pertama yang terdapat dalam Gurindam 12. Dalam fasal ini, Raja Ali Haji menerangkan bahawa individu yang sangat taat dan patuh kepada agama dianggap berjaya dalam kehidupan di dunia berbanding manusia yang tidak taat dan tidak patuh pada agama. Di samping itu, unsur keagamaan yang dianggap sebagai salah satu daripada keperibadian kepengarangan Raja Ali Haji dalam gurindam ini turut dipaparkan melalui salah satu bahagian daripada fasal kedua seperti di bawah ini :
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti rumah tiada bertiang.

Petikan bahagian fasal kedua di atas membicarakan berkenaan rukun Islam yang pertama iaitu tentang solat. Seperti sedia maklum, solat merupakan tiang kepada individu yang memeluk agama Islam.  Oleh hal yang demikian, dalam gurindam ini beliau menyatakan bahawa individu yang meninggalkan solat sama seperti rumah yang tidak bertiang.  Kiasan yang digunakan oleh Raja Ali Haji ini jelas menunjukkan beliau sentiasa menjadikan unsur keagamaan sebagai salah satu daripada sifat keperibadian kepengarangannya walaupun dalam bentuk nasihat.

Seterusnya selain daripada kekuatan dari segi kepengarangan, kekuatan dari segi nilai estetika juga seharusnya mendapat perhatian dalam kalangan pembaca. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:401) mendefinisikan estetika sebagai cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain. Justeru, konsep estetika dalam gurindam ini dipaparkan melalui sentuhan rasa dan daya fikir dalam kalangan pembaca dengan melihat kecerdasan dan jalinan keindahan bahasa seseorang pengarang. Luahan hati pengarang melalui kata-kata dan bayangan budaya kehidupan masyarakat adalah amat penting dalam menghasilkan sesuatu karya. Nilai seni ini akan dapat dirasakan oleh pembaca yang tangkas menangkap melalui mata akal dan mata hati terhadap hasil karya. Dalam konteks estetika kesusasteraan Melayu, istilah keindahan dianggap sebagai salah satu istilah pokok.

Perkataan estetika dalam bahasa Yunani disebut sebagai aesthesis yang membawa maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi membawa maksud kepekaan manusia terhadap sesuatu gaya penulisan. Nor Azman Ab. Aziz (2013:2) pula berpendapat bahawa estetika sebenarnya merupakan bidang ilmu yang membahaskan keindahan, bagaimana sesuatu seni itu terhasil dan bagaimana seseorang dapat merasainya atau menghayatinya. Selain itu, estetika juga boleh diertikan sebagai persepsi pancaindera (sense of perception) apabila digunakan untuk  kajian falsafah. Apabila dilihat dari sudut konsep yang berkaitan dengan karya, unsur estetika ini dikatakan berkait rapat dengan karya yang dihasilkan iaitu penghasilan bahasa yang estetik iaitu indah dan berseni.

Contohnya, dalam Gurindam 12 ini Raja Ali Haji mempamerkan unsur estetika dengan cara menggunakan perkataan yang bersajak pada akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataannya dalam satu pasangan sahaja. Contohnya adalah seperti yang dinyatakan di bawah ini :
Jika hendak mengenai orang berbangsa,
Lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
Sangat memeliharakan yang sia-sia.

            Contoh di atas menunjukkan salah satu daripada unsur estetika yang sangat menarik digunakan oleh pengkarya. Hal ini demikian kerana bermula dari fasal pertama hingga fasal kedua belas, pengkarya berjaya menggunakan perkataan yang bersajak pada akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataannya dalam satu pasangan sahaja. Contohnya perkataan akhir baris pertama berpasangan dengan baris kedua. Manakala, baris ketiga pula berpasangan dengan baris keempat.

Keindahan atau estetika seterusnya yang terkandung dalam gurindam ini adalah pada pemilihan kata dalam nasihat yang ingin disampaikan. Dalam situasi ini, pemilihan kata yang digunakan oleh Raja Ali Haji amat ringkas sekali. Tetapi, mesej yang ingin disampaikan dapat difahami dengan sempurna dalam kalangan pembaca. Misalnya, Raja Ali Haji telah menggunakan kata yang ringkas dalam unsur perbandingan seperti contoh di bawah ini :

Barang siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti rumah tiada bertiang.

            Berdasarkan petikan di atas, baris kedua menunjukkan perbandingan secara terus iaitu pengkarya membandingkan keadaan bagi individu yang tidak menunaikan solat sama seperti keadaan rumah yang dibina tanpa tiang. Hal ini kerana solat adalah tuntutan paling utama dalam kehidupan seorang muslim. Sekiranya individu tersebut tidak menunaikan solat, kehidupannya dianggap tidak sempurna dan tidak berkat. Keadaan ini disamakan seperti proses membina rumah. Sekiranya rumah yang ingin dibina itu tidak mempunyai tiang, rumah tersebut juga akan dianggap tidak sempurna pembinaannya. Contoh ini jelas menunjukkan nilai keindahan dalam pemilihan kata yang terdapat dalam Gurindam 12 ini.


4.0              Kesimpulan


Kesimpulannya melalui Gurindam 12 ini, Raja Ali Haji memaparkan satu gambaran yang jelas terhadap tradisi dan amalan kehidupan masyarakat Melayu. Sebagai satu inisiatif, beliau telah mengubah pegangan dan nasihat terhadap masyarakat Melayu ke dalam bentuk gurindam. Gurindam seperti ini merupakan warisan budaya masyarakat melayu yang luar biasa yang wajib dilestarikan penggunaannya. Sehubungan itu, gurindam seperti ini perlu diperluaskan pembacaannya dalam kalangan generasi muda. Hal ini kerana isi kandungannya mengandungi unsur nasihat yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian. Bukan itu sahaja, malahan berdasarkan penelitian terhadap Gurindam 12 karya Raja Ali Haji ini juga kebijaksanaan berbahasa dalam menyampaikan nasihat jelas terpapar. Semua pesanan dan nasihat yang ingin disampaikan digubah dalam bentuk dalam kata-kata puitis yang indah dan penuh estetika. Oleh itu, tidak hairanlah Gurindam 12 ini dianggap sebagai salah satu karya yang agung dalam bidang kesusasteraan Melayu.

Koleksi Analisis Gurindam 12 oleh: Cikgu Sunieka

1.0 Pengenalan
Gurindam Dua Belas merupakan puisi, hasil karya Raja Ali Haji iaitu seorang sasterawan dan Pahlawan Nasional dari Pulau Penyengat, Provinsi Kepulauan Riau. Gurindam ini ditulis dan diselesaikan di Pulau Penyengat pada tarikh 23 Rejab 1264 Hijriyah atau 1847 Masihi semasa  usianya 38 tahun. Karya ini terdiri daripada 12 Fasal dan dikategorikan sebagai Syi'r al-Irsyadi atau puisi didaktik kerana ia mengandungi nasihat dan petunjuk bagi menuju kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT. Selain itu terdapat juga pelajaran dasar Ilmu Tasawuf tentang mengenal "yang empat" iaitu syari'at, tarekat, hakikat dan makrifat.
Dalam gurindam 12, banyak ditekankan tentang ciri-ciri karya agung yang menjadi wadah terciptanya gurindam ini. Antara cirri yang ada ialah mesej atau pemikiran dan falsafah yang dibawa, nilai budaya, pandangan hidup, nilai ilmu, seni kepengarangan, seni bahasa dan estetika. Walaupun begitu, untuk kupasan pada kali ini lebih menekankan tentang aspek pemikiran dan falsafah serta kepengarangan dan estetika yang terdapat dalam gurindam 12 ini.


2.0 Latar belakang penulis

Nama sebenar Raja Ali Haji ialah Raja Ali al-Hajj ibni Raja Ahmad al-Hajj ibni Raja Haji Fisabilillah bin Opu Daeng Celak alias Engku Haji Ali ibni Engku Haji Ahmad Riau. Beliau dilahirkan pada tahun 1808 M di pusat Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat (kini masuk dalam wilayah Kepulauan Riau, Indonesia).
Raja Ali Haji memperoleh pendidikan dasarnya daripada ayahnya sendiri. Di samping itu, beliau juga mendapat  pendidikan daripada lingkungan istana Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat. Di lingkungan kesultanan ini, secara langsung ia mendapatkan pendidikan dari tokoh-tokoh terkemuka yang pernah datang. Antara ulama-ulama yang dimaksudkan adalah Habib Syeikh as-Saqaf, Syeikh Ahmad Jabarti, Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minkabawi, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Manduri, dan banyak lagi.
Raja Ali Haji banyak mencurahkan perhatiannya pada penulisan karya-karya sastera pada usia 40 tahun. Beliau dicatat sebagai penulis paling produktif pada masanya. Kesultanan Riau-Lingga, Johor, dan Pahang ketika itu menjadi terkenal berkat karya-karya RAH yang banyak dibicarakan pakar bahasa dan sastra di Nusantara dan juga di luar negeri. Pada tahun 1846, beliau menyelesaikan penulisan karya Gurindam Dua Belas. Karyanya yang berjudul Bustanul Katibin pula selesai dicetak di Betawi pada tahun 1850. Pada tanggal 15 April 1857, karya ini dicetak-batu di Pulau Penyengat.  Selain itu, beliau juga menyiapkan naskah berjudul Muqaddimah fi Intizam al-Wazaif al-Mulk Khususan ila Maulana wa Shahibina Yang Dipertuan Muda Raja Ali al-Mudabbir lil Biladi al-Riauwiyah wa Sairi Dairatihi, iaitu sebuah risalah nipis yang mengandungi tiga buah wazifah yang dijadikan sebagai pegangan oleh pemegang kendali hukum sebelum menjatuhkan hukuman. Seterusnya, beliau turut menulis pelbagai jenis buku dan tulisan lagi selama hayatnya.

3.0 Ciri-Ciri Khusus Karya Agung Melayu Dalam Gurindam 12

3.1 Falsafah dan Pemikiran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) falsafah dapat ditakrifkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tinggi yang menjadi dasar kepada ilmu- ilmu lain. Maksud falsafah dari sudut praktis pula ialah “alam berfikif atau fikiran secara mendalam tentang hakikat segala sesuatu”. Pemikiran pula dapat ditakrifkan sebagai idea atau topic yang dibicarakan oleh penulis dalam sesebuah karyanya. Dalam gurindam 12, terdapat beberapa falsafah dan pemikiran yang digarap dengan berkesan oleh Raja Ali Haji.

3.1.1 Tanggungjawab kepada pencipta
Falsafah dan pemikiran utama yang cuba disampaikan oleh pengarang ialah tanggungjawab seseorang umat islam atau umat manusia kepada penciptanya. Sebagai seorang umat islam, seseorang itu perlulah menjalankan kewajipan yang telah diperintahkan sebagai seorang muslim bagi menunjukkan serta membuktikan kepatuhan mereka terhadap suruhan oleh Allah. Tanggungjawab yang dimaksudkan dalam karya ini ialah melaksanakan perkara yang terkandung dalam rukun islam dan rukun iman. Sebagai contoh, pengarang menggunakan bait-bait ayat ini untuk menggambarkan ketiksempurnaan hidup jika menlanggar perintah dan suruhan Allah.
Barang siapa meniggalkan sembahyang
Seperti rumah tiada bertiang.

Rangkap pantun di atas ini membawa maksud bahawa sesiapa yang meninggalkan solat bermakna segala amalan lain yang dikerjakannya menjadi tidak bernilai kerana solat merupakan tiang agama.

3.1.2 Menghormati ibu bapa
Dalam gurindam ini, pengarang meletakkan falsafah dan pemikiran tentang pentingnya menghormati kedua ibu bapa kita. Contoh yang dapat dilihat tentang perkara ini ialah melalui rangkap pantun ini.
Dengan bapa jangan durhaka,
Supaya ALLAH tidak murka .
Dengan ibu hendaklah hormat
Supaya badan dapat selamat.

Berdasarkan contoh rangkap pantun di atas, jelas terbukti bahawa Islam mengangkat kedududukan ibu bapa sebagai kedudukan yang tertinggi. Justeru, kehidupan keluarga sangat dititikberatkan dalam Islam dan juga masyarakat.

3.1.3 Menjaga Pancaindera
Gurindam 12 turut membawakan falsafah dan pemikiran tentang perlunya seseorang menjaga pancaindera yang telah dianugerahkan oleh pencipta. Sifat prihatin dalam menjaga pancaindera yang telah dianugerahkan oleh Allah ini menjadi falsafah yang tinggi yang dapat dilihat melalui contoh daripada rangkap ini.
Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan yang membawa rugi.

        Daripada rangkap yang disampaikan, pengarang mengkehendaki kita menjaga anggota pancaindera yang diberikan daripada perkara-perkara yang negatif kerana ia merupakan satu tanggungjawab kepada umat Islam kerana ia merupakan amanah yang tidak ternilai. Dengan penjagaan yang betul dan sempurna, anggota pancaindera akan terhindar daripada perkara-perkara negatif seperti mengumpat, menabur fitnah, berzina dan sebagainya. Selain itu, penjagaan pancaindera ini membuktikan tahap ketakwaan dan keimanan seseorang kepada Allah. Justeru, pengjagaan pancaindera ini dengan cara yang betul akan membawa kebaikan seperti mendapat keberkatan daripada Allah serta dipandang mulia oleh masyarakat disamping terhindar daripada dosa.

3.1.4 Nilai budi dan akhlak mulia
Gurindam 12 juga turut mengutarakan falsafah dan pemikiran tentang nilai budi dan akhlak mulia dalam kehidupan. Nilai budi yang ditakrifkan dalam masyarakat Melayu ialah nilai budi berbahasa, nilai budi dalam tindakan dan tingkah laku dalam hidup bermasyarakat. Nilai-nilai murni seperti ini sudah sebati dengan hidup masyarakat melayu kerana nilai- nilai ini akan diterapkan dalam diri setiap individu sejak mereka kecil lagi. Masyarakat boleh mengenali sikap atau tingkah laku dan juga latar belakang sesebuah keluarga melalui nilai budi yang ditonjolkan oleh seseorang individu itu. Hal ini demikian kerana ketinggian nilai budi dalam diri setiap individu akan mencerminkan tahap didikan agama yang diberikan disamping ilmu yang ada pada mereka dan status kehidupan mereka dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian, seseorang individu itu perlu sentiasa menonjolkan nilai budiyang tinggi untuk mengelakkan aib kepada diri sendiri, ahli keluarga dan seterusnya masyarakat. Contoh kepentingan nilai budi dalam kehidupan ialah
Jika hendak mengenal orang yang mulia,
Lihatlah kepada kelakuannya.
Daripada contoh rangkap ini jelas menunjukkan bahawa nilai budi seseorang akan mempengaruhi corak kehidupan dan harga diri mereka pada pandangan masyarakat dan turut nenggambarkan keperibadian seseorang individu tersebut.
3.1.5 Tanggungjawab sesama insan
Tanggungajawab sesama insan turut menjadi falsafah dan pemikiran dalam gurindam 12. Melalui garapan pengarang ini menunjukkan setiap individu bukan sahaja mempunyai tanggunjawab kepada ILAHI tapi turut mempunyai tanggunjawab kepada sesama insan. Tanggunjawab yang dimaksudakan adalah seperti tanggunjawab kepada ibu bapa, isteri atau suami, terhadap anak- anak dan juga masyarakat. Melaksanakan tanggunjawab terhadap sesama insan terutamanya terhadap kedua ibu bapa merupakan satu landasan untuk mendapat keberkatan hidup didunia dan di akhirat kelak. Hal ini demikian kerana setiap manusia tidak akan wujud tanpa insan yang bergelar ibu dan bapa. Tanggungajawab kita sesame insan ini ditunjukkan pada rangkap tersebut
Dengan bapak jangan durhaka
supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat
supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai
supaya dapat naik ke tengah balai.
Dengan istri dan gundik janganlah alpa
supaya kemaluan jangan menerpa.
Dengan kawan hendaklah adil
supaya tangannya jadi kapil.


3.2 Kepengarangan dan Estetika
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kepengarangan bermaksud perihal yg berkaitan dgn pengarang. Estetika pula bermaksud cabang falsafah yg mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa, dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, kepengarangan dan estetika dapat disimpulkan sebagai falsafah serta keindahan yang digarapkan oleh seseorang pengarang dalam tulisannya. Dalam Gurindam 12, Raja Ali Haji menggunakan kepakarannya dalam seni kepengarangan dan estetika yang tinggi dalam menghasilkan sebuah syair yang bertaraf karya agung.
3.2.1 Menggunakan Bahasa yang Ringkas dan Padat
Dalam penulisan gurindam 12, penulisnya Raja Ali Haji mengaplikasikan seni kepengarangan dengan menggunakan bahasa yang ringkas tetapi padat. Walaupun pengarang menggunakan perkataan-perkataan yang biasa digunakan oleh penulis-penulis lain, namun perkataan-perkataan itu dapat melengkapkan apa yang mahu disampaikannya. Justeru, kita seolah-olah diberi gambaran yang jelas tentang peristiwa dan bait-bait ayat dalam gurindam ini.
3.2.2 Memberi teguran dan nasihat
Dalam proses mengarang gurindam 12, pengarangnya menerapkan seni mengarang dan estetika penulisan syair Melayu yang menjalankan fungsi dedaktik dan menyampaikan pesan ke arah kebaikan. Pengarang mengarang gurindam ini menggunakan proses kreatif yang berpaksikan amalan dalam kehidupan Islam yang menggariskan bahawa setiap perbuatan harus dilakukan dengan tertib, mengikut aturan dan hukum-hukum yang sudah ditetapkan. Sebagai contoh, pengarang menerapkan amalan menghormati ibu bapa, menjaga solat, menjaga pancaindera agar tidak menggunakannya kea rah keburukan dan sebagainya.
Dengan adanya teknik atau keteraturan itu maka terhasilnya keindahan seni, atau estetika, dalam penciptaan gurindam ini. Hal ini adalah bertepatan dengan tuntutan Islam sebagai agama yang mengutamakan keteraturan dan keindahan. Kejadiannya atau penciptaannya itu mempunyai sebab, hikmah, fungsi tujuan, serta ukuran dan imbangannya. 
Selain itu, dalam kepengarangan Raja Ali Haji berisi  seruan  untuk anggota masyarakat supaya mengerjakan kebaikan, memberi motivasi kepada masyarakat untuk  mempertingkatkan kedudukan dan kemuliaan diri sendiri dan saudara-saudara sebangsa dan seagama.


4.0 Kesimpulan
Berdasarkan isi, pemikiran dan falsafah serta kepengarangan dan estetika yang dikaji yang terkandung dalam penulisan gurindam dapatlah dianggap sebagai puisi yang digunakan untuk tujuan pendidikan dan hiburan. Selain itu, gurindam juga berfungsi sebagai dokumentasi gambaran masyarakat yang dapat memancarkan kreativiti dan estetika serta daya intelektual masyarakat Melayu lama dalam menangani hal kehidupan mereka. Gurindam juga dapat dijadikan media komunikasi antara ahli masyarakat, terutama dalam majlis-majlis yang formal.

            Selain itu, dapat disimpulkan bahawa penghayatan pembaca dalam sesuatu karya seperti gurindam ini akan dapat meningkatkan motivasi diri serta dapat memperbaik nilai murni yang ada dalam diri seseorang. Penghayatan melalui falsafah dan pemikiran ynag disampaikan menjadi tonggak hidupnya sesebuah gurindam yang dibina.